EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga - Ucapan PM (Bahagian Satu)

UCAPAN PERDANA MENTERI DATUK SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD DI PEMBENTANGAN USUL MENGENAI RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KETIGA DI DEWAN RAKYAT PADA HARI SELASA, 3 APRIL 2001 JAM 11.00 PAGI

SEBELUM saya bentangkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) bagi tempoh 2001-2010, saya mohon izin untuk menarik perhatian Dewan terhadap rekod pembangunan Malaysia sejak merdeka. Sebagai sebuah negara berbilang kaum, berbilang agama dan dengan ekonominya yang tidak seimbang antara kaum, Malaysia bukanlah negara yang diramal akan aman dan boleh dimajukan. Ramai yang meramalkan bahawa perselisihan kaum akan berleluasa dan orang Melayu yang menjadi kaum majoriti akan merampas kuasa dan merompak harta kepunyaan kaum-kaum lain. Tetapi kita telah membuktikan pengkritik-pengkritik kita salah sama sekali.

2. Bagi pencapaian luar biasa ini, negara keseluruhannya terhutang budi kepada pemimpin Malaysia yang terulung, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliaulah yang telah mencipta kerjasama istimewa antara kaum yang mana hari ini ianya cuba ditiru bukan sahaja di negara ini tetapi juga di kalangan banyak negara membangun lain yang menghadapi masalah perkauman. Tanpa kehilangan identiti kaum, parti-parti politik yang berasas kepada kaum telah dapat bergerak sebagai satu parti dan tidak sebagai parti campuran.

3. Inilah formula yang telah menghasilkan kestabilan dan pembangunan ekonomi di Malaysia. Jika Malaysia ingin terus aman dan tumbuh dengan pesatnya, amatlah penting bagi mereka yang mengamalkan sistem yang unik ini dikekalkan berkuasa. Mereka yang meniru sistem ini tidak mungkin menghasilkan hasil yang sama.

4. Malangnya, pengasas pengamal kerjasama antara kaum ini sedang menghadapi politik membenci, penyelewengan agama, sikap perkauman yang tebal dan rusuhan jalanan. Amatlah sukar memahami mengapa rakyat di Malaysia yang aman dan pesat membangun ingin meniru cara-cara negara yang tidak berjaya untuk kekal aman dan maju. Hakikatnya, ada golongan di Malaysia yang tidak senang hati melihat negara ini aman serta ekonominya berkembang maju. Mereka ingin melihat kekecohan dan keganasan, kecederaan bahkan pembunuhan. Mereka sentiasa mencari isu dan peristiwa untuk dieksploitasikan. Sementara mereka bercakap berkenaan demokrasi mereka tidak sanggup menerima keputusan majoriti rakyat. Mereka tidak sanggup menunggu pilihan raya tetapi ingin merebut kuasa secara haram.

5. Baru-baru ini tercetus perkelahian di antara beberapa orang Melayu dan India. Dengan serta-merta, ada pihak yang cuba menghasut supaya kedua-dua kaum menghancurkan keamanan yang dinikmati negara. Umum mengetahui terdapat individu tertentu yang ingin melihat Kerajaan Malaysia dijatuhkan menerusi keganasan jalanan. Ini telah diperakui oleh mereka sendiri kepada pihak asing yang bersimpati dengan mereka. Tetapi Kerajaan ini tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang Malaysia sekalipun di kutuk oleh media asing dan pihak asing tertentu.

6. Kesejahteraan Malaysia ialah tanggungjawab rakyat Malaysia dan Kerajaan yang dipilih. Kita telah menunjukkan bahawa apabila kepentingan Malaysia tercabar, kita sanggup menentang arus atau apa yang dikatakan sebagai norma antarabangsa. Kita tahu bahawa pengkritik kita bukanlah malaikat dan apabila ianya secocok dengan kepentingan mereka, mereka akan mengetepikan segala prinsip dan kebenaran. Oleh itu jika keamanan dan kestabilan negara ini terancam, walaupun pihak tertentu mendapat sokongan rakan asing terhadap tindakan haram mereka, mereka tidak akan selamat daripada penguatkuasaan undang-undang Malaysia. Kerajaan ini akan bertindak dan bertindak dengan tegas untuk menyelamatkan negara ini daripada manipulasi pihak asing dan proksi mereka.

7. Sebagaimana yang saya terangkan, Malaysia telah membangun dengan pesat sejak merdeka. Ini tercapai walaupun berdepan dengan halangan yang berterusan daripada pihak pembangkang pada setiap langkah. Setiap projek untuk memperbaiki taraf hidup rakyat dikecam, ditentang dan dihalang.

8. Demikian apabila Kerajaan membangunkan Rancangan Pengairan Muda (MADA) untuk penanaman padi dua kali setahun, pihak pembangkang telah mengutuk projek ini sebagai tidak praktikal, tanah tidak dapat berehat dan para petani terpaksa bekerja sepanjang tahun. Hari ini orang yang sama yang membangkang MADA bukan sahaja menikmati pendapatan yang lebih tetapi akan marah sekiranya mereka tidak dapat menanam padi dua kali setahun.

9. Ini juga terjadi kepada dasar-dasar dan projek-projek lain. Jika bangkangan mereka ini diterima, tidak akan ada Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Utara-Selatan dan lebuh-lebuh raya lain; tidak akan ada Lapangan Terbang Subang dan KLIA, tidak akan ada Proton, DEB, orang Melayu yang berkecimpung dalam dunia perniagaan dan tidak akan ada ahli korporat dan ahli profesion-profesion lain. Ketiadaan kesemua ini akan menyebabkan Malaysia terjerumus sebagai sebuah negara dunia ketiga yang daif, mengemis bantuan dan dipaksa tunduk kepada kuasa asing dan agensi-agensi antarabangsa. Kita boleh melihat apa akan terjadi kepada kita dengan memandang keadaan di sekeliling kita.

10. Mujurlah Kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional diberi sokongan padu oleh rakyat dan kita berjaya menangkis tentangan parti lawan, membangunkan negara dan memakmurkan rakyat.

11. Sekarang RRJP3 menggariskan dasar dan hala tuju pembangunan Malaysia untuk 10 tahun akan datang. Dasar Wawasan Negara ini akan dibantah oleh pihak pembangkang kerana itulah sahaja yang mereka tahu. Mereka tidak pernah melahirkan idea yang konstruktif yang boleh membantu pembangunan negara.

12. Kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional tidak akan berputus asa dengan sikap negatif pembangkang. Kita akan tetap melaksanakan Dasar Wawasan Negara dengan sedaya upaya kita untuk kebaikan Malaysia dan semua rakyat.

13. Dengan kesedaran pembangkang akan melemparkan kritikan yang tidak berasas semasa perbahasan berkenaan RRJP3 dan Dasar Wawasan Negara, dan akan sengaja membuat gangguan untuk menyekat pembangunan Malaysia, RRJP3 ini dibentang untuk membawa negara ke arah pencapaian Wawasan 2020, iaitu sebuah negara Malaysia yang maju setanding dengan negara-negara maju yang lain.

14. Dengan itu, saya mohon izin membentangkan usul berikut:-

"Bahawa Dewan ini:

* menyedari akan kemajuan pesat yang telah dicapai dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua, 1991-2000 dan Dasar Pembangunan Nasional;

* mengambil maklum dan merestui usaha berterusan yang dijalankan oleh Kerajaan dalam melaksanakan dasar, strategi dan program bagi mencapai matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua menerusi Dasar Pembangunan Nasional iaitu untuk mencapai pembangunan seimbang bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih bersatu padu dan saksama;

* sekarang melulus dan mengesahkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga, 2001-2010 dan Dasar Wawasan Negara yang bertujuan menyediakan objektif pembangunan negara dan dasar yang akan dilaksanakan dalam dekad ini sebagaimana terkandung dalam Kertas Perintah Bil. 11 Tahun 2001;

* bahawa dalam meluluskan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Dasar Wawasan Negara, setiap lapisan rakyat Malaysia dikehendaki berusaha dengan gigih bagi mencapai kejayaan yang gemilang dalam menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara yang semakin meningkat pada masa hadapan dan bersatu dalam usaha membangunkan sebuah negara yang berdaya tahan dan berdaya saing. "

15. Dengan izin Tuan Yang Di Pertua, saya dengan ini membentangkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (2001-2010) dan Dasar Wawasan Negara untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.

16. Dokumen RRJP3 yang berada di hadapan kita merupakan dokumen yang amat penting untuk kita dan generasi akan datang. Dokumen ini dibentangkan di awal abad ke-21 Masihi dan mengandungi dasar dan program yang akan dilaksanakan dalam dekad pertama abad ini. Setelah memperolehi kejayaan yang memberangsangkan sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), kita seharusnya melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan demi mencapai matlamat negara supaya rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada Kerajaan ini tidak merasa kecewa.

17. Di Malaysia, perancangan untuk pembangunan negara merupakan satu perkara yang sangat penting. Bagi kita rancangan-rancangan pembangunan negara adalah perlu untuk menentukan hala tuju pembangunan negara pada masa hadapan. Kesungguhan Kerajaan merancang pembangunan negara dapat disaksikan daripada usaha yang telah dijalankan dalam menyediakan RRJP3.

18. Dalam penggubalan RRJP3, kita telah menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) yang dianggotai oleh 154 orang ahli, mewakili pelbagai kumpulan masyarakat. Keupayaan mereka menyiapkan laporan telah membolehkan Kerajaan memberi pertimbangan mengenai pandangan yang dikemukakan sebelum menggubal rancangan ini. Sungguhpun tidak semua perakuan yang dikemukakan itu diterima, tetapi Kerajaan secara ikhlas dan jujur telah memberi pertimbangan dengan teliti ke atas semua perakuan mereka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi