EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga - Ucapan PM (Bahagian Dua)

DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL

19. Dasar Pembangunan Nasional yang dilancarkan pada tahun 1991 untuk menyusuli Dasar Ekonomi Baru telah menyediakan rangka pembangunan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun yang lalu. Di samping mengekalkan strategi asas dan matlamat utama DEB, beberapa dimensi baru telah diperkenalkan dalam DPN dengan memberi tumpuan kepada isu ketermiskinan, penekanan kepada pembangunan pesat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), tanggungjawab yang lebih besar kepada sektor swasta untuk mencapai matlamat penyusunan semula masyarakat dan peningkatan pembangunan sumber manusia.

KEMAJUAN EKONOMI MAKRO

20. Dasar dan strategi di bawah DPN telah menyumbang ke arah pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian moden dan telah menghasilkan kemajuan ekonomi dan sosial yang pesat. Negara telah menyaksikan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih tinggi sementara asas perindustrian telah dipelbagaikan dan menjadi lebih kukuh. Walaupun ekonomi negara terjejas teruk pada tahun 1998 akibat krisis kewangan Asia, tetapi langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Kerajaan serta asas ekonomi yang kukuh sebelum berlaku krisis, telah dalam masa yang singkat membolehkan kita memulihkan ekonomi negara dan berjaya meletakkannya pada landasan yang lebih teguh untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

21. Sungguhpun dilanda krisis ekonomi, pertumbuhan ekonomi negara telah berjaya mencatatkan kenaikan purata 7.0 peratus setahun bagi tempoh 1991-2000 sebagaimana sasaran yang ditetapkan di bawah RRJP2. Lebih penting lagi, pertumbuhan ini dicapai dalam persekitaran inflasi yang rendah, harga yang stabil dan guna tenaga yang penuh. Pendapatan per kapita telah meningkat pada kadar purata 7.8 peratus setahun atau sekali ganda daripada RM6,298 pada tahun 1990 kepada RM13,359 pada tahun 2000.

22. Sektor swasta dan eksport merupakan pemangkin kepada pertumbuhan pesat dalam dekad yang lepas, berbeza daripada tahun 1980-an apabila sektor awam menjadi penggerak utama ekonomi negara. Ini adalah selaras dengan strategi Kerajaan untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan.

23. Di samping itu, kemasukan pelaburan asing secara langsung (FDI) yang besar dalam sektor pembuatan telah menambah keupayaan industri berorientasikan eksport, termasuk sektor minyak, gas dan petrokimia serta pelaburan dalam bidang yang berintensifkan modal dan berteknologi tinggi, serta menyumbang kepada peningkatan pelaburan swasta. Kemasukan pelaburan asing secara langsung terus kekal walaupun ketika negara menghadapi krisis kewangan. Kita berjaya mendapatkan lebih banyak pelaburan semula daripada syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini. Ini membuktikan pelabur jangka panjang asing masih berkeyakinan terhadap ekonomi negara kita. Lebih menarik lagi, sebahagian besar daripada pelaburan langsung asing ini adalah dalam sektor industri berteknologi tinggi dan I.T. atau teknologi maklumat, satu sektor baru yang diberi penekanan.

24. Pelaburan swasta telah terjejas teruk pada tahun 1998 disebabkan oleh kejatuhan permintaan dan kehilangan keyakinan pelabur akibat krisis kewangan. Bagi mengurangkan penguncupan ekonomi, Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan fiskal dan dasar kewangan yang sesuai. Pelaburan awam ditumpukan kepada pembangunan infrastruktur, serta peningkatan produktiviti dan kecekapan untuk menyokong inisiatif sektor swasta dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan yang lebih baik daripada masyarakat yang bertambah sofistikated.

25. Eksport juga menjadi penyumbang yang bertambah penting kepada pertumbuhan. Keluaran tempatan mampu bersaing dan menembusi pasaran dunia termasuk pasaran negara-negara maju. Eksport terutamanya menjadi penting dalam memacu pemulihan daripada krisis kewangan. Ia telah berkembang pada kadar purata 16.7 peratus setahun, melepasi sasaran yang ditetapkan di bawah RRJP2 malah lebih kukuh dalam tempoh 1998-2000.

26. Krisis kewangan yang melanda Asia telah sedikit sebanyak menjejaskan pencapaian matlamat sosio-ekonomi negara. Walaupun demikian, Malaysia telah muncul menjadi lebih berdaya tahan dengan asas yang lebih kukuh. Kedudukan akaun semasa imbangan pembayaran semakin positif dan teguh berikutan pertumbuhan pesat eksport barangan. Akaun barangan memperolehi lebihan yang terbesar pernah dicatatkan iaitu sebanyak RM86.5 bilion pada tahun 1999.

27. Adalah menjadi dasar Kerajaan untuk memastikan hutang luar negara berada pada paras yang mudah diurus. Selaras dengan ini, Kerajaan membuat pembayaran awal secara terpilih bagi hutang luar negara yang berkos tinggi. Hasilnya hutang luar negara Kerajaan Persekutuan telah berkurangan daripada RM24.7 bilion pada akhir tahun 1990 kepada RM13 bilion pada akhir tahun 1997. Bagaimanapun, berikutan krisis kewangan, Kerajaan telah meminjam sedikit dari luar negara untuk membiayai perbelanjaan mengembang dan memulihkan ekonomi Malaysia.

PRESTASI SEKTOR

28. Sektor pembuatan telah berkembang pada kadar 10.4 peratus setahun dan telah mendahului pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RRJP2. Sektor ini memperlihatkan peningkatan dalam kecekapan dan keupayaan, pengembangan berterusan industri berasaskan eksport serta kepelbagaian pasarannya.

29. Pertumbuhan sektor pembinaan amatlah pesat terutamanya dalam tempoh 1991-1997. Sektor kecil kejuruteraan awam telah dirangsang oleh penswastaan projek infrastruktur yang besar seperti jalan raya, lebuh raya, lapangan terbang, penjanaan tenaga elektrik, telekomunikasi, pengangkutan rel dan pelabuhan. Bagaimanapun, sektor pembinaan menguncup pada tahun 1998 dan 1999 sebelum pulih sedikit pada tahun 2000.

30. Pertumbuhan dalam sektor pertanian sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor kecil kelapa sawit dan tanaman makanan. Selaras dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga (NAP3), pembangunan sektor ini telah diorientasikan semula ke arah penggunaan sumber tempatan yang optimum dalam sektor kecil komoditi untuk industri dan makanan melalui peningkatan produktiviti dan persaingan.

31. Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk memajukan sektor perkhidmatan sebagai satu sumber pertumbuhan baru serta meningkatkan daya saingan sebagai persediaan menghadapi persekitaran yang lebih liberal.

KEMAJUAN DALAM PEMBASMIAN KEMISKINAN DAN PENYUSUNAN SEMULA MASYARAKAT

32. Negara telah mencapai kemajuan besar daripada segi pengurangan kemiskinan, penyusunan semula guna tenaga dan pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Namun, peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat telah merosot sedikit berbanding dengan tahun 1990.

33. Kadar kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia telah berkurangan kepada 7.5 peratus pada tahun 1999. Sejumlah 351,100 isi rumah dikeluarkan daripada paras kemiskinan. Kadar kemiskinan di bandar dan luar bandar berkurangan hampir separuh daripada tahap kemiskinan yang dicatatkan pada tahun 1990. Walau bagaimanapun, kadar kemiskinan di kalangan bumiputera kekal tertinggi berbanding dengan kumpulan etnik yang lain.

34. Daripada segi penyusunan semula, bahagian pemilikan bumiputera dalam sektor korporat pada awalnya meningkat daripada 19.3 peratus pada tahun 1990 kepada 20.6 peratus pada tahun 1995. Namun, akibat daripada krisis ekonomi, bahagiannya berkurangan kepada 19.1 peratus. Bahagian pemilikan bukan bumiputera juga terjejas sementara milik asing telah meningkat berikutan kelonggaran yang diberi kepada pelaburan asing bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi. Walau bagaimanapun, daripada segi jumlah, pemilikan ekuiti bumiputera dan bukan bumiputera telah meningkat.

35. Program penswastaan merupakan jentera penting bagi meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor korporat. Syarikat yang melaksanakan projek penswastaan disyaratkan untuk memberi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada ekuiti mereka kepada bumiputera serta memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerja-kerja kontrak bagi projek yang besar kepada kontraktor bumiputera.

36. Peratusan bumiputera dalam kategori pekerjaan profesional dan teknikal serta pentadbiran dan pengurusan meningkat dalam tempoh RRJP2. Pelaksanaan program bagi Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera juga telah membantu meningkatkan bilangan perniagaan bumiputera dalam sektor korporat dan bukan korporat.

37. Dari segi pembangunan wilayah, negeri-negeri yang terlibat dalam aktiviti sektor moden telah berkembang dengan pesat. Peluang ekonomi yang lebih banyak yang terdapat di pusat-pusat bandar terus menarik lebih ramai rakyat Malaysia tinggal di bandar berbanding dengan kawasan luar bandar. Kira-kira tiga per lima daripada rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar pada tahun 2000 berbanding dengan hanya separuh pada tahun 1990. Peningkatan penduduk bandar telah membawa fenomena baru, iaitu perluasan kawasan setinggan dan kemiskinan secara relatif di bandar di kalangan bumiputera dan kaum India.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi