EKONOMI

Utusan Malaysia 01 april 2001

Sukar dapat pinjaman halang IKS berkembang

KUALA LUMPUR 31 Mac - Kesukaran mendapatkan bantuan kewangan dikatakan sebagai faktor utama yang menghalang perkembangan industri kecil dan sederhana (IKS), kata Penolong Pengurus Besar (pembangunan perniagaan) Malaysia Industrial Development Finance Bhd. Ahmad Radzi Abdul Majid.

Beliau berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dan Laporan Kajian Perindustrian Malaysia 1999 mengenai masalah yang dihadapi IKS.

Masa pemerosesan yang lama yang diambil oleh institusi kewangan berkaitan pinjaman yang dipohon juga merupakan satu faktor, kata Ahmad Radzi dalam kertas kerjanya bertajuk Kewangan bagi Sektor Pembuatan dan Berkaitan Perkhidmatan, pada seminar kebangsaan dua hari mengenai Pelaburan dalam Sektor Pembuatan, bermula kelmarin.

Beliau berkata, IKS juga mengadu mengenai kurang semangat dengan institusi kewangan dalam pemberian pinjaman/bantuan.

Dalam aspek yang lain, terdapat juga IKS yang tidak menyedari mengenai insentif kerajaan yang disediakan dan dana bagi perniagaan tertentu berikutan kekurangan penyebaran maklumat, kata beliau. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi