EKONOMI

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Kegagalan syarikat AS wajar dijadikan contoh

Oleh: ABU HAKIM TANZIMUDDIN
KUALA LUMPUR 27 Mac - Kegagalan syarikat-syarikat besar Amerika Syarikat (AS) dalam mengekalkan penguasaan mereka dalam pasaran wajar dijadikan contoh oleh syarikat Malaysia untuk menerima pakai strategi pemasaran yang sesuai dengan kehendak semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, kehebatan syarikat-syarikat seperti General Motors, Sears dan RCA pada 1970-an begitu dikagumi tetapi pencapaian mereka kini tidak seperti yang diramal tiga dekad lalu.

Muhyiddin berkata, ketiga-tiga syarikat itu gagal untuk memahami perubahan dalam pasaran, kehendak para pelanggan dan keperluan untuk menyediakan nilai bagi setiap produk dan perkhidmatan mereka.

``Saya ingin mengingatkan di sini bahawa kita tidak boleh mengulangi kesilapan mereka,'' kata beliau sambil menambah usaha pemasaran semasa merangkumi segala-galanya, daripada konsep sebuah produk atau perkhidmatan hinggalah kepada idea pembangunannya, harga, pengedaran dan komunikasi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan _ Pemasaran dan Penjenamaan Strategik 2001 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Datuk Michael Yeoh dan Penasihat ASLI, Datuk Paduka Zaleha Md. Ali.

Muhyiddin menambah, perniagaan pada hari ini sedang menghadapi masalah `ketidaktentuan' dalam pemasaran yang sentiasa menghantui pemikiran kerana segala aspek perniagaan yang ada bergerak lebih cepat berbanding sebelumnya.

``Cabaran pemasaran ketika ini adalah lebih hebat daripada yang boleh kita bayangkan,'' kata beliau lagi.

Muhyiddin berkata, syarikat-syarikat tempatan masih ketinggalan dalam aspek memperkenalkan jenama mereka di sebalik kejayaan syarikat-syarikat seperti Royal Selangor yang sudah menempa nama hingga Eropah untuk membuktikan jenama Malaysia juga mampu bersaing.

Beliau menekankan pentingnya daya cipta untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang memenuhi segala kehendak pelanggan dalam perniagaan masa kini kerana ia menjadi penentu kelangsungan hidup sesuatu perniagaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi