EKONOMI

Utusan Malaysia 30 mac 2001

Maybank terima anugerah Bank Terbaik di Malaysia

KUALA LUMPUR 29 Mac - Malayan Banking Bhd. (Maybank) telah dianugerahkan sebagai Bank Terbaik di Malaysia oleh majalah The Asset bagi tahun 2001.

Maybank dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pengiktirafan tersebut berdasarkan kepada kekukuhan francaisnya sebagai bank untuk orang ramai.

The Asset menganggap Maybank layak mendapat anugerah itu kerana ia diuruskan oleh sebuah kumpulan yang cekap sehingga membolehkan Maybank mencapai pulangan yang tinggi dalam ekuiti sejak dua tahun lepas.

Anugerah The Asset Triple A itu telah disampaikan dalam satu majlis di sini hari ini oleh Pengarah dan Ketua Pengarang majalah The Asset, Sarah Sargent kepada Pengarah Eksekutif Maybank, Datuk Ismail Shahudin.

The Asset adalah majalah unik yang menyampaikan pelbagai maklumat kepada kumpulan profesional kewangan global.

Sehubungan itu, bagi pemilihan anugerah tersebut ia telah dilaksanakan oleh bahagian kajiannya yang meneliti pasaran yang terdiri daripada lebih 500 pelabur institusi serta 1,000 korporat setiap tahun.

Mengulas mengenai penerimaan anugerah tersebut, Ismail memberitahu Maybank begitu mengambil berat tentang perkhidmatan dan produknya bagi memenuhi permintaan pelanggan khasnya dalam memenuhi era perubahan global.

``Kami telah melabur dengan banyaknya dalam bidang teknologi untuk meningkatkan perkhidmatan antaranya perbankan elektronik dan perkhidmatan e-dagang kepada para pelanggan.

``Di samping itu, para pelanggan juga kini boleh menikmati urusan perbankan yang pantas dan maju seperti rangkaian e-Kawanku yang memperuntukkan perkhidmatan transaksi deposit tunai, mengemas kini buku simpanan, deposit segera cek, pembayaran bil serta transaksi wang segera.''

Tambah Ismail lagi, melalui penganugerahan tersebut akan memberi semangat kepada bank untuk terus mencapai ke tahap perkhidmatan berkualiti bukan hanya kepada pelanggan di Malaysia malah di 13 negara lain di mana kami telah beroperasi.''

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi