EKONOMI

Berita Harian 09 April 2001

Permit 5 sekolah memandu dibatal

Oleh Jami’ah Shukri

KUALA LUMPUR, Ahad – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan permit lima sekolah memandu dan dua institut memandu di Perak kerana terbabit dalam sindiket pengeluaran lesen terbang dan gerenti lulus.

Serentak itu, kesemua sekolah dan institut memandu terbabit tidak dibenarkan beroperasi untuk selama-lamanya dan menyenaraihitamkan nama pengusaha syarikat berkenaan daripada menubuhkan institut memandu lain pada masa depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Dr Mohd Shahar Sidek, berkata pembatalan permit itu adalah tindakan pertama dilakukan selepas kes pembongkaran sindiket berkenaan dilaporkan tahun lalu.

Katanya, keputusan pembatalan yang dibuat mengikut Kaedah 27 Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992 itu, diputuskan oleh Jawatankuasa Perlesenan Institut Memandu baru-baru ini.

Pembatalan permit itu dibuat selepas pihaknya mendapat bukti dan maklumat terperinci daripada hasil penyiasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), pengarah JPJ negeri, Pasukan Tindakan Khas JPJ dan pemegang lesen terbang dan gerenti lulus sendiri.

“Selain itu, hasil siasatan juga mendapati tujuh tenaga pengajar sekolah dan institut memandu berkenaan turut bersubahat dalam kegiatan pengeluaran lesen terbang.

“JPJ tidak akan bertolak ansur dan menolak sebarang rayuan daripada pengusaha terbabit. Kita memandang serius kegiatan itu dan akan mengambil tindakan tegas kerana kes itu ternyata merugikan negara dari segi hasil pendapatan dan tidak dapat melahirkan pemandu yang berhemah.

“Saya menganggap kes pengeluaran lesen terbang adalah satu tragedi dan membuang masa JPJ yang sepatutnya berfungsi lebih aktif bagi menfokus kemajuan serta pembangunan dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya kepada Berita Harian di sini hari ini.

Kes itu terbongkar selepas penahanan 21 orang, termasuk enam kakitangan JPJ dan seorang doktor swasta di sekitar Perak dalam ‘Operasi Melayang’ dilancarkan BPR pada 24 Ogos tahun lalu.

Penyelewengan itu membabitkan pengeluaran kira-kira 100,000 lesen terbang hasil pakatan antara pegawai JPJ, sekolah memandu, orang awam dengan nilai suapan RM40 juta dalam tempoh lima tahun, sekali gus menjadi kegiatan penjualan lesen memandu terbesar di negara ini.

Setakat ini, 56 termasuk 18 pegawai JPJ ditahan dan empat daripadanya didakwa di mahkamah, manakala seorang lagi dijatuhi hukuman penjara dan denda.

Dr Mohd Shahar berkata, pihaknya yakin banyak lagi sekolah dan institut memandu di seluruh negara yang akan dikenakan tindakan sama, dalam masa terdekat ini.

Ketika ini, JPJ masih menunggu hasil siasatan penuh daripada BPR mengenai kegiatan berkenaan yang turut dipercayai bergiat cergas di negeri lain.

Sehubungan itu, semua 90 institut memandu dan lebih 1,400 sekolah memandu di seluruh negara dinasihatkan supaya menjadikan kes itu sebagai panduan untuk melaksanakan tanggungjawab lebih telus dan mengikut peraturan ditetapkan.

Dr Mohd Shahar berkata, pengusaha terbabit juga perlu lebih peka dalam melahirkan pemandu yang berkualiti, berkemahiran dan pengetahuan tinggi menerusi ceramah, teknologi pengajaran serta teknik latihan terkini.

Sementara itu, katanya, JPJ akan mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha sekolah dan institut memandu bagi memberi penerangan berhubung isu berkaitan pada 14 April ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi