EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Caruman KWSP dikurang 2% -- Langkah galakkan rakyat berbelanja untuk merangsang ekonomi - PM

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kerajaan hari ini mengumumkan langkah drastik bagi membendung kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) termasuk mengurangkan caruman pekerja ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus.

Langkah itu diambil bagi menggalakkan rakyat berbelanja untuk merangsang ekonomi negara.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad itu adalah selaras dengan langkah berjaga-jaga kerajaan, yang kedua dibuatnya sejak 1997, bagi mengawal momentum pertumbuhan negara kerana kelembapan ekonomi AS berlaku lebih teruk daripada yang dijangkakan.

Langkah-langkah lain yang diambil termasuklah meningkatkan rangsangan fiskal sebanyak RM3 bilion lagi sebagai tambahan kepada RM28.8 bilion yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2001.

Kerajaan turut memberi insentif kepada kakitangan kerajaan mendapatkan pinjaman kenderaan setiap lima tahun berbanding tujuh tahun sekarang dan layak mendapat pinjaman selepas setahun berkhidmat bagi menggalakkan lagi penjualan kenderaan penumpang.

Bagi menggalakkan penggunaan kad kredit, kerajaan juga bersetuju melupuskan cukai RM50 ke atas kad itu seperti yang diperkenalkan pada tahun 1997.

Menurut Dr. Mahathir, pengurangan dua peratus atas caruman itu hanya akan dilaksanakan selama setahun mulai 1 April ini.

Ia hanya akan melibatkan caruman individu dan tidak mengubah caruman yang dibuat oleh pihak majikan kepada para pekerja masing-masing.

Dengan potongan ini bermakna, pekerja hanya mencarum sembilan peratus sahaja daripada 11 peratus yang dicarum sekarang.

``Kita mahu semua pengguna untuk berbelanja lebih banyak (kerana), setiap kali kita berbelanja kita memberikan sumbangan bagi menjana ekonomi.

``Lebih banyak kita membeli, lebih ramai orang yang akan membuat keuntungan dan seperti yang kita tahu kerajaan mencukai keuntungan itu,'' katanya dalam sidang akhbar khas di bangunan Parlimen.

Menurut Dr. Mahathir, pengurangan caruman itu adalah minimal dan tidak akan menjejaskan jumlah dana yang diuruskan oleh KWSP kerana mereka membuat kutipan kira-kira RM1.6 bilion setiap bulan.

``Macam mana pun, KWSP tetap dapat mengumpulkan dana berjumlah melebihi RM200 bilion sebelum akhir tahun ini,'' katanya.

Pengurangan caruman KWSP sebanyak dua peratus itu dijangka dapat meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sehingga 0.36 mata peratusan.

Perdana Menteri berkata, kelonggaran pinjaman kenderaan oleh kakitangan kerajaan itu dibuat bagi menggalakkan pembelian kereta.

``Cukai kad kredit sebanyak RM50 yang diperkenalkan pada tahun 1997 juga akan dihapuskan bagi menggalakkan penggunaan kad kredit,'' katanya.

Menurut Dr. Mahathir, insentif yang ditawarkan pada Kempen Pemilikan Rumah seperti pengecualian duti setem serta yuran pemprosesan dan margin pembiayaan lebih tinggi akan diberikan semula secara serta-merta bagi mengurangkan lebihan stok bagi unit-unit perumahan.

``Kerajaan tempatan juga akan diarahkan agar tidak meluluskan pembinaan hartanah pejabat dan komersial yang baru berikutan lebihan hartanah jenis itu pada masa sekarang,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, perubahan akan turut dibuat kepada peraturan Jawatankuasa Pelaburan Asing berkenaan pembelian saham, hartanah dan aset bagi menyediakan persekitaran yang lebih sesuai untuk kemasukan pelaburan langsung asing.

Beliau menegaskan, kerajaan akan meneruskan polisi kewangan berkembang bagi memastikan sektor swasta terus memperoleh dana pada kos yang berpatutan.

``Berikutan itu, institusi kewangan perlu mencapai pertumbuhan pinjaman sebanyak lapan peratus setahun.

``Bank Negara Malaysia akan memantau secara rapat pertumbuhan pinjaman itu dan akan turut mengkaji semula had siling bagi pembelian saham serta saham amanah,'' katanya.

Menurut Perdana Menteri, saiz beberapa tabung khas bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) akan ditingkatkan bagi memperbaiki saluran pembiayaan industri itu.

``Tabung Dana Untuk Makanan (3F) akan ditingkatkan sebanyak RM300 juta kepada RM1.3 bilion, Dana Usahawan Baru (DUB) akan ditingkatkan sebanyak RM250 juta kepada RM1.5 bilion, Dana IKS (DIKS) digandakan kepada RM400 juta manakala sebuah tabung baru iaitu Dana Pemulihan dan Pembangunan Usahawan berjumlah RM500 juta akan ditubuhkan.

``Sebagai tambahan, kadar pinjaman bagi 3F akan dikurangkan kepada 3.75 peratus manakala DUB dan DIKS kepada 5.5 peratus,'' ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, langkah-langkah turut diambil bagi mempromosi sektor perkhidmatan bagi meningkatkan pendapatan, jualan serta tukaran asing.

``Kerajaan akan mempromosi pelancongan secara lebih agresif terutamanya di rantau ASEAN, Asia Barat dan Timur serta India,'' kata beliau.

Malaysia Airport Holdings Bhd. juga akan mempromosikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai pusat serantau melalui kajian terhadap strategi dan pengalaman pusat-pusat serantau yang lain, tambah beliau.

Selain itu, kerajaan akan terus memastikan sandaran ringgit kepada dolar AS pada RM3.80 bagi setiap dolar akan dikekalkan bagi memastikan persekitaran yang stabil serta boleh diramal dapat dikekalkan, kata Dr. Mahathir.

Mengenai kadar faedah asas (BLR), Perdana Menteri berkata, ia tidak perlu diturunkan buat masa sekarang kerana ia masih berada di tahap yang rendah dan sudahpun membolehkan pihak swasta mendapatkan pembiayaan pada kos yang rendah.

``Tidak ada keperluan untuk menurunkannya buat masa sekarang tetapi kerajaan sedia menimbangkannya semula jika perlu,'' ujarnya lagi.

Mengenai pembuangan pekerja tempatan oleh syarikat-syarikat, Dr. Mahathir berkata, ia adalah dijangkakan kerana mereka (syarikat) pada dasarnya terpaksa membayar upah yang lebih tinggi kepada para pekerja tempatan berbanding pekerja asing.

``Sekarang kita boleh menasihatkan mereka supaya memberikan keutamaan pekerjaan kepada pekerja tempatan, tetapi kita akan tetapkan bentuk tindakan yang boleh diambil kemudian (terhadap syarikat yang membuang pekerja tempatan dahulu),'' katanya.

Perdana Menteri berkata, kebimbangan kerajaan sekarang lebih tertumpu kepada bilangan besar rakyat Indonesia sekarang yang cuba untuk masuk ke negara ini.

``Mereka ini boleh memburukkan keadaan, sebab itulah kita harus memastikan mereka tidak boleh masuk,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi