EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

FOMCA: Hapus cukai kad kredit galak rakyat berhutang

KUALA LUMPUR 27 Mac - Beberapa pemimpin persatuan pengguna menyifatkan langkah kerajaan melupuskan cukai RM50 ke atas kad kredit bukan cara terbaik menggalakkan orang ramai berbelanja.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), N. Marimuthu berkata, langkah itu tidak berkesan kerana bukan semua rakyat memiliki kad kredit.

``Bagi yang mempunyai kad kredit pula, ia menggalakkan mereka berbelanja melebihi pendapatan,'' katanya ketika dihubungi Utusan di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengenai langkah pelupusan cukai itu bagi menggalakkan orang ramai berbelanja menggunakan kad kredit.

Ini adalah sebahagian langkah berjaga-jaga kerajaan bagi menghadapi kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat.

Presiden Persatuan Pengguna Perak, Abdul Rahman Said Alli berkata, langkah itu adalah satu strategi berbahaya.

``Ia berbahaya kerana menggalakkan orang ramai berhutang,'' ujarnya.

Beliau berkata, cara terbaik meningkatkan pertumbuhan ekonomi ialah dengan menggalakkan orang ramai menyimpan di dalam bank.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Maamor Osman berkata, tindakan kerajaan melupuskan cukai itu adalah langkah bagus.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan daripada ketiadaan cukai itu untuk membazir.

``Pengguna harus bijak membeli barangan perlu sahaja dan juga hendaklah mengutamakan barangan buatan tempatan,'' tegasnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi