EKONOMI

Utusan Malaysia 30 mac 2001

Perbincangan aliran modal tidak memenuhi saranan

KUALA LUMPUR 29 Mac - Kemajuan dalam perbincangan mengenai perlunya mekanisme global untuk menguruskan aliran modal dalam usaha mewujudkan pasaran kewangan antarabangsa yang berfungsi dengan cekap di samping meminimumkan risiko kemeruapan yang keterlaluan dalam aliran modal antarabangsa adalah terhad dan tidak memenuhi saranan yang dikemukakan oleh Malaysia.

Malaysia masih meragui manfaat mengadakan lebih banyak kajian tanpa sebarang cadangan yang membina dan konkrit bagi memastikan aliran modal yang stabil di pasaran kewangan, kata Bank Negara Malaysia.

Sesungguhnya, kesimpulan yang dicapai semasa Mesyuarat Tahunan Kewangan Antarabangsa (IMF)/Bank Dunia pada tahun 2000 ialah perlunya bagi IMF untuk membuat kajian yang lebih mendalam ke atas aliran modal, kata Laporan Tahunan 2000 Bank Negara Malaysia, yang dikeluarkan semalam.

Katanya di IMF, sebuah Kumpulan Perundingan Pasaran Modal telah ditubuhkan untuk memudahkan pemahaman mengenai dinamika pasaran modal antarabangsa dan operasi institusi kewangan swasta.

Tambahan lagi, IMF telah mengumumkan keputusannya untuk menubuhkan Jabatan Pasaran Modal Antarabangsa pada 1 Mac 2000, kata Bank Negara.

IMF juga telah mengendalikan satu kajian mengenai "Pemantauan Berfrekuensi Tinggi terhadap Kedudukan dan Urus Niaga dalam Pasaran Pertukaran Asing" untuk meningkatkan kefahamannya mengenai perkembangan pasaran tersebut, katanya lagi.

Walaupun begitu, di peringkat serantau, beberapa inisiatif telah dilancarkan termasuklah pembentukan mekanisme kerjasama serantau bagi memudahkan pertukaran maklumat di kalangan ahli Bank-bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN), Reserve Bank of Australia dan Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong, katanya.

Bank Negara berkata pertukaran yang serupa juga dibincangkan di antara ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan sebagai sebahagian daripada pemantauan serantau di kalangan negara-negara ini.

Sedikit kemajuan telah tercapai daripada segi permuafakatan antarabangsa mengenai pengawalan tidak langsung ke atas institusi berleveraj tinggi.

Pada 22 Februari 2001, bank-bank yang aktif di pasaran pertukaran asing global telah menerbitkan satu set garis panduan amalan urus niaga yang baik untuk diterima pakai secara sukarela, katanya.

Mengenai rejim pertukaran yang sesuai, Bank Negara berkata masyarakat antarabangsa mengakui bahawa tidak ada rejim kadar pertukaran yang universal yang sesuai untuk semua negara pada setiap masa dan negara-negara tidak perlu menghadkan pilihan mereka kepada penyelesaian "serampang dua mata" iaitu rejim kadar pertukaran tetap atau rejim kadar pertukaran yang diapung secara bebas.

Ini adalah berbeza dengan kenyataan terdahulu, terutamanya dari IMF dan sebilangan negara perindustrian, mengenai kelebihan rejim kadar pertukaran yang lebih fleksibel, tambah Bank Negara.

Katanya lagi, sama ada Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) pada bulan Januari 2001, para menteri berpendapat rejim perantaraan seperti peraturan jaluran mungkin lebih sesuai bagi negara ekonomi baru muncul yang inginkan sedikit fleksibiliti di samping mengelakkan turun naik pertukaran yang keterlaluan.

Satu lagi isu di dalam agenda global pada tahun 2000 ialah penyusunan semula institusi kewangan antarabangsa.

Bank Negara berkata Malaysia kekal dengan pendiriannya bahawa penyusunan semula struktur kewangan antarabangsa perlu melibatkan penyusunan semula IMF dan institusi kewangan antarabangsa dan serantau yang lain.

Khususnya, IMF perlu mempertingkatkan ketelusan dan akauntabilitinya sendiri, memberikan semula tumpuan kepada fungsi utamanya selain mengelak daripada terlalu mencampuri hal dalam negeri negara anggota, katanya.

Penyusunan semula juga diperlukan dalam mempertingkatkan keupayaan IMF menyelesaikan masalah, berdasarkan pengajaran yang diperolehi daripada krisis kewangan Asia, katanya.

"IMF perlu mengelak kecenderungan untuk membebani program pinjamannya dengan isu-isu yang tiada kaitan dengan masalah yang dihadapi, katanya.

Mengenai mata wang tunggal untuk ASEAN, Bank Negara berkata walaupun tiada komitmen untuk mengadakan mata wang tunggal untuk ASEAN buat masa ini, kerja awal dalam bidang ini adalah sebahagian daripada program jangka panjang kerjasama kewangan ASEAN.

Menteri-menteri kewangan dan ketua-ketua negara ASEAN menganggap bahawa adalah berguna untuk mengenal pasti prasyarat, kos dan faedah mempunyai mata wang tunggal ASEAN, katanya.

Pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu-isu yang berkenaan akan memudahkan perbincangan dan penggunaan langkah-langkah yang bersesuaian di kalangan negara ASEAN yang diperlukan untuk mencapai matlamat jangka panjang ini, katanya lagi.

Mengenai liberalisasi sektor kewangan di Pertubuhan Perdagangan Sedunia, Bank Negara berkata Malaysia akan meneruskan dasar meliberalisasikan lagi sektor kewangan secara progresif dengan memastikan bahawa proses liberalisasi akan memberi faedah kepada ekonomi negara dan tidak mengancam kestabilan pasaran kewangan tempatan.

Strategi yang akan diambil ialah melalui pendekatan liberalisasi secara beransur-ansur dan progresif, selaras dengan keperluan ekonomi negara dan keupayaan infrastruktur yang sedia ada serta rangka kerja pengawalseliaan untuk menerima perubahan dan risiko yang timbul dalam suasana yang lebih liberal, katanya.

Pada masa ini, usaha tertumpu kepada membangunkan keupayaan bagi mengukuhkan institusi kewangan tempatan bagi membolehkan mereka menghadapi persaingan yang lebih sengit dalam suasana yang lebih liberal pada masa hadapan, katanya lagi.

Oleh itu, Bank Negara telah menumpukan usaha terhadap memperkukuhkan rangka kerja pengawalseliaan dan penyeliaan untuk meningkatkan keutuhan dan daya saing sistem kewangan serta meningkatkan pentadbiran korporat dalam sistem perbankan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi