EKONOMI

Utusan Malaysia 21 mac 2001

Mahathir sifatkan analisis pasaran saham `penilaian malas'

KUALA LUMPUR 20 Mac - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan analisis yang mengaitkan kejatuhan pasaran saham tempatan dengan tahap tadbir urus korporat yang rendah sebagai ``penilaian malas.''

Perdana Menteri berkata, penilaian yang lebih tepat sepatutnya mengambil kira petunjuk ekonomi negara secara menyeluruh kerana pasaran saham masih terbuka untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

``Lihatlah kepada keuntungan, jualan, perangkaan eksport serta jumlah kapal yang masuk dan nilaikan sama ada terdapat sesuatu yang tidak kena mengenai (tadbir urus) syarikat-syarikat (di negara ini).

``Penilaian menggunakan petunjuk saham ini bukanlah penilaian yang betul sebaliknya adalah penilaian yang malas,'' katanya dalam sesi dialog selepas merasmikan seminar `Kewibawaan Dalam Perniagaan - Langkah Ke Hadapan' di sini hari ini.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama oleh Badan Pencegah Rasuah, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Perdana Menteri menjawab soalan peserta sama ada kemerosotan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) adalah akibat tahap tadbir urus korporat yang rendah seperti yang dilaporkan oleh media asing.

Menurut Dr. Mahathir, jika indeks komposit Kuala Lumpur dijadikan pengukur tadbir urus, maka kejatuhan teruk indeks Dow Jones di New York baru-baru ini membayangkan tahap tadbir urus syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang buruk.

``Pasaran saham kita pernah jatuh sehingga 262 mata satu masa dahulu tetapi naik semula melebihi 800 mata, jadi adakah ini disebabkan tahap tadbir urus korporat atau ada sebab lain?,'' soalnya.

Beliau berkata, tahap tadbir urus korporat di negara ini sebenarnya lebih baik dari sebahagian negara maju di segi pengurusan dan ketelusannya.

Perdana Menteri dalam sidang akhbar selepas itu berkata, trend pembuangan pekerja oleh beberapa syarikat asing yang beroperasi di negara ini adalah disebabkan oleh jangkaan kelembapan ekonomi AS.

``Kita percaya kelembapan ekonomi AS mestilah ada kesan kepada Malaysia kerana 18 peratus barangan kita dieksport ke AS, khususnya elektronik,'' katanya.

Bagaimanapun, para pekerja tersebut tidak perlu gusar kerana peluang pekerjaan masih banyak tanpa mengambil kira pekerjaan yang dipegang oleh hampir dua juta rakyat asing di negara ini.

``Tanggungjawab kita lebih kepada pekerja kita kerana kalau kita dapati pekerja kita tidak ada peluang kerja, kita terpaksa hantar balik pekerja asing,'' katanya.

Malaysia mempunyai kadar pengangguran yang rendah dengan hanya antara 2.5 peratus hingga 3 peratus tenaga kerja yang tidak mempunyai pekerjaan, tambah Perdana Menteri.

Mengenai pembuangan para pekerja bank, Dr. Mahathir berkata, ia tidak dapat dielakkan berikutan penggabungan antara bank-bank tempatan tetapi mereka boleh mendapatkan kerja lain dengan mudah berdasarkan pengalaman serta kemahiran yang mereka miliki.

``Kalau pekerja bank nak cari kerja saya rasa tak susah kerana kita ada banyak peluang kerja... peluang berniaga pun banyak,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi