Make your own free website on Tripod.com

EKONOMI

Utusan Malaysia 02 april 2001

Melabur dalam suasana tidak menentu

DUNIA pelaburan memang penuh dengan risiko, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Hampir setiap hari, para pelabur diselubungi dengan khabar-khabar yang cukup mencemaskan - NASDAQ menjunam ke tahap yang terendah, kesuraman ekonomi di Jepun yang berterusan, penutupan kilang, pemberhentian pekerja-pekerja dan sebagainya.

Di dalam suasana perniagaan yang semakin tinggi risikonya, para pelabur seharusnya memilih pelaburan yang selamat.

Pelaburan yang selamat bermakna memilih syarikat-syarikat yang mantap dan mempunyai risiko yang rendah untuk terjerumus ke dalam kegagalan korporat. Analisa-analisis awal sesuatu pelaburan hendaklah merangkumi:

1. Prospek perniagaan sesebuah syarikat

Pertama, para pelabur mestilah memastikan sama ada syarikat tersebut terlibat di dalam industri yang sedang berkembang atau industri yang kukuh. Syarikat-syarikat yang berada di dalam industri yang sedang berkembang berkemungkinan mencatatkan pertumbuhan yang lebih memberangsangkan berbanding peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Manakala syarikat-syarikat yang berada di dalam industri yang kukuh mempunyai daya ketahanan yang tinggi daripada dilanda badai sekiranya ekonomi mengalami kejatuhan. Walau bagaimanapun, dengan hanya melihat kepada prospek industri sahaja tidak memadai.

Sebagai contoh, walaupun sebuah syarikat berada di dalam industri yang sedang berkembang, ia mungkin bukan pilihan yang sesuai sekiranya syarikat itu sentiasa kehilangan pelanggannya ke syarikat-syarikat yang lain dan mempunyai daya saingan yang rendah. Oleh itu, para pelabur perlu memilih syarikat-syarikat pendahulu dan mempunyai kepakaran tersendiri di dalam industri tersebut.

2. Pengurusan.

Sekiranya syarikat itu diandaikan sebagai sebuah kenderaan, maka pihak pengurusan adalah pemandunya yang akan menentukan hala tuju syarikat tersebut. Pengurus yang baik adalah seperti pemandu yang mampu memandu kenderaannya dalam kesesakan lalu-lintas yang mencabar, bukan pengurus yang sering mengakibatkan kemalangan.

Dalam kata lain, para pelabur mestilah melihat kepada pihak pengurusan yang sentiasa mencari peluang untuk memanfaatkan para pemegang saham menerusi pelaburan-pelaburan yang menguntungkan atau melalui pembayaran dividen yang tinggi.

Pihak pengurusan boleh diibaratkan sebagai ejen para pemegang saham, dengan tugas untuk menjana pulangan yang terbaik kepada para pemegang saham. Justeru syarikat-syarikat yang diketuai oleh pihak pengurusan yang kurang cekap dan hanya memberi keutamaan kepada sesetengah pelaburnya hendaklah diketepikan.

3. Kedudukan kewangan.

Di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan risiko-risiko perniagaan yang kian meningkat, kedudukan kewangan dan aliran tunai sesebuah syarikat amatlah penting. Syarikat-syarikat yang mencatatkan keuntungan tidak semestinya terlepas dari kemelut kewangan dan aliran tunai yang membebankan. Ini adalah kerana perolehan sesebuah syarikat tidak menggambarkan aliran tunai yang sebenarnya.

Sehubungan dengan itu, penggunaan nisbah-nisbah kewangan, walaupun tidak sepenuhnya berkesan, boleh membantu para pelabur untuk mencongak kedudukan kewangan sesebuah syarikat. Di antara nisbah-nisbah kewangan syarikat yang biasa digunakan ialah:

Nisbah semasa: (harta semasa/tanggungan semasa) Harta semasa adalah harta yang boleh dicairkan ke dalam tunai dan boleh digunakan untuk jangka masa 12 bulan ke hadapan. Tanggungan semasa adalah tanggungan yang akan luput dalam tempoh 12 bulan akan datang. Nisbah ini memberi gambaran tentang keupayaan sesebuah syarikat dalam melunaskan pembayaran hutang-hutang jangka pendek.

Kebiasaannya, nisbah yang memuaskan ialah 2.0x, tetapi melalui teknik-teknik pengurusan tunai yang semakin cekap, nisbah tersebut telah dikurangkan. Walaubagaimanapun, secara umumnya nisbah semasa mestilah sekurang-kurangnya melebihi 1.0x kerana ini menunjukkan syarikat mempunyai kecairan asset yang mencukupi bagi menghadapi liabiliti jangka pendek.

Nisbah hutang bersih (hutang bersih/dana pemegang saham). Pada kebiasaannya, nisbah hutang bersih memberi gambaran kepada kita tentang kedudukan hutang sesebuah syarikat yang dibandingkan dengan dana pemegang sahamnya. Walaupun nisbah yang memuaskan berbeza dari satu industri ke industri yang lain - sebagai contoh, syarikat-syarikat perkapalan selalunya mempunyai nisbah yang tinggi - tetapi pada amnya, nisbah yang memuaskan ialah 1.0x ke bawah.

Nisbah yang tinggi menunjukkan syarikat itu terlalu bergantung kepada hutang dalam menjalankan perniagaannya. Ini akan mengakibatkan margin keuntungan menguncup akibat pembayaran faedah yang tinggi.

Nisbah perlindungan faedah (keuntungan sebelum cukai+perbelanjaan faedah)/perbelanjaan faedah). Nisbah ini mengukur keupayaan sesebuah syarikat dalam pembayaran faedah ke atas hutang. Oleh yang demikian, lebih tinggi nisbahnya, maka lebih tinggi margin perlindungannya. Nisbah yang negatif bermakna ketidakupayaan syarikat tersebut untuk membayar faedah ke atas hutangnya, manakala nisbah yang kurang daripada 1.0x menunjukkan syarikat berkenaan hanya mampu membayar sebahagian daripada faedah ke atas hutangnya. Akhir sekali, nisbah 1.0x menunjukkan syarikat itu berkemampuan untuk membayar kesemua faedah ke atas pinjamannya. Namun selepas itu, syarikat tersebut tidak mempunyai rizab untuk pelaburan seterusnya atau diagihkan kepada para pelaburnya.

Altmans Z-score. Nisbah ini telah dikemukakan pada tahun 1977 oleh seorang profesor Amerika, Altman. Nisbah ini berdasarkan kepada purata wajaran untuk 5 nisbah yang berikut:

Z-score = 1.2A + 1.4B +3.3C +0.6D + 1.0E

Di mana, A = Modal kerja / Jumlah aset

B = Rizab pendapatan / Jumlah aset

C = Keuntungan sebelum faedah dan cukai / Jumlah aset

D = Permodalan pemasaran / Jumlah aset

E = Perolehan / Jumlah aset

Nisbah 3.0 dan ke atas menunjukkan syarikat berkenaan tidak berkemungkinan mengalami kegagalan korporat, manakala nisbah 1.8 atau kurang menunjukkan kebarangkalian yang tinggi untuk syarikat mengalami kegagalan korporat. Nisbah di antara 1.9 hingga 2.99 pula memberi gambaran bahawa kebarangkalian untuk kegagalan korporat tidak menentu.

Berdasarkan kajian di Amerika Syarikat, Z-score mampu meramal kegagalan korporat dengan 95 peratus ketepatan untuk 1 tahun sebelum sesebuah syarikat jatuh bankrap dan 72 peratus ketepatan untuk 2 tahun sebelum kebankrapan. Oleh itu, Z-score amat berguna untuk menolong para pelabur mengenal pasti syarikat-syarikat yang berkemungkinan akan menghadapi masalah kewangan.

ASM Asset Management Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Amanah Saham Mara Bhd. ialah syarikat pengurus pelaburan bagi beberapa dana korporat dan dana-dana saham amanah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi