EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

RM3b rangsangkan Belanjawan 2001


DR. MAHATHIR Mohamad mengadakan sidang media mengenai kesan eksport dan pertumbuhan ekonomi negara di bangunan Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan rangsangan fiskal tambahan berjumlah RM3 bilion kepada Belanjawan 2001 bagi meneruskan pemulihan ekonomi negara berikutan jangkaan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat tahun ini.

Dr. Mahathir berkata, rangsangan tambahan kepada belanjawan sedia ada sebanyak RM28.8 bilion itu dijangka dapat meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.1 mata peratus lagi.

``Bagaimanapun (jika rangsangan fiskal tambahan tidak diambil) kelembapan ekonomi AS itu tidaklah akan menjejaskan kita terlalu teruk kerana kita adalah lebih baik berbanding sesetengah negara lain.

``Perangkaan pertumbuhan ekonomi mungkin jatuh kepada antara lima peratus dan empat peratus. Dengan rangsangan tambahan ini pertumbuhan mungkin mencapai enam peratus, tetapi ia tidak mungkin mencapai tujuh peratus,'' katanya dalam sidang akhbar mengenai langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan bagi menangani jangkaan kelembapan ekonomi AS, di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengkaji semula unjuran rasmi pertumbuhan KDNK tujuh peratus pada tahun ini berikutan jangkaan kesan kelembapan ekonomi AS itu kepada eksport dan prospek pertumbuhan.

Menurut Dr. Mahathir, rangsangan fiskal itu merupakan tambahan kepada Belanjawan 2001 dan ia akan dibentangkan kemudian di Parlimen.

Kerajaan juga mungkin akan membuat terbitan bon berdaulat bagi membiayai perbelanjaan tersebut, tambahnya.

Menurut Dr. Mahathir, beberapa projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan segera termasuk pembinaan 200 buah sekolah satu sesi bernilai RM2 bilion dan 193 buah kolej komuniti di semua kawasan Parlimen yang mana 11 buah darinya bernilai RM900 juta akan dibina serta-merta.

Selain itu, empat buah universiti bernilai RM1.6 bilion akan dibina di Perlis, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan, 6,600 kuarter perumahan bernilai RM1.5 bilion bagi Angkatan Tentera Malaysia akan disediakan di Kuala Lumpur dan subsidi penanaman semula kelapa sawit serta bantuan khas getah bernilai RM600 juta akan diberikan kepada pekebun kecil, kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan melaksanakan implimentasi awal beberapa projek infrastruktur dan utiliti utama termasuk Empangan Elektrik Hidro Bakun, projek penjanaan elektrik arang batu Pulau Bunting, Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor dan projek Pelabuhan Westport di Klang.

``Bagi memastikan rangsangan fiskal ini memberikan kesan segera kepada ekonomi negara, kerajaan akan memantau rapat pelaksanaan projek-projek baru ini dan projek lain yang telah diluluskan.

``Untuk tujuan ini, sebuah Skuad Pemerhati (flying squad) telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan dan semua kementerian serta agensi kerajaan harus meningkatkan usaha mereka bagi memastikan implimentasi segera projek-projek ini,'' kata beliau.

Dr. Mahathir berkata, jumlah perbelanjaan bagi projek-projek yang diumumkannya itu melebihi RM3 bilion kerana ``ia turut melibatkan projek-projek yang akan dilaksanakan pada tahun depan, tetapi bagi tahun ini hanya RM3 bilion sahaja.''

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan telah memberikan beberapa kuasa kepada kementerian dan agensi terpilih yang sebelum ini dipegangnya seperti pemberian tender sehingga RM30 juta dan kepada badan statut serta syarikat kerajaan sehingga RM50 juta.

Bagi tender terhad, kementerian-kementerian boleh memberikan kontrak tidak melebihi RM20 juta dan pembelian sehingga RM200,000 sahaja.

``Enam kementerian terpilih pula boleh meluluskan pembelian kelengkapan modal berjumlah sehingga RM15 juta,'' ujar beliau.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mengharapkan sektor swasta memberikan tindak balas yang sewajarnya terhadap langkah pencegahan kerajaan itu bagi memastikan kejayaan pakej polisi tersebut.

``Berikutan itu mereka harus meningkatkan produktiviti secara agresif, mengurangkan kos dan meningkatkan mutu produk serta perkhidmatan untuk kekal berdaya saing,'' kata Dr. Mahathir.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan bersedia untuk mengambil beberapa langkah tambahan termasuk mempercepatkan beberapa projek terpilih di bawah Rancangan Malaysia sekiranya kelembapan ekonomi AS adalah lebih buruk daripada dijangkakan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi