EKONOMI

Berita Harian 27 mac 2001

Minda Pengarang

Rakyat perlu sokong langkah pengukuhan ekonomi

KESAN kelembapan ekonomi Amerika Syarikat mula dirasai di setiap pelosok dunia. Akibatnya dirasai secara beransur-ansur sejak tahun lalu, menyebabkan beberapa negara menghadapi masalah besar.

Ini kelihatan begitu ketara sekali di negara-negara yang mana kedudukan ekonomi mereka tidak stabil, ditambah pula dengan pergolakan politik dalaman, yang memburukkan lagi keadaan.

Kejatuhan harga komoditi tertentu, permintaan pasaran eksport yang kian merosot, kegiatan ekonomi bergerak perlahan ditambah urus niaga pasaran saham lembap tanpa adanya lonjakan adalah tanda-tanda negatif bahawa suasana ekonomi masih belum pulih.

Di sesetengah negara, syarikat-syarikat sudah mula mengurangkan saiz operasi masing-masing dan mengambil langkah mengurangkan pekerja. Tindakan yang sama dilakukan oleh kilang yang mengeluarkan produk yang kurang mendapat pasaran.

Sebagai sebuah negara yang dipengaruhi secara langsung oleh sistem ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi kesan fenomena ini.

Walaupun belum tiba waktunya keadaan yang melanda hari ini boleh disamakan dengan kegawatan ekonomi yang baru saja pulih, namun langkah awal untuk menangkis sebarang kekalutan, perlu dilakukan mulai sekarang.

Kesan kelembapan ekonomi mungkin agak lewat menyerang Malaysia kerana peraturan ekonomi yang dilaksanakan ketika menangkis kegawatan ekonomi pada 1997 lalu, masih belum ditarik balik keseluruhannya.

Sikap berwaspada kerajaan dalam menangani kemelut kemelesetan ekonomi termasuk menambat kadar pertukaran wang asing dengan meletakkan kedudukan ringgit pada keadaan yang stabil, masih menjadi senjata kebal untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang masih mampu bertahan hingga ke hari ini. Paling penting, kerajaan tidak menanggung hutang luar yang boleh menyebabkan negara dan rakyat terasa dicekik.

Dalam menangani masalah ekonomi, Malaysia sudah banyak belajar daripada pengalaman. Untuk menangani ramalan kemelesetan yang berpunca dari negara kuasa besar itu, kerajaan yang menyedari tanggungjawabnya terhadap kepentingan rakyat sudah pun mengatur beberapa langkah siap sedia sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Antara langkah itu ialah meningkatkan rangsangan fiskal sebanyak RM3 bilion lagi, sebagai tambahan kepada RM28.8 bilion yang diluluskan dalam Belanjawan 2001 yang diharapkan dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Agak malang kerana Malaysia sudah pun mula menampakkan kekukuhan dalam KDNK yang mencatat 5.8 peratus pada 1999 dan 8.5 peratus tahun lalu, dan kini terpaksa mengkaji semula pertumbuhan rasmi yang diramalkan 7 peratus pada tahun ini.

Kita yakin langkah diambil kerajaan termasuk menggunakan wang paling berkesan menerusi institusi tertentu dan penyaluran peruntukan baru yang disediakan, akan membolehkan negara terus bertahan daripada ancaman kemelesetan ekonomi yang baru.

Sudah tentulah faktor paling kuat untuk memastikan kejayaan langkah kerajaan ialah sokongan padu rakyat untuk sama-sama merempuh apa juga halangan yang mendatang.

Idea naik bas berasingan tidak praktikal

AHAD lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercakap mengenai peraturan penggunaan bas berasingan antara lelaki dan wanita.

Disebabkan ia datangnya daripada Nik Aziz sendiri, ia bukanlah sesuatu yang mustahil diucapkannya, malah mungkin juga menjadi sebahagian daripada rancangannya untuk dilaksanakan di Kelantan.

Tambahan pula, pengasingan antara lelaki dan wanita sudah pun dilaksanakan menerusi kaunter bayaran berasingan di pasar raya di negeri itu, walaupun keberkesanannya boleh dipersoalkan.

Dalam perkhidmatan pengangkutan, cadangan Nik Aziz itu nampaknya tidak praktikal. Kalau pun perlu penumpang kenderaan awam diasingkan mengikut jantina, mungkin ia dapat di lakukan untuk perkhidmatan kereta api yang mempunyai banyak koc.

Sekiranya ada bas berasingan untuk lelaki dan wanita, apakah teksi juga dikenakan peraturan sama, ia itu hanya lelaki/perempuan yang muhrim saja boleh berkongsi teksi.

Bagaimana pula dengan perkhidmatan bot atau feri? Apakah perkhidmatan udara juga perlu menyediakan pesawat khas untuk lelaki dan pesawat lain untuk wanita? Tidak ada satu pun syarikat penerbangan yang mampu menyediakan perkhidmatan udara mengikut jantina.

Jelas peraturan ini tidak praktikal dan boleh menyusahkan pengguna dan pengusaha pengangkutan.

Namun, jika kerajaan negeri berpendapat cadangan mursyidul Pas itu sesuai untuk dilaksanakan untuk penumpang bas dan tiada pula pengusaha bas yang sanggup berbuat demikian, Nik Aziz bolehlah melaksanakannya di negeri itu dengan mengambil alih semua perkhidmatan pengangkutan sedia ada dari swasta di Kelantan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi