EKONOMI

Utusan Malaysia 01 april 2001

Kumpulan pakar ASEAN-China telah dirasmikan di KL

KUALA LUMPUR 31 Mac - Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Bersama ASEAN-China mengenai Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi di sini telah merasmikan penubuhan Kumpulan Pakar ASEAN-China bagi Kerjasama Ekonomi yang dicadangkan oleh Perdana Menteri China Zhu Rong Ji.

Zhu telah mencadangkan penubuhan Kumpulan Pakar berkenaan yang boleh memantau kesan kemasukan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN-China November lepas.

Kumpulan Pakar itu juga boleh mengemukakan cadangan untuk terus mengembangkan kerjasama dan integrasi ekonomi ASEAN-China, termasuk kemungkinan penubuhan kawasan perdagangan bebas antara ASEAN dan China.

Menurut kenyataan media bersama jawatankuasa berkenaan baru-baru ini, Kumpulan Pakar itu akan diketuai oleh pegawai kerajaan tetapi boleh ditambah dengan penyertaan ahli akademik dan pakar-pakar lain.

Setiap negara ASEAN dan China akan mencalonkan wakil-wakil mereka ke Kumpulan Pakar itu, kata kenyataan itu.

Mesyuarat hari ini telah dipengerusikan bersama Krik-Krai Jirapeet, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Thai dan An Min, Timbalan Menteri Perdagangan Luar dan Kerjasama Ekonomi China.

Mesyuarat itu dijangka mengadakan mesyuarat pertama Menteri-menteri Ekonomi ASEAN-China di Hanoi, Vietnam tahun ini.

Jawatankuasa itu berkata, Kumpulan Pakar ASEAN-China akan mengemukakan laporannya ke mesyuarat sulung di Hanoi itu sebelum dikemukakan ke Sidang Kemuncak ASEAN-China di Brunei.

Kumpulan Pakar itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya di China bulan depan dan mesyuarat seterusnya akan digilirkan antara ASEAN dan China, tambah jawatankuasa itu lagi. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi