EKONOMI

Utusan Malaysia 19 mac 2001

BSKL merosot: Majikan terlibat

KUALA LUMPUR 18 Mac - Kegagalan majikan menguruskan syarikatnya dengan berkesan juga merupakan punca kejatuhan Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), kata seorang pengarah firma perunding antarabangsa hari ini.

Pengurus Negara Hewitt Associates Sdn. Bhd., Daniel Wong berkata, syarikat yang diurus dengan baik akan dapat mengatasi sebarang tekanan sekalipun berada di dalam kegawatan ekonomi.

``Pengurusan tidak cekap memang ada kena-mengena dengan keadaan pasaran semasa sebagaimana kaitan kelembapan yang dialami sekarang dengan tekanan pasaran luar.

``Tetapi, bagaimana majikan menguruskan kerja-kerja dalaman syarikatnya juga boleh menjadi faktor kepada keadaan pasaran sekarang,'' katanya kepada Utusan baru-baru ini.

Menurut Wong, ia berpunca daripada kesilapan organisasi itu sendiri yang tidak mempunyai pengurusan yang baik, dan gagal mengambil langkah-langkah untuk menghadapi kegawatan ekonomi.

``Sudah tentu mereka tidak berupaya menghadapi tekanan luar tapi kalau mereka benar-benar kuat, mereka boleh terus hidup,'' katanya.

Sehingga Jumaat lalu, indeks komposit BSKL ditutup pada 672.01 mata, jatuh 3.85 mata berbanding 695.26 mata seminggu sebelumnya.

Wong menjelaskan, sekiranya majikan cekap menguruskan syarikatnya, mereka sudah tentu mampu mengatasi atau mengehadkan sebarang masalah ke tahap yang sepatutnya.

``Contohnya, jika majikan mampu mengurangkan atau mengekalkan kos serta mendorong kakitangan bekerja kuat terutama pada masa susah, sudah tentu mereka boleh menghadapi tekanan dari luar.

``Jadi, sekalipun menghadapi masa sukar, syarikat yang terurus itu akan tetap berdiri kukuh berbanding rakan-rakannya yang sememangnya lemah.

``Dalaman anda (pengurusan syarikat) memang dah lemah, kemudian datang tekanan luar, maka runtuhlah syarikat,'' katanya.

Sambil tidak menolak sepenuhnya bahawa pasaran dunia yang suram turut juga mempengaruhi prestasi BSKL, Wong berkata, ``Kita merupakan sebahagian daripada komuniti perdagangan antarabangsa dan sudah tentu apa yang terjadi di dunia luar akan turut menjejaskan kita.

``Kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat sebagai contoh, telah menyebabkan kuasa beli mereka merosot dan memberikan kesan langsung kepada jumlah eksport elektronik kita,'' kata beliau.

Tambahan pula, kata beliau, AS merupakan salah satu daripada rakan dagang Malaysia terutamanya bagi barangan elektrikal serta elektronik buatan tempatan.

Beliau, bagaimanapun melihat situasi pasaran yang sugul kini sebagai satu ujian yang baik atau kayu ukur bagi menentukan pengurusan syarikat itu baik atau tidak.

``Dalam keadaan yang baik, kita tidak akan dapat mengenalpasti syarikat yang benar-benar baik kerana mereka mendapat banyak perlindungan serta menikmati kelebihan yang jarang diperoleh ketika susah.''

Wong juga menekankan kepada pentingnya menjaga kepentingan pekerja sebagai aset utama syarikat yang kurang diberikan perhatian.

``Masa senang mereka kata pekerjalah segala-galanya tetapi bila susah, mereka buang pekerja yang sama,'' katanya.

Majikan perlu mula melabur di dalam teknologi, sumber manusia, latihan dan kepakaran untuk menempatkan diri setanding dalam persaingan, kata Wong lagi.

Oleh: SITI NORSHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi