EKONOMI

Utusan Malaysia 02 april 2001

Dana amanah negeri disarankan supaya gabung

KUALA LUMPUR 31 Mac - Dana saham amanah negeri yang kini menghadapi kemerosotan prestasi, disarankan supaya bergabung dan diletakkan di bawah sebuah pengurusan sahaja.

Menurut seorang pengurus dana swasta yang enggan namanya disiarkan, penggabungan itu boleh dilakukan dengan menukarkan pegangan unit sedia ada dengan unit baru.

``Ia seperti kita memulakan semula dengan mempunyai dana saham amanah yang baru,'' kata beliau kepada Utusan sambil menambah, bagaimanapun, para pemegang unit akan menyaksikan pengurangan pegangan berbanding dengan nilai asalnya.

Pengurus dana swasta itu menambah, ia tidak semestinya digabungkan dan diletakkan di bawah pengurusan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) seperti mana yang saran oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, sumber industri yang rapat dengan pengurusan saham amanah negeri pula tidak menyetujui pandangan tersebut kerana langkah itu bukan penyelesaian mutlak dan menyeluruh.

Menurut beliau, penggabungan yang disarankan itu hanya akan menyelesaikan masalah pengurusan semata-mata dan bukan masalah lain.

Katanya, saham-saham amanah negeri tidak menghadapi masalah pengurusan kerana kebanyakan mereka adalah profesional dan ada juga yang datangnya daripada Permodalan Nasional Bhd..

Beliau berkata, masalah yang dihadapi para pengurus kini adalah saham-saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang menjadi portfolio pelaburan mereka telahpun jatuh nilainya dengan teruk.

Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) Jumaat lalu telah menyaksikan indeks kompositnya jatuh kepada terendah dalam tempoh dua tahun apabila ditutup pada 647.48 mata.

Beliau menyarankan, kerajaan mungkin boleh membantu dengan membeli saham-saham itu pada harga diskaun dan ini sekaligus membolehkan pengurus dana yang bermasalah untuk mengeluarkan unit-unit baru untuk mendapatkan sumber kewangan untuk meningkatkan lagi operasi.

Katanya, pengurus dana mungkin rugi sedikit tetapi ia mengurangkan bebanan yang ditanggung.

Menurutnya, tanpa bantuan kerajaan, para pengurus dana yang tidak dibenarkan menambah saiz dana saham amanah sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, dengan dibenarkan menawarkan unit baru, pengurus dana akan mempunyai ruang untuk mendapatkan dana.

Oleh: MOWARDI MAHMUD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi