EKONOMI

Utusan Malaysia 30 mac 2001

PNB: Saham amanah pendidikan April

Oleh: MOWARDI MAHMUD
KUALA LUMPUR 29 Mac - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dijangka melancarkan saham amanah berkait dengan pendidikan untuk semua kaum pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2001 (MSAM 2001) yang akan bermula pada 20 April ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Hamad Kama Piah Che Othman berkata kepada Utusan di sini ``Insya Allah jika kita sempat (melancarkannya)''

Beliau berkata demikian selepas satu sidang akhbar untuk mengumumkan MSAM 2001 dan program TV kuiz Bijak Langkah Bijak Labur PNB di sini.

Ditanya mengenai saiz dana, Hamad berkata, ia kecil dan tidak sebesar seperti Amanah Saham Malaysia (ASM) yang dilancarkan setahun lalu.

Beliau, bagaimanapun menjangka saham amanah itu yang dipercayai bernilai RM1 sesaham berdasarkan penawaran dana baru yang pernah dibuat PNB, akan mendapat sambutan menggalakkan seperti mana ASM yang menyaksikan peningkatan dana sehingga RM3 bilion daripada RM2 bilion sebelumnya.

Hamad menyifatkan saham amanah itu penting kerana sejumlah besar wang diperlukan oleh rakyat Malaysia terutama bumiputera untuk membiayai pelajaran anak-anak mereka.

Beliau berkata, amanah saham untuk tujuan pendidikan masih baru di kalangan bumiputera kerana selama ini mereka mendapat bantuan kerajaan untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran.

Terdahulu pada sidang akhbar itu, Hamad menyifatkan prestasi bursa saham tempatan yang telah menyaksikan kejatuhan harga sebanyak tiga peratus tahun ini sahaja, masih lagi baik berbanding bursa saham asing seperti Singapura dan Hong Kong.

Beliau mengharapkan pakej bernilai RM3 bilion dan langkah menggalakkan perbelanjaan dalam negeri akan turut meningkatkan lagi prestasi Bursa Saham Kuala Lumpur.

Katanya, PNB akan terus menumpukan kepada pembelian saham-saham jangka panjang antara tiga hingga lima tahun yang menguntungkan bukan hanya pulangan modal tetapi juga dividen.

``Saham-saham itu mungkin tidak baik dalam jangka pendek tetapi sebaliknya untuk jangka panjang,'' tambah beliau yang mengakui saham teknologi menarik untuk dilabur tetapi pilihan syarikat yang ada di Malaysia belum memuaskan.

Mengenai pulangan yang berikan oleh PNB, Hamad berkata, pulangan yang diberikan adalah bersaing, malah pulangan ASM adalah tinggi prestasi pasaran saham yang merosot.

``Kami beroperasi seperti bank tetapi memberikan pulangan yang baik dan pulangan 7.8 peratus adalah lebih baik berbanding kadar antara bank antara tiga hingga empat peratus dan deposit tetap,'' kata Hamad.

Ditanya sama ada PNB kini membeli secara agresif di BSKL, beliau berkata, ``kami sentiasa membeli apabila harganya munasabah dalam syarikat yang mempunyai pengurusan dan pulangan yang baik.''

Beliau menambah, pada masa ini, masih terdapat banyak peluang untuk membeli kaunter-kaunter saham yang baik dasarannya dan menguntungkan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi