EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Langkah fiskal tambahan positif - Penganalisis asing

SINGAPURA 27 Mac - Pengumuman Malaysia mengenai pakej fiskal tambahan bernilai RM3 bilion bertujuan memapankan pertumbuhan mendapat reaksi menggalakkan daripada para ahli ekonomi yang berpendapat langkah ini amat positif dalam menangani kesan ekonomi global yang bertambah teruk.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan beberapa langkah hari ini sambil mengatakan kelembapan ekonomi, terutamanya di Amerika Syarikat, dijangka menjejaskan eksport dan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

``Saya rasa ini semua langkah yang diumumkan adalah positif. Meningkatkan lagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.1 peratus tidak mustahil memandangkan suntikan RM3 bilion ke dalam ekonomi ialah melalui perbelanjaan prasarana dan langkah-langkah spesifik seperti mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,'' kata Daniel Lian, pakar ekonomi Morgan Stanley Dean Witter untuk rantau Asia Tenggara.

Dr. Mahathir berkata pakej itu akan merangsangkan KDNK sebanyak 1.1 peratusan dan sehubungan ini kerajaan akan meminda ke bawah unjuran tujuh peratus pertumbuhan tahun ini kepada lima atau empat peratus.

Pengurangan dua peratus caruman pekerja ke dalam KWSP bagi menggalakkan perbelanjaan domestik boleh dilaksanakan mulai 1 April dan perubahan akan dibuat ke atas Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) berkaitan dengan ekuiti asing dan pemilikan hartanah dan aset oleh orang asing.

Lian berkata sentimen pasaran menjurus kepada pertumbuhan lima peratus untuk Malaysia tahun ini selepas pertumbuhan 8.5 peratus dalam tahun 2000.

Mengenai usaha merangsang ekonomi menerusi projek-projek prasarana, Lian berkata beliau lebih berpihak kepada pembinaan lebih banyak sekolah seperti yang diumumkan oleh Dr. Mahathir daripada dibelanjakan untuk projek-projek "gajah putih".

Pakar ekonomi dari BNP Paribas Peregrine, Chan Kok Peng memuji kerajaan Malaysia, sambil mengatakan rangsangan tambahan itu adalah langkah hala tuju yang betul dan "tanda-tanda kukuh" daripada Dr. Mahathir bagi memastikan yang faedah atau kebaikan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan berpendapatan kecil.

``Pakej ini memang baik, ia merupakan dasar yang betul bagi menangani keadaan sebelum ia menjadi lebih teruk," kata beliau.

BNP menjangkakan KDNK Malaysia akan berlegar di sekitar 5.4 peratus tahun ini.

Song Seng Wun, pakar ekonomi serantau daripada firma broker G.K. Goh bersetuju yang pakej ini mampu menghentikan kemusnahan awal yang berkait rapat dengan kelembapan ekonomi global tetapi beliau masih ragu-ragu sama ada perbelanjaan awam boleh dipertingkatkan.

``Adakah orang ramai akan berbelanja? Ini merupakan isu keyakinan dan sejak beberapa bulan lepas, keyakinan telah terjejas akibat kekurangan pekerjaan dan keadaan yang tidak menentu terhadap tinjauan politik dan ekonomi,'' kata beliau.

Beliau berkata, pengurangan caruman ke dalam KWSP akan menambah RM3.0 bilion lagi kepada RM3.5 bilion dalam tangan orang awam tetapi merasakan sejumlah besar itu boleh dijimatkan.

Tetapi Chan meramalkan perbelanjaan penggunaan akan mengikuti walaupun dalam keadaan yang sukar.

Lian menambah: ``Selalunya memang terdapat kesan marginal.''

Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin pernah berkata beliau berharap rakyat Malaysia, yang telah mempunyai kadar pinjaman yang tinggi iaitu 40 peratus akan berbelanja untuk membantu ekonomi. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi