EKONOMI

Berita Harian 09 April 2001

Jumlah hartanah tidak terjual terus meningkat


JUMLAH unit hartanah tidak terjual terutamanya untuk sektor pejabat dan ruang niaga bukan saja tidak berkurangan malah terus meningkat dengan bekalan dijangka terus bertambah pada masa depan.

Johor, Selangor dan Pulau Pinang dilihat sebagai antara negeri yang bukan saja mencatatkan jumlah hartanah tertinggi tidak dijual malah mencatatkan pertambahan.

Bekalan baru daripada ruang yang sedang dibina pula dijangka menambah bilangan bekalan dalam jumlah yang besar dan ia dijangka membanjiri pasaran dalam tempoh setahun atau lebih.

Dalam keadaan itu, adalah sukar untuk menduga bagaimana lebihan ruang di seluruh negara yang berjumlah 2.5 juta meter persegi (mp) untuk pejabat dan 1.5 juta mp untuk ruang niaga dapat ditampung segera.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chan Kong Choy, berkata jumlah hartanah tidak terjual masih berada pada tahap membimbangkan.

Berikutan itu katanya, kerajaan meminta pihak berkuasa tempatan dan institusi kewangan mengambil langkah berhati-hati pada masa depan sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan.

“Kami berharap mereka akan meneliti kajian feasibiliti dengan teliti supaya pembangunan yang diluluskan diperlukan,” katanya selepas pelancaran Laporan Hartanah 2000, di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Menurut Laporan Harta Tanah Tidak Terjual yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia, jumlah nilai harta tanah untuk sektor kediaman, perindustrian dan unit kedai yang tidak terjual dalam tempoh enam bulan kedua 2000 ialah RM9.84 bilion, meningkat 11.62 peratus berbanding separuh pertama 2000.

Ruang pejabat binaan khas yang kosong meningkat secara sederhana manakala ruang kompleks perniagaan yang kosong tidak menunjukkan banyak perubahan.

Menurut Chan lebihan hartanah tidak terjual untuk sektor perdagangan dan industri lebih membimbangkan berbanding sektor kediaman.

Bagi sektor perdagangan, jumlah dan nilai unit harta tanah tidak terjual untuk separuh tahun kedua masing-masing meningkat 25.35 peratus dan 10.44 peratus.

Johor memiliki unit hartanah tidak terjual yang tertinggi diikuti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang manakala Pahang mencatatkan penurunan tertinggi diikuti Kuala Lumpur, dan Perak.

Peningkatan dalam unit tidak terjual tertinggi ialah di Selangor diikuti Pulau Pinang dan Johor.

Bagi sektor industri, jumlah dan nilai unit hartanah tidak terjual dalam tempoh kedua tahun 2000 terus meningkat masing-masing sebanyak 33.28 peratus dan 74.16 peratus.

Unit hartanah tidak terjual kebanyakannya tertumpu di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta di Pulau Pinang dan Selangor.

Chan berkata, untuk mengatasi masalah bekalan harta tanah tidak terjual yang semakin meningkat, semua pihak diharap bekerjasama dengan kerajaan terutama dari segi pelaksanaan dan kelulusan projek.

“Pemaju pula diminta mengetepikan keinginan untuk mengaut keuntungan semata-mata dengan menawarkan harga munasabah yang mampu dibeli pengguna,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi