EKONOMI

Utusan Malaysia 02 april 2001

Menilai francaisor dan sistem francais

PADA 6 April nanti, Persatuan Francais Malaysia akan mengadakan majlis makan malam perdana dan Anugerah Kecemerlangan Francais 2000.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan persetujuan untuk hadir sebagai tetamu kehormat majlis yang diadakan buat kali ketiganya ini.

Selain bertujuan untuk mengumpul dan mengeratkan silaturahim di antara usahawan dan penggerak francais seperti francaisor, francaisi, institusi sokongan dan agensi kerajaan, majlis yang diadakan buat kali ke-3 ini juga akan menyaksikan penyampaian anugerah-anugerah francais sebagai pengiktirafan kepada mereka yang mencapai kejayaan cemerlang di dalam kategori masing-masing.

Jawatankuasa penilaian dan penghakiman telah mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan dan calon-calon telah dinilai dari aspek-aspek bilangan dan mutu secara seimbang.

Aspek-aspek daya maju perniagaan seperti peningkatan nilai jualan, keuntungan dan pertambahan bilangan francaisi dinilai seiringan dengan aspek-aspek kemantapan sistem operasi, dokumentasi, hubungan francaisor-francaisi, khidmat sokongan, pengiklanan dan promosi serta sumbangan terhadap agenda pembangunan usahawan francais negara.

Pada asasnya, penilaian yang hampir serupa perlu dilakukan oleh bakal francaisi sebelum membuat apa-apa keputusan membeli dan menyertai sesuatu perniagaan francais, sama ada sebagai francaisi unit atau francaisi induk.

Setakat manakah pelaburan di bidang francais selamat?

Dalam memasarkan produk atau perkhidmatan francais, francaisor seringkali merujuk kepada hasil satu kajian dijalankan di Amerika Syarikat yang menyatakan 95 peratus perniagaan francais berjaya, dibandingkan dengan 65 peratus kegagalan perniagaan persendirian dalam tempoh lima tahun pertama.

Namun berdasarkan satu kajian mutakhir yang dijalankan oleh Rubinoff Rager Incorporated, mendakwa bahawa fakta tersebut bukan sahaja tidak tepat, malah keghairahan francaisor menguar-warkannya boleh disifatkan satu manipulasi yang bertujuan memperdaya bakal francaisi.

Sedangkan sepatutnya bakal francaisi diberikan statistik yang lebih realistik dan relevan dengan sistem francais milik francaisor tersebut, seperti:

* Berapakah bilangan francaisi di dalam rangkaian perniagaan francais berkenaan telah gagal?

* Dan, bagaimana francaisor mendefinisi kegagalan dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan tersebut?

Apakah yang patut diteliti tentang latar belakang sebuah syarikat francaisor?

Di bawah Akta Francais 1998 yang telah dibicarakan dalam siri yang lalu, adalah menjadi kewajipan sesebuah syarikat francaisor untuk mengemukakan dokumen penzahiran yang lengkap (sebagaimana yang dikemukakan kepada Pendaftar Francais) kepada bakal francaisi sekurang-kurangnya 10 hari sebelum francaisi itu menandatangani sesuatu perjanjian francais.

Tempoh 10 hari ini adalah bagi membolehkan seseorang bakal francaisi meneliti dokumen tersebut dan membuat penyelidikan tentang latar belakang francaisor berkenaan.

Di antara perkara-perkara penting yang perlu diteliti dan diselidiki oleh bakal francaisi ialah, latar belakang dan rekod perniagaan francaisor; infrastruktur yang sedia ada termasuk sistem dan dokumentasi, struktur pengurusan dan kakitangan, kekuatan jenama, pengiklanan dan promosi, rangkaian pembekal serta lain-lain khidmat sokongan yang disediakan.

Di samping itu, bakal francaisi juga perlu mendapatkan maklumat tentang kedudukan dan prestasi kewangan francaisor serta mendapatkan maklum balas daripada francaisi-francaisi yang sedia ada dengan sistem francais berkenaan.

Selain daripada dokumen penzahiran, bakal francaisi juga perlu mendapatkan contoh perjanjian francais untuk diteliti bersama dengan peguam yang mempunyai pengalaman di bidang ini.

Seksyen 18 (4) Akta Francais 1998 juga memperuntukkan tempoh bertenang tidak kurang dari 7 hari bekerja bagi setiap perjanjian francais yang telah ditandatangani.

Di dalam tempoh bertenang berkenaan francaisi mempunyai pilihan untuk menamatkan perjanjian tersebut dan berhak mendapat balik yuran francais yang telah dibayar kepada francaisor, setelah ditolak apa-apa perbelanjaan awal yang munasabah.

Setakat manakah program latihan yang disediakan mampu memindahkan know-how kepada francaisi?

Pengalaman dan rekod kejayaan perniagaan francaisor tidak cukup untuk menjamin kejayaan yang sama akan pasti dicapai oleh sesiapa sahaja yang menjadi francaisi kepada sistem berkenaan.

Apa yang lebih penting adalah setakat mana rahsia kejayaan tersebut dapat diterjemahkan ke dalam bentuk pemindahan now-how menerusi program latihan yang komprehensif kepada francaisi.

Umumnya, semua francaisor menyediakan program latihan, tetapi kajian menunjukkan kebanyakan program latihan yang dijalankan tidak mampu menyediakan francaisi dengan pengetahuan dan kemahiran yang mantap bagi membolehkan mereka menduplikasikan rahsia kejayaan perniagaan francais berkenaan.

Meskipun, adalah sukar untuk mengharapkan semua francaisor memiliki Hamburger University seperti McDonalds, tetapi setiap francaisor sekurang-kurangnya mempunyai program latihan yang meliputi perkara-perkara asas berikut;

* Panduan pemilihan lokasi dan premis:

* Panduan membuat pelan perniagaan;

* Latihan komprehensif terhadap keseluruhan operasi perniagaan, termasuk latihan praktikal di lokasi perniagaan yang sedia ada;

* Asas pengurusan, perakaunan dan prosedur menyediakan laporan;

* Asas penjualan, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan; serta,

* Aspek perkhidmatan sokongan dan kesinambungan program latihan selepas perniagaan dimulakan.

Kajian dan penyelidikan.

Selain daripada aspek-aspek yang berkaitan secara langsung dengan sistem dan francaisor, francaisi juga perlu dengan inisiatif sendiri menjalankan kajian terhadap potensi daya maju produk atau perkhidmatan yang akan diniagakan.

Sesuatu produk atau perkhidmatan yang berdaya maju di sesuatu negara atau tempat, tidak semestinya akan berdaya maju di negara atau tempat yang lain.

Pengalaman telah mengajar kita bahawa, tidak semua produk berjenama besar yang dibawa masuk ke negara kita dari negara Barat terus bertahan dan berdaya maju di pasaran.

Kajian pasaran adalah penting bagi mengenal pasti trend, gaya hidup dan cita-rasa pengguna. Kajian juga penting bagi menentukan kedudukan produk dan perkhidmatan yang akan ditawarkan di pasaran dari segi struktur harga berbanding dengan kuasa membeli pelanggan dan harga yang ditawarkan oleh pesaing yang sedia ada.

Kajian juga perlu dijalankan terhadap perkara-perkara yang melibatkan unjuran pendapatan, kos permulaan, perbelanjaan langsung dan perbelanjaan operasi bagi membolehkan francaisi mengenal pasti keperluan sebenar modal permulaan, seterusnya membuat pelan perniagaan yang lebih praktikal dan realistik.

Penyelidikan juga perlu dilakukan bagi memungkinkan francaisi membuat analisis SWOT, iaitu suatu analisis yang membabitkan soal-soal kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman di dalam perniagaan francais berkenaan. Analisis SWOT penting bagi tujuan mengatur strategi perniagaan yang betul dan berkesan.

Faktor kejayaan francaisi.

Pada hemat saya, di antara faktor-faktor utama yang mendorong kejayaan seseorang francaisi adalah seperti berikut;

Memilih francaisor dan sistem francais yang mempunyai rekod kejayaan yang cemerlang;

Memilih produk atau perkhidmatan yang sesuai dengan minat, latar belakang dan kecenderungan francaisi berkenaan (namun pengalaman dan kemahiran di bidang berkaitan selalunya tidak menjamin kejayaan);

Mempunyai sikap positif yang berterusan (consistent), motivasi yang tinggi dan bersedia untuk bekerja keras;

Mempunyai hala tuju yang jelas dan melaksanakan sendiri penyelidikan, perancangan dan pelan perniagaan yang realistik;

Mempunyai modal yang mencukupi, sesuai dengan kos pelaburan yang diperlukan. Mengharapkan pinjaman bank 100 peratus walau dengan apa cara sekalipun, adalah sesuatu yang tidak praktikal.

Pinjaman yang terlalu besar bukan sahaja menuntut pembayaran balik yang tinggi dan mendedahkan kepada masalah aliran tunai, bahkan tidak mungkin akan dapat melahirkan francaisi yang benar-benar komited. Francaisi seharusnya bersedia untuk menyediakan modal sendiri sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kos pelaburan keseluruhan;

Memiliki dan menjalankan sendiri perniagaan francais berkenaan secara sepenuh masa (tidak mengharapkan kepada pengurus atau orang lain yang menguruskan operasi harian perniagaan tersebut).

Berdasarkan pengalaman, komitmen pengurus selalunya tidak setinggi komitmen francaisi yang merupakan usahawan yang membuat pelaburan di dalam perniagaan berkenaan.

Begitu juga dari aspek hubungan dengan francaisor, pengurus selalunya tidak berada di kedudukan untuk membuat dan melaksanakan keputusan dengan cepat, dan ini menyukarkan hubungan francaisi-francaisor;

Mematuhi sistem yang ditetapkan sebagaimana yang termaktub di dalam manual-manual operasi, pemasaran dan latihan yang disediakan oleh francaisor.

Percubaan untuk menyimpang daripada sistem yang ditetapkan (yang selalunya telah terbukti kejayaannya) bukan sahaja memungkinkan kegagalan operasi, bahkan akan menyebabkan berlakunya hubungan renggang di antara francaisor dan francaisi yang akhirnya boleh membawa kepada konflik dan penamatan perjanjian;

Mempunyai keupayaan komunikasi dan melaksanakan perkhidmatan pelanggan yang baik. Keupayaan menjalinkan hubungan komunikasi yang baik diperlukan bukan setakat di antara francaisi dengan pelanggan, tetapi juga dengan francaisor, pembekal, pihak-pihak berkuasa dan francaisi-francaisi yang lain.

Perhatian:

Bakal-bakal usahawan francais dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat nasihat sama ada daripada pihak Bahagian Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan, Persatuan Francais Malaysia, para francais, peguam-peguam berpengalaman atau pun pihak institusi pengajian tinggi seperti Institut Pembangunan Keusahawanan (IPK), Universiti Utara Malaysia dan Pusat Pembangunan Keusahawanan (Medec), Universiti Teknologi Mara. Ini membolehkan mereka mendapat maklumat yang tepat dan benar.

AWALAN Abdul Aziz ialah Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA). MFA boleh dihubungi sama ada melalui talian 03-7877 1557, mengunjungi laman webnya beralamat www.mfa.org.my atau e-mel: secrtmfa@tm.net.my

Oleh: AWALAN ABDUL AZIZ

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi