EKONOMI

Utusan Malaysia 20 mac 2001

Danaharta henti beli NPL sektor perbankan

KUALA LUMPUR 19 Mac - Berdasarkan apa yang dianggap sebagai pemulihan kedudukan sektor perbankan, Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. berkata ia tidak akan membeli lagi pinjaman tak berbayar (NPL) daripada sektor perbankan.

Sebaliknya, syarikat pengurusan aset itu akan menjual balik pinjaman-pinjaman berprestasi kepada bank-bank, mungkin dalam enam bulan kedua tahun ini, kata pengarah urusannya, Datuk Azman Yahya pada satu sidang akhbar di sini hari ini bagi mengumumkan operasinya bagi enam bulan berakhir 31 Disember 2000.

Azman berkata, beliau menganggap sektor perbankan sudah stabil dan akan berupaya menguruskan NPL mereka sendiri.

Bagaimanapun, Danaharta akan mempertimbangkan untuk menjual balik pinjaman-pinjaman berprestasi _ berjumlah RM3 bilion, kepada sektor perbankan untuk membayarnya balik.

Ini bukanlah benar-benar jualan tetapi adalah dalam bentuk pensekuritian aset, dan dengan demikian proses penjualan akan dilakukan dalam beberapa agihan kecil melalui tender, kata beliau.

Menurutnya beberapa siri jualan aset dalam bentuk saham boleh mengambil masa dari dua hingga tiga tahun dan saiznya akan bertambah apabila pasaran menjadi biasa dengan aset-aset saham ini.

``Danaharta kini sedang mengkaji perinciannya serta peraturan-peraturan dan undang-undang untuk membolehkan bank-bank asing turut mengambil bahagian dalam sekuriti dalam nilai ringgit ini,'' katanya.

Azman juga berkata bahawa setakat ini Danaharta telah menyusun 74 peratus daripada portfolio NPLnya yang berjumlah RM47.49 bilion, dengan bakinya sebanyak RM12.40 bilion disasarkan untuk disusun semula menjelang akhir tahun ini pada kadar pembayaran balik di antara 50 dan 60 peratus.

Menurut beliau, syarikat pengurusan aset itu yakin dapat menyusun semula kesemua NPL yang ada menjelang akhir tahun dan Danaharta akan berada pada landasannya menuju ke arah penutupannya yang disasarkan menjelang tahun 2005.

``Menjelang tahun 2005, kami akan ada wang tunai dan bon dan akan berada pada kedudukan untuk menebus bon-bon tersebut,'' katanya. Ketika itu, Danaharta yang memulakan operasinya pada tahun 1998, telah pun beroperasi selama tujuh tahun, iaitu lebih singkat daripada 10 tahun yang dijangkakan.

Mengulas tentang operasi syarikat itu, beliau berkata, pada akhir tahun 2000, Danaharta telah mengumpul pinjaman tak berbayar (NPL) berjumlah RM47.49 bilion, iaitu RM39.30 bilion dari sistem perbankan dan RM8.19 bilion dari institusi bukan perbankan dan luar pesisir.

Daripada jumlah ini, Danaharta menguruskan NPL berjumlah RM27.10 bilion daripada kumpulan Sime Bank dan kumpulan Bank Bumiputra Malaysia Bhd.

Kata beliau, RM47.49 bilion terdiri daripada NPL bernilai RM39.33 bilion di bawah gerakan pemerolehan utama yang selesai pada 30 Jun, 1999 dan sejumlah RM2.71 bilion lagi di bawah gerakan pemerolehan sekunder dari 1 Julai hingga 31 Mac, 2000.

NPL lain bernilai RM5.45 bilion adalah dari Sime Bank dan BBMB yang diletakkan di bawah pengurusan Danaharta (dipindahkan di bawah perjanjian opsyen menjual antara 30 Jun, 1999 dan 31 Disember, 2000).

Sebagai pertukaran kepada NPL yang dibeli sehingga 31 Mac, 2000, katanya, Danaharta menerbitkan bon berjamin kerajaan pada nilai muka RM11.4 bilion pada harga RM8.22 bilion dan membayar RM0.8 bilion tunai kepada institusi kewangan yang menjual.

Bagi tender harta, setakat akhir 2000, pemerolehan bayaran balik hasil daripada penyitaan menunjukkan penurunan daripada 48 peratus (setakat akhir Jun 2000) kepada 28 peratus, terutamanya disebabkan oleh kekurangan yang dicatat selepas penyitaan cagaran saham satu pinjaman yang besar.

Danaharta telah menjalankan empat tender harta yang menawarkan 449 hartanah (tidak termasuk hartanah perhotelan dan percutian) bernilai RM985.93 juta dan menjual 72 peratus daripada hartanah tersebut sejak tender pertama pada bulan November 1999.

Bagi hartanah perhotelan dan percutian, pada 11 Oktober 2000, 11 hotel telah ditawarkan untuk jualan dalam satu tender bersama oleh Danaharta (yang menawarkan tiga hotel yang disita) dan Pentadbir-Pentadbir Khas tujuh syarikat (yang menawarkan lapan buah hotel).

Pada tarikh tutup tender iaitu 15 November 2000, katanya, 15 tawaran belian telah diterima, di mana tiga telah diluluskan.

Setakat akhir tahun lalu juga, Danaharta telah menyelesaikan tiga pelaksanaan tender terhad (RTE) untuk menjual aset pinjaman asing, iaitu pinjaman bukan dalam ringgit dan sekuriti boleh-jual yang ditawarkan atau diterbitkan oleh peminjam-peminjam asing, dalam portfolionya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi