EKONOMI

Utusan Malaysia 30 mac 2001

BSKL tidak atur prestasi pasaran saham - Azlan


MOHD. AZLAN HASHIM.

KUALA LUMPUR 29 Mac - Prestasi pasaran bukanlah sesuatu yang diaturkan oleh Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), kata pengerusinya Datuk Mohd. Azlan Hashim.

``BSKL bertanggungjawab menyediakan infrastruktur bagi syarikat yang tersenarai untuk meningkatkan modal mereka dan menyediakan infrastruktur kepada pelabur untuk menjalankan perdagangan saham.

``Selain itu, kami juga bertanggungjawab menyediakan persekitaran terkawal supaya orang ramai merasa selesa dan yakin menjalankan perdagangan dan pelaburan saham,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai langkah-langkah yang akan diambil oleh bursa tersebut berikutan prestasi kurang memberangsangkan tawaran awam permulaan (IPO) beberapa syarikat sejak kebelakangan ini.

Antara syarikat yang mengalami nasib tersebut termasuk Time dotCom Bhd. dan Ingress Corporation Bhd.

Menurutnya, asas-asas sesebuah syarikat, sentimen terdahulu dan berkaitan bursa-bursa lain, situasi ekonomi dunia dan kesannya terhadap Malaysia merupakan sebahagian daripada faktor-faktor kepada kelembapan pasaran semasa.

``Sebab itulah, kalau kita tengok, harga menjadi turun naik yang mana pada masa sebelum disenaraikan, harganya adalah berbeza dengan masanya ketika disenaraikan.

``Jadi, selagi infrastruktur serta mekanisme meningkatkan modal yang berjalan secara berkesan, menjimatkan kos dan selamat, BSKL akan menjalankan tugasnya,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi