EKONOMI

Utusan Malaysia 30 mac 2001

MSC turut terkena kesan kelembapan ekonomi

KUALA LUMPUR 29 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, Koridor Raya Multimedia (MSC) tidak boleh mengelak daripada terkena kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, walaupun kesan itu belum dirasakan setakat ini tetapi ia sememangnya sesuatu yang dijangkakan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjangkakan bentuk dan akibat daripada kesan yang bakal diterima oleh MSC itu.

``Ia adalah di luar keupayaan saya untuk membuat ramalan kesan yang bakal diterima (oleh MSC),'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum MSC-Lucent Bell Labs Technology di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada MSC akan menerima kesan daripada kelembapan ekonomi AS kerana sebahagian daripada syarikat utama di MSC adalah milik pengusaha dari negara berkenaan.

Mengulas laporan media asing bahawa MSC menghadapi masalah sekarang ini, Dr. Mahathir mengakui bahawa MSC masih belum mencapai sasarannya.

Bagaimanapun, tegasnya, minat dan komitmen untuk melabur di MSC sudah melebihi jangkaan awal.

Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC), Tan Sri Dr. Othman Yeop Abdullah berkata, usaha lebih gigih perlu dilakukan untuk mempromosikan MSC.

Katanya, satu pelan tindakan berasaskan saranan daripada Mesyuarat Majlis Pelaksanaan (ICM) perlu dirangka termasuk mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

Selain itu, katanya, cadangan mesyuarat itu yang turut mencadangkan supaya satu bentuk insentif khusus diwujudkan berbanding satu insentif secara umum akan juga diteliti.

Pada masa ini, terdapat 471 syarikat berstatus MSC telah diluluskan termasuk 40 syarikat bertaraf dunia. Daripada jumlah itu, 420 syarikat telah beroperasi.

Dalam sidang akhbar itu, Dr. Mahathir turut menyatakan rasa puas hatinya terhadap usaha sama yang dijalankan antara universiti dan syarikat-syarikat MSC.

``Sebahagian daripada syarikat ini berminat menyertai projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan universiti, manakala, sebahagian lagi menaja kerusi-kerusi di universiti,'' katanya.

Sebagai contoh, program R&D di Universiti Multimedia dalam Program Profesor Pelawat Lucent Bell Labs telah berjaya mencipta tujuh aplikasi yang telah dipatenkan.

Mengenai Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang terus jatuh, Dr. Mahathir berkata, BSKL tidak boleh dijadikan petunjuk kepada keadaan ekonomi Malaysia yang sebenarnya.

``Saya suka mengingatkan, sejak tiga bulan lalu, pasaran saham Malaysia jatuh satu peratus, Nasdaq jatuh 40 peratus dan Dow Jones jatuh tujuh peratus.

``Jadi, berdasarkan keadaan ini, adakah mereka (Nasdaq dan Dow Jones) mempunyai syarikat yang teruk. Mereka ada Lucent (Technology) dan sebagainya. Mereka adalah syarikat yang baik.

``Jadi, jangan jadikan pasaran saham sebagai petunjuk kepada apa yang berlaku di negara ini,'' tegas Dr. Mahathir.

Beliau juga memberitahu bahawa kerajaan sedia memperkenalkan pakej baru sekiranya tujuh langkah awal yang diambil untuk menyerap kesan kelembapan ekonomi AS tidak berkesan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi