EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

CUEPACS sokong langkah longggar syarat milik kereta

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menyifatkan langkah kerajaan melonggarkan syarat pemilikan kereta bagi kakitangan awam sebagai tepat pada masanya.

Presiden CUEPACS, N.Siva Subramaniam berkata, langkah itu dapat memberikan kemudahan kepada kakitangan memiliki kereta untuk digunakan dalam pelbagai urusan harian.

Katanya, ia juga mampu menjanakan lagi industri kereta tempatan kerana jumlah kakitangan awam seluruh negara mencecah beratus ribu orang.

``Saya amat mengalu-alukan langkah kerajaan ini kerana melonggarkan beberapa syarat untuk memudahkan kakitangan awam memiliki sebuah kereta penumpang.

``Industri kereta kita mungkin akan terus berkembang dengan adanya insentif ini,'' katanya kepada Utusan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini yang kakitangan kerajaan layak mendapat pinjaman kenderaan setiap lima tahun berbanding tujuh tahun sekarang.

Perdana Menteri juga berkata, kakitangan layak menerima pinjaman itu setelah berkhidmat selama satu tahun.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi