EKONOMI

Utusan Malaysia 01 april 2001

Perbankan Islam catat peningkatan keuntungan pada 2000

KUALA LUMPUR 31 Mac - Bank Negara Malaysia menyatakan sektor perbankan Islam mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM534.5 juta bagi tahun 2000 berbanding RM355.3 juta pada tahun 1999.

Peningkatan keuntungan itu membolehkan sektor ini terus menjana kadar pulangan aset yang positif sebanyak 1.1 peratus (1 peratus pada tahun 1999) dan pulangan ekuiti sebanyak 21.2 peratus pada tahun ini (17.5 peratus pada tahun 1999), kata Bank Negara dalam Laporan Tahunan 2000 yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, jumlah aset sektor perbankan Islam meningkat sebanyak RM10.9 billion atau 30 peratus kepada RM47.1 billion pada akhir tahun 2000 ekoran aktiviti ekonomi yang semakin pesat.

Kualiti aset pembiayaan Islam terus menunjukkan prestasi yang semakin baik sepanjang tahun 2000.

Bagaimanapun, nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPF) menurun kepada 7 peratus pada tahun 2000 dari 8.2 peratus pada tahun berikutnya.

Penurunan dalam nisbah NPF ini disebabkan oleh peningkatan yang tinggi dalam jumlah pembiayaan pada tahun 2000 yang jauh melebihi kenaikan mutlak sebanyak RM534 juta.

Sektor harta benda terus menguasai sebahagian besar daripada jumlah NPF, pada 50.2 peratus (49 peratus pada tahun 1999).

Pada tahun 2000, jumlah urus niaga dana dalam pasaran wang antara bank secara Islam (PWABI) merosot sebanyak 30.7 peratus kepada RM301.9 billion.

Jumlah urus niaga yang lebih rendah ini, adalah disebabkan oleh kemerosotan dalam pelaburan Mudharabah antara bank sebanyak RM138.3 billion.

Seiring dengan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh sepanjang tahun 2000, sebahagian besar dana sektor perbankan Islam diperolehi daripada deposit, yang mencakupi sebanyak 76.3 peratus daripada jumlah keseluruhan sumber dana.

Bahagian pasaran perbankan Islam berbanding sistem perbankan dari segi aset meningkat kepada 6.9 peratus berbanding 5.5 peratus pada tahun 1999, manakala deposit dan pembiayaan perbankan Islam masing-masing mencatatkan bahagian pasaran sebanyak 7.4 peratus dan 5.3 peratus.

Seterusnya, pada akhir Disember 2000, terdapat 49 peserta dalam sistem perbankan Islam, terdiri daripada dua bank Islam dan 47 institusi perbankan konvensional yang menyertai Skim Perbankan Islam (institusi perbankan SPI).

Apabila proses penggabungan institusi-institusi perbankan dalam negeri disempurnakan kelak, bilangan peserta dijangka akan berkurangan kepada 35, terdiri daripada dua bank Islam dan 33 institusi perbankan SPI.

Satu pencapaian besar dalam hala tuju perkembangan Islam untuk masa hadapan ialah pelancaran pelan induk sektor kewangan pada Mac 2001, yang turut memaparkan pelan induk 10 tahun perbankan Islam dan takaful.

Objektif keseluruhan pelan induk perbankan Islam dan takaful adalah untuk mewujudkan satu sistem kewangan Islam yang cekap, progresif dan lengkap selain memperkenal Malaysia sebagai pusat perbankan dan kewangan Islam di rantau ini.

Matlamat utama adalah untuk menguasai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bahagian pasaran perbankan menjelang tahun 2010.

Selain itu, langkah-langkah khusus diambil untuk membangunkan infrastruktur kewangan dan rangka kerja pengawalseliaan bagi menyokong perkembangan industri perbankan islam.

Antaranya ialah, institusi perbankan Islam dibenarkan untuk menawarkan produk pembiayaan kadar terapung secara Islam tertakluk kepada kelulusan Bank Negara.

Pindaan juga merangkumi ke atas Garis Panduan Instrumen Boleh Niaga Secara Islam (INI) dari segi penetapan harga, spesifikasi penerbitan, struktur kematangan dan amalan pasaran yang seragam yang memberi fleksibiliti kepada institusi perbankan Islam memenuhi keperluan pembiayaan mereka.

Bank-bank perdagangan SPI juga dibenar menawarkan kemudahan pajakan Islam di bawah konsep Al-Ijarah Thumma Al-Bai, tertakluk kepada syarat bahawa kemudahan pajakan Islam tersebut adalah pembiayaan peralatan industri dan mesin berat bernilai lebih daripada RM200,000.

Bank Negara juga telah menetapkan sasaran bahawa institusi perbankan SPI dikehendaki menguasai sekurang-kurangnya 5 peratus perniagaan perbankan Islam dari segi aset, deposit dan pembiayaan berbanding perniagaan institusi perbankan berkenaan menjelang akhir tahun 2000.

Pada akhir Disember 2000, lima bank perdagangan, enam syarikat kewangan dan dua bank saudagar telah berjaya mencapai sasaran bagi ketiga-tiga komponen yang ditetapkan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi