EKONOMI

Berita Harian 02 april 2001

Dewan sedia dana RM1j bantu peniaga baru


GEORGETOWN, Ahad – Dewan Perniagan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) akan melancarkan Dana Usahawan Melayu bagi membantu usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan.

Sebagai permulaan, sebanyak RM1 juta disediakan untuk dana itu yang akan diuruskan berlandaskan konsep Islam dan jika perlu, peruntukannya akan ditambah kepada RM5 juta.

Mengumumkan perkara itu, Yang Dipertua DPMMPP, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin berkata, dana itu menyediakan pinjaman di antara RM10,000 dan RM40,000 kepada usahawan yang layak.

Katanya, pelancaran dana itu perlu berikutan keperluan mendesak oleh usahawan baru bertapak dalam perniagaan untuk mendapatkan modal permulaan.

Beliau berkata, pihaknya menyedari kesukaran yang terpaksa dialami golongan terbabit kerana institusi perbankan biasanya ragu-ragu untuk memberikan pinjaman kepada usahawan baru.

Dalam kita menghubungkan ini, kita perlu wujudkan dana yang memberi pinjaman jangka pendek untuk mengisi keperluan sebagai `penghubung’ sebelum mereka dapat pinjaman bank,” katanya sambil menambah DPMMPP mensasarkan untuk memulakan dana itu dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Presiden DPMM berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) DPMMPP di Hotel Equatorial, dekat ini malam tadi.

Terdahulu, perasmian AGM DPMMPP dimulakan dengan penuh adat tradisi Melayu di Hotel Equatorial, di sini. Upacara dimulakan dengan sambutan tetamu mengikut adat Melayu menerusi acara simbolik membawa tepak sirih yang diiringi gadis Melayu berpakaian tradisional.

Turut hadir, Naib Presiden DPMM, Datuk Syed Amin Al Jeffri yang mewakili Presiden DPMM, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Timbalan Yang Dipertua DPMMPP, Abdul Rafique Karim.

Menurut Abdul Rahman, walaupun ada bantuan lain disediakan kerajaan seperti Pinjaman Yayasan Tekun Nasional (Tekun) dan Tabung Usahawan Kecil (TUK), kewujudan Dana Uashawan Melayu masih diperlukan, terutama di Pulau Pinang.

Beliau berkata, usahawan baru turut memerlukan bantuan seumpamanya kerana mereka juga tidak layak mendapat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Selain bantuan modal, usahawan juga perlu diperlengkapkan dengan khidmat dan bimbingan bagi mempertingkatkan kefahaman dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berharap projek Sistem Bersepadu Skuter Air yang dicadangkan DPMMPP sebelum ini dapat dilaksanakan secepat yang mungkin bagi membantu menjana kegiatan ekonomi di negeri ini.

Menurutnya, pengenalan sistem pengangkutan air itu tepat pada masanya kerana Malaysia kini sedang memperkukuhkan ekonominya bagi menghadapi pertumbuhan perlahan ekonomi global.

Projek ini juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan, terutama untuk pekerja sektor perkilangan yang diberhentikan,” katanya sambil menambah Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah meluluskan idea projek skuter air kira-kira empat tahun lalu dan kerajaan negeri turut memberi persetujuan untuk memulakan kajian mengenainya.

Beliau berkata, semua kertas kerja mengenai projek itu sudah disiapkan dan cuma halangannya sekarang ialah membabitkan soal tanah yang akan digunakan untuk membina tempat perhentian skuter di sepanjang pantai.

Tiga perhentian utama dikenal pasti di Georgetown, Bayan Baru dan Butterworth untuk mengambil dan menurunkan penumpang, di samping sembilan perhatian kecil di antara Balik Pulau dan Teluk Bahang.

Apabila perkara berkaitan tanah diselesaikan, ia akan membolehkan EPU memberi lampu hijau untuk pelaksanaan projek berkenaan,” katanya sambil menambah soal tanah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi