Make your own free website on Tripod.com

EKONOMI

Utusan Malaysia 30 mac 2001

Kemelut pengurusan saham amanah negeri

Oleh: MOWARDI MAHMUD
SAHAM amanah negeri-negeri dilihat semakin lemah dan dianggap terburuk berbanding dengan tahun-tahun awal penubuhannya. Selain faktor pasaran saham yang tidak memberangsangkan, terdapat juga faktor-faktor lain yang memberikan tekanan yang tidak berasas kepada pengurus-pengurus dana tersebut sehingga `menjerut' mereka seperti mana yang dilihat sekarang.

Kemelut ini dapat dilihat apabila kebanyakan saham amanah negeri-negeri mencatatkan nilai aset bersih yang rendah dan dipaparkan melalui harga jualan semasa. Berdasarkan pada kedudukan semasa, tidak mustahil jika saham amanah negeri-negeri tidak akan mengumumkan pengagihan pendapatannya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beberapa pengurus dana yang dihubungi memaklumkan bahawa langkah-langkah untuk meningkatkan prestasi tabung telah dibuat seawal tahun 1999 lagi. Walau bagaimanapun usaha ini tidak dapat berjalan dengan lancar kerana terdapat elemen lain yang perlu diambil kira terutamanya dari segi desakan untuk tetap membayar dividen walaupun keadaan tidak mengizinkan.

Faktor kegagalan untuk membayar dividen akan mengikis keyakinan pelabur terhadap usaha kerajaan negeri. Manakala pelabur pula akan bersikap kurang rasional dan seolah-olah tidak memahami hakikat pelaburan.

Walaupun dari segi nama ia dipanggil amanah saham negeri tetapi bentuk pelaburan yang dibuat adalah melabur di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan bukannya melabur dalam projek-projek kerajaan negeri seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ini bermakna prestasinya juga bergantung kepada kedudukan pasaran saham negara.

Tidak semua saham amanah negeri mempunyai cara pelaburan yang sama, ada yang bersifat konvensional dan ada yang berteraskan syariah. Bagi yang berteraskan syariah, sekiranya Indeks Komposit BSKL meningkat akibat sokongan daripada kaunter-kaunter yang bukan berteraskan syariah, ini tidak bermakna saham amanah tersebut semestinya akan turut naik. Ini kerana saham amanah yang berteraskan syariah tidak boleh melanggan kaunter tersebut, lantas tidak memberi kesan ke atas kedudukan portfolio pelaburannya.

Memandangkan bentuk pelaburan yang sebegini rupa, maka pulangan pelaburan adalah dalam bentuk keuntungan daripada pembelian saham-saham. Sekiranya saham yang dibeli tidak dapat dijual kerana harganya jatuh, maka tabung tidak akan memperoleh keuntungan. Tanpa keuntungan sudah tentu menyukarkan pengurus dana untuk membuat pengagihan pendapatan kepada para pelabur.

Sumbangan dari kerajaan negeri ada kalanya terpaksa dilaksanakan bagi mengatasi desakan daripada para pelabur yang mahukan pelaburan mereka sentiasa mendapat pulangan yang berterusan. Dengan hakikat bahawa dividen perlu dibayar, maka pihak pengurus dana terpaksa berhati-hati dalam melaksanakan strategi penstrukturan portfolionya. Ini bagi memastikan Penyata Untung Rugi tabung tidak mencatatkan kerugian setelah mengambil kira standard perakaunan bagi membolehkan dividen dibayar.

Beberapa langkah telah diambil oleh pengurus-pengurus dana dalam memulihkan kedudukan prestasi tabung yang antaranya adalah dengan melaksanakan proses pemotongan kerugian ke atas kaunter-kaunter yang telah tidak mempunyai prospek yang baik. Penerimaan modal daripada proses ini akan digunakan untuk membeli kaunter lain yang mempunyai fundamental yang kukuh.

Proses pemotongan kerugian kadangkalanya tidak dapat dilaksanakan dengan lancar kerana kaunter-kaunter terlibat telah menjadi tidak aktif dan jumlah dagangan harian terlalu tipis manakala julat bezaan pula terlalu besar. Setelah usaha membeli saham-saham yang lebih baik dilakukan, prestasi tabung masih tidak berubah kerana kaunter-kaunter yang dibeli tidak dapat memberikan pulangan yang baik atau langsung jatuh selepas pembelian dibuat.

Ini berlaku kerana sentimen pasaran saham negara secara keseluruhannya dilihat sebagai suram, kurang memberangsangkan, menunjukkan arah aliran penurunan yang ketara dan tidak mencerminkan keadaan sebenar pemulihan ekonomi negara.

Sentimen lembap pasaran saham yang ditutup di bawah paras psikologi 700 mata pada penghujung tahun 2000 telah berlanjutan sehingga kini. Prestasi BSKL yang kurang menggalakkan kebelakangan ini juga dipengaruhi oleh kejatuhan bursa saham serantau seperti Singapura, Hong Kong dan Jepun, selain kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat.

Pengurus-pengurus dana juga dijangka tidak akan mengagihkan pendapatannya dan kalau ada pun pada kadar yang kecil. Ini kerana jumlah mudah tunai yang ada akan dikekalkan dalam tabung supaya berpeluang memasuki pasaran dengan membeli saham-saham yang berpotensi bagi mengimbangi strategi meningkatkan prestasi tabung. Ini bermakna, penumpuan pelaburan hanya akan dibuat ke atas kaunter-kaunter yang berkaitan dengan Indeks Komposit dan Indeks Modal Morgan Stanley (MSCI).

Kegagalan saham-saham senaraian baru memberikan premium selepas diapungkan menyebabkan tawaran langganan awam oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Kementerian Kewangan terpaksa ditolak terutamanya yang melibatkan kaunter-kaunter yang disenaraikan di Papan Kedua yang lebih banyak bersifat spekulatif.

Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memulihkan prestasi tabung. Pelaburan yang dibuat oleh saham amanah negeri yang berteraskan syariah juga terpaksa dibuat secara berhati-hati kerana status pelaburan yang dibenarkan mengikut ketetapan syariah ke atas sesuatu syarikat boleh berubah pada bila-bila masa berdasarkan kepada aktiviti perniagaan yang dibuat oleh syarikat tersebut.

Risiko ini memungkinkan saham amanah yang berteraskan syariah terpaksa menanggung kerugian akibat melupuskan kaunter-kaunter yang telah menjadi tidak syariah walaupun semasa dibeli ia menepati kriteria syariah yang ditetapkan.

Di sini jelas menunjukkan bahawa pengurus-pengurus dana saham amanah negeri ada mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam mengembalikan prestasi tabung masing-masing. Oleh itu para pelabur perlu memahami kedudukan ini dan tidak mendesak supaya tabung akan terus memberikan pulangan setiap tahun. Kadangkala keadaan tidak menyebelahi mereka bila mana strategi yang dirancang tidak menjadi. Dalam keadaan ini, perlukah pengurus-pengurus dana masih terus dipersalahkan sedangkan langkah-langkah wajar telah diambil?

Sememangnya benar, para pelabur inginkan pulangan daripada pelaburan yang dibuat tetapi keengganan untuk memahami realiti adalah sesuatu yang tidak harus ada apabila melabur. Ini kerana pelabur telah dimaklumkan dengan secukupnya sejak awal lagi tentang risiko-risiko melabur dalam saham amanah melalui prospektus yang disediakan.

Kenyataan-kenyataan peringatan juga turut didedahkan di mana pengagihan perolehan bukanlah sesuatu yang dijamin dan rekod pencapaian masa lalu bukan jaminan atau gambaran perolehannya pada masa hadapan. Persoalan tentang kemampuan para pengurus dana juga tidak harus timbul kerana sebahagian besar daripada mereka adalah berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang pelaburan.

Ada antaranya datang dari industri saham amanah itu sendiri termasuk dari Permodalan Nasional Berhad (PNB), rumah pelaburan saham amanah terbesar di negara ini.

Pengerusi Persatuan Amanah Saham Negeri-Negeri, Norkhalim Ahmad mengakui bahawa usaha-usaha pemulihan prestasi portfolio tabung telah, sedang dan terus diambil. Bagaimanapun, terdapat faktor-faktor lain yang sukar dielakkan dan perlu diambil kira dan ini telah sedikit sebanyak telah menjejaskan proses penstrukturan yang dilak-sanakan.

Biarpun terdapat pandangan perlunya penggabungan saham-saham amanah negeri tetapi ia adalah sekadar salah satu alternatif kerana keberkesanannya harus dikaji secara mendalam kerana setiap saham amanah negeri mempunyai agenda masing-masing walaupun objektif asalnya adalah serupa. Buat masa ini pengurus-pengurus dana dipercayai sedang melihat alternatif lain yang lebih berkesan untuk jangka panjang.

Langkah lain yang boleh dilaksanakan adalah dengan mendapatkan sokongan daripada pihak kerajaan negeri yang kini belum berlaku. Tanggapan orang ramai bahawa pelaburan saham amanah negeri ada kaitannya dengan pelaburan yang dibuat oleh pihak Kerajaan negeri, adalah kurang tepat. Buat masa ini boleh dikatakan semua saham amanah negeri melabur dalam pasaran ekuiti dan pasaran wang.

Pada peringkat awalnya, sememangnya dinyatakan bahawa tabung saham amanah negeri akan melabur di dalam syarikat-syarikat yang mana kerajaan negeri mempunyai kepentingan sejajar dengan objektif penubuhannya untuk mengagihkan sumber kekayaan negeri kepada masyarakat teramai secara lebih adil dan saksama. Tetapi sehingga kini, ia akan berlaku hanya apabila syarikat-syarikat tersebut akan disenaraikan. Syarikat-syarikat di mana kerajaan negeri mempunyai kepentingan yang berpotensi untuk disenaraikan juga tidak banyak.

Selain itu, operasi pelaburan yang dibuat juga hendaklah menepati garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti. Sekiranya pelaburan di dalam projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri perlu dibuat, ia akan terlebih dahulu dikaji dengan teliti terutamanya dari segi risiko dan pulangannya.

Berdasarkan perkembangan ini, langkah-langkah wajar perlu diambil untuk membantu amanah-amanah saham negeri untuk terus berkembang. Ia merupakan penglibatan yang melibatkan semua pihak daripada para pemegang unit, pengurus dana hinggalah Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Tanpa sebarang tindakan yang jitu dan bersungguh-sungguh, minat dan keyakinan di kalangan pelabur sedia ada dan juga pelabur baru boleh terhakis.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi