EKONOMI

Utusan Malaysia 30 mac 2001

Imbangan pembayaran 2000 kukuh

KUALA LUMPUR 29 Mac - Imbangan pembayaran dalam tahun 2000 kekal teguh dengan lebihan yang besar dalam tahun 2000 berikutan kemasukan pelaburan jangka panjang.

Lebihan imbangan kali ini adalah berbeza dengan apa yang telah berlaku dalam tahun 1998 bila mana lebihan dagangan disebabkan oleh kemerosotan import tetapi ia menunjukkan pertumbuhan import dan eksport.

Di dalam Laporan Tahunan 2000 yang diumumkan semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata lebihan yang besar adalah disebabkan oleh pertumbuhan sektor elektronik, kekuatan permintaan dunia dan dagangan serantau.

Di dalam imbangan pembayaran 1998, susutan import merupakan penyebab utama lebihan dagangan.

Lebihan ini juga disebabkan tukaran asing yang stabil yang mana telah membolehkan pengeksport memenuhi peningkatan permintaan.

Lebihan dagangan dalam tahun 2000 juga telah dibantu oleh kenaikan harga minyak di mana Malaysia adalah negara pengeksport besar produk petroleum.

Akibatnya, akaun semasa kekal kukuh daripada segi nilai asas dan mencatatkan lebihan yang besar untuk tahun ketiga secara berturut-turut.

Walau bagaimanapun,lebihan tersebut telah mengecil kepada RM31.2 bilion atau 10 peratus daripada keluaran negara kasar (KNK) tahun lepas.

Ia adalah disebabkan peningkatan import yang mana amat diperlukan untuk memenuhi peningkatan permintaan oleh sektor eksport.

Ia adalah juga untuk menjana peningkatan kapasiti melalui pelaburan oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Secara perangkaan, import naik dengan kadar yang lebih pantas pada 25.7 peratus daripada eksport (16.1 peratus) yang mana mengecilkan lebihan dagangan kepada RM60.9 bilion tahun 2000.

Jumlah dagangan negara telah meningkat 20.3 peratus kepada RM686 bilion yang merupakan 221 peratus daripada KNK tahun lepas. Dalam tahun 1999, ia menyumbang 204 peratus daripada KNK. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi