EKONOMI

Berita Harian 03 April 2001

Dasar Wawasan Negara dilancar hari ini

KUALA LUMPUR, Isnin – Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), iaitu bagi tempoh 2001-2010, yang akan dilancarkan esok, dijangka menggariskan beberapa teras strategik bagi mencapai pembangunan mapan, ke arah persediaan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, akan membentangkan RRJP3, fasa kedua usaha negara mencapai Wawasan 2020 yang dimulakan pada 1991, di Dewan Rakyat jam 11 pagi esok.

Berbanding RRJP2 (1991-2000), RRJP3 dirangka ketika negara menghadapi cabaran ekonomi sejagat yang tidak memberangsangkan selain cabaran politik dalam negara yang turut mengheret isu sosial serta perpaduan masyarakat majmuknya.

Penyediaan RRJP3 mendapat input daripada syor yang diperakukan oleh Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (Mapen II).

Strategi serta dasar RRJP2 sebelum ini berjaya menyumbang ke arah pengukuhan dan pemodenan asas industri. Kesannya, Malaysia mencapai pembangunan pesat, walaupun dilanda krisis kewangan pada 1997/98.

Kini, kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun, dua gergasi ekonomi dunia, yang menjadi antara pembeli utama barang Malaysia, proses globalisasi dan liberalisasi, menuntut kerajaan melakukan sesuatu bagi mengekang cabaran itu supaya momentum pertubuhan tidak tergugat.

Malah, perkembangan ekonomi berasaskan pengetahuan atau k-ekonomi dan persekitaran ekonomi serantau yang belum pulih sepenuhnya berikutan tercetusnya krisis kewangan pada 1997/98, menjadi cabaran kepada RRJP3.

Di dalam negara pula, masalah sosial seperti ancaman terhadap keistimewaan orang Melayu, perpecahan disebabkan perselisihan politik dan soal kemiskinan, juga menjadi cabaran yang menuntut kepada dasar penyusunan semula lebih berkesan.

Sementara itu, ahli ekonomi, pendidik dan ahli politik ketika dihubungi mengharapkan supaya RRJP3 akan memandu serta memacu ekonomi Malaysia bagi mencapai matlamat negara maju menjelang 2020.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Baginda, berkata RRJP3 sangat penting sebagai pelan jangka panjang yang bakal meletakkan negara dalam keadaan lebih bersedia menghadapi cabaran global.

“Untuk 10 tahun akan datang, ekonomi negara berada dalam keadaan kritikal kerana perubahan iklim ekonomi antarabangsa. RRJP3 akan menghala serta memacu ekonomi negara dalam menghadapi cabaran luaran itu.

“Malah, ia juga akan menyediakan garis panduan hala tuju negara pada dekad akan datang berikutan keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu,” katanya.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Awang Had Salleh, pula berkata adalah menjadi harapan supaya RRJP3 memberi tumpuan kepada sektor pendidikan jika Malaysia mahu mencapai status negara maju.

Katanya, kurikulum pendidikan mungkin perlu diubahsuai sejajar dengan dasar k-ekonomi supaya rakyat Malaysia berpendidikan.

“Kalau 20 atau 30 tahun lalu, cuma dua peratus saja rakyat negara ini berpendidikan universiti. Untuk mencapai tahap sebuah negara maju, peratusan mereka yang berpendidikan tinggi perlu lebih tinggi.

“Di sinilah, sistem pendidikan perlu dikaji semula, bukan setakat 10 tahun sekali, malah dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan. Sistem atau dasar pendidikan itu mesti anjal,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan perlu mencari jalan terbaik bagaimana meningkatkan lagi penyertaan ekuiti Bumiputera dalam perniagaan.

Katanya, pada akhir Dasar Ekonomi Baru (DEB), matlamat 30 peratus penyertaan ekuiti Bumiputera itu gagal dicapai dan berharap RRJP3 akan merangka sesuatu dasar bagi meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera.

“Mungkin kerajaan dapat merangka satu kaedah bagaimana mahu mengekalkan pemilikan saham Bumiputera di pasaran supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.

“Mungkin peluang lebih terbuka diberi kepada Bumiputera untuk membeli saham di pasaran ketika ia berada pada harga murah sekarang, tetapi memastikan pemilikan saham itu nanti tidak terlepas begitu saja ke tangan orang lain,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi