Make your own free website on Tripod.com

EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Kerajaan diminta beri pilihan kepada pencarum KWSP

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kerajaan diminta memberikan opsyen atau pilihan kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sama ada mahu kekal dengan caruman 11 peratus seperti sekarang atau memotong dua peratus daripada jumlah itu.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, seharusnya para pekerja diberi hak pilihan tersebut agar tidak timbul rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

``Ini kerana ia melibatkan simpanan hari tua mereka terutamanya pekerja swasta dan pekerja kerajaan yang tidak mengambil skim pencen.

``Tidak dapat tidak jumlah tabungan mereka untuk setahun akan datang tetap akan berkurangan berbanding daripada sekarang,'' katanya kepada Utusan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini bahawa jumlah caruman pekerja ke atas KWSP akan dikurangkan dua peratus iaitu daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bagi tempoh setahun berkuat kuasa mulai 1 April ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil bagi meningkatkan perbelanjaan di kalangan rakyat negara ini.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kerajaan tidak wajar memaksa para pekerja mencarum dengan kadar sembilan peratus walaupun langkah itu dilihat sebagai usaha untuk menggalakkan rakyat meningkatkan perbelanjaan.

``Sedangkan ada para pekerja yang mencarum lebih daripada 11 peratus iaitu 14 hingga 15 peratus sebulan.

``Saya berpendapat pendekatan yang paling baik ialah mengadakan opsyen,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohamed Shafie BP Mammal menyifatkan langkah kerajaan tersebut sebagai wajar dilaksanakan ke atas pekerja yang mempunyai pendapatan RM5,000 ke atas.

Beliau berkata, manakala pekerja yang menerima gaji bawah daripada jumlah tersebut peratusan caruman ke atas KWSP dikekalkan seperti sekarang.

``Mereka yang mempunyai gaji RM5,000 dan ke atas tidak merasa kesan ekoran daripada pemotongan itu kerana walaupun sembilan peratus jumlah pendapatan mereka setiap bulan tetap tinggi.

``Yang akan rasa kesannya ialah mereka yang menerima gaji kurang daripada itu terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

``Tabungan untuk hari tua mereka akan tetap menerima kesan walaupun ia dipotong setakat dua peratus sahaja dalam tempoh setahun,'' katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), N. Siva Subramaniam menyambut baik langkah terbaru kerajaan itu.

Beliau berkata, langkah tersebut wajar dilaksanakan kerana kakitangan awam akan menerima gaji bulanan yang lebih daripada sebelum ini.

``Langkah kerajaan ini juga mampu meningkatkan ekonomi sesebuah keluarga,'' katanya lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi