EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga - Ucapan PM (Bahagian Tiga)

DASAR WAWASAN NEGARA

38. Sepuluh tahun yang lalu, kita telah melancarkan Wawasan 2020 bagi menetapkan hala tuju strategik pembangunan negara untuk tempoh tiga puluh tahun yang menyusul. Kejayaan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional dalam tempoh 1990-an yang merupakan fasa pertama Wawasan 2020 telah menghasilkan pertumbuhan yang pesat dengan perubahan meluas dalam bidang ekonomi, sosial, institusi dan fizikal.

39. Kita kini berpindah pula kepada fasa kedua Wawasan 2020. Dalam sepuluh tahun yang akan datang, Dasar Wawasan Negara akan menjadi asas kepada strategi dan program di bawah RRJP3. Dasar Wawasan Negara bertujuan untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang progresif dan makmur yang hidup dalam keharmonian serta berkongsi untung nasib sepenuhnya dengan saksama. Pertumbuhan ekonomi akan terus diusahakan di samping tumpuan kepada pengurangan kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat serta pengurangan ketidakseimbangan sosial, ekonomi dan wilayah. Di samping meningkatkan tahap kebendaan dan kemakmuran, usaha khusus akan diambil untuk menanam nilai sosial dan kerohanian bagi mengimbang sikap kebendaan yang keterlaluan. Dasar Wawasan Negara juga akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan yang mampan dan mesra alam untuk memastikan alam sekitar yang bersih, sihat dan menarik serta berupaya memenuhi aspirasi negara.

TEMA

40. Menyedari cabaran globalisasi yang akan dihadapi pada masa hadapan, dasar pembangunan negara akan ditumpukan ke arah membina sebuah negara yang berdaya tahan dan mampu bersaing di pasaran dunia. Sempadan negara tidak lagi boleh diharapkan untuk melindungi pasaran tempatan bagi produk yang berkualiti rendah dan berharga tinggi. Untuk menghasilkan khidmat dan barangan yang berdaya saing di seluruh dunia, kita rakyat Malaysia perlu lebih berdisiplin dan lebih bijak dalam segala urusan kerja kita. Krisis kewangan yang baru berlalu menunjukkan pentingnya kepintaran berfikir dan daya tahan dipertingkatkan kerana dalam persekitaran dunia tanpa sempadan, perubahan di mana sahaja di dunia boleh memberi kesan yang ketara kepada negara kita.

41. Dalam era maklumat, ekonomi dunia yang lebih bersepadu dan terbuka telah merubah peraturan berhubung dengan persaingan. Kedudukan daya saing negara akan ditentukan oleh pengetahuan dan bukannya faktor input sahaja. Kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang pembuatan tradisional kini dicabar oleh negara membangun lain yang dapat menawarkan kos yang lebih rendah manakala negara maju terus mara ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada pengetahuan dan ICT. Sebagai sebuah negara, kita perlu mempergiatkan usaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing bukan sahaja untuk membolehkan kita terus di hadapan negara membangun lain malah dapat pula seiring dengan negara maju jika kita ingin muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

42. Di peringkat dalam negeri, produktiviti faktor keseluruhan (total factor productivity) - iaitu sumbangan daripada faktor selain daripada tenaga manusia dan modal - adalah masih rendah dan peningkatan nisbah tambahan modal kepada keluaran dalam tempoh 1990-an bermakna bahawa kita perlu melipatgandakan usaha bagi meningkatkan kecekapan penggunaan modal. Strategi kita untuk mencapai pertumbuhan mampan perlu dibina berasaskan kepada peningkatan produktiviti melalui peningkatan kandungan pengetahuan dan kecekapan. Adalah perlu bagi kita mengenal pasti bidang pertumbuhan baru, memperluas dan memperdalamkan sumber pertumbuhan yang sedia ada dan mempelbagai eksport sebagai satu strategi untuk meningkatkan daya tahan ekonomi. Antara kepelbagaian yang perlu diusahakan ialah dalam bidang industri makanan yang dibantu oleh pertanian moden.

43. Rakyat Malaysia juga perlulah sentiasa menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati di negara ini. Keamanan dan keharmonian merupakan asas penting kepada semua usaha pembangunan negara kita. Sekiranya negara berada dalam keadaan kucar-kacir disebabkan oleh perbalahan dan keterlaluan dalam perbezaan pendapat, kemajuan sebenarnya tidak akan tercapai. Oleh itu, kita perlu meningkatkan usaha memupuk perpaduan negara dan membina masyarakat yang bertolak-ansur serta penyayang demi kesejahteraan dan kemakmuran kita semua. Sekiranya seruan supaya bersikap rasional dalam meluahkan perasaan tidak puas hati mengenai isu politik, ekonomi dan sosial diketepikan, kita terpaksa menerima keperluan untuk melaksanakan undang-undang negara dengan lebih tegas lagi.

DIMENSI BARU

44. Di samping mengambil kira strategi utama dasar yang lepas seperti Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional, dimensi baru Dasar Wawasan Negara merangkumi:

* membangunkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan;

* menjana pertumbuhan berdasarkan sumber dan kekuatan tempatan melalui pengukuhan pelaburan dalam negeri dan pembangunan keupayaan tempatan di samping terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) di bidang strategik;

* menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik dengan mempelbagai serta meningkatkan penerapan pengetahuan;

* membasmi kemiskinan di kalangan kelompok kecil miskin di kawasan bandar dan pendalaman, kumpulan suku kaum minoriti bumiputera di Sabah dan Sarawak dan Orang Asli, serta meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup kumpulan berpendapatan 30 peratus terendah;

* mencapai penyertaan bumiputera yang berkesan serta pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010;

* mencapai penyertaan bumiputera secara berkesan dalam sektor utama ekonomi; dan

* merubah pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan masyarakat yang berasaskan pengetahuan.

TERAS UTAMA

45. Dasar Wawasan Negara akan memperkukuhkan daya saing dan daya tahan negara serta mewujudkan masyarakat yang saksama bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara. Teras utama dasar Dasar Wawasan Negara adalah seperti berikut:

* membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, menaikkan kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih sanggup bertolak ansur dan penyayang yang tersemat dengan nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi;

* mewujudkan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan dan pengurangan ketidakseimbangan di kalangan dan di dalam kumpulan etnik serta wilayah;

* mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan mengukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat serta pengurusan ekonomi makro;

* mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi;

* membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai langkah strategik untuk meningkatkan nilai ditambah semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya pemikiran bangsa;

* mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkebolehan, produktif dan berpengetahuan; dan

* meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang.

MEMBANGUNKAN SEBUAH NEGARA BERDAYA TAHAN

46. Untuk membina bangsa yang berdaya tahan rakyat perlulah bersatu padu, matang berpolitik, bertolak ansur, penyayang dan terus menikmati kehidupan yang berkualiti tinggi.

47. Rakyat Malaysia hendaklah berusaha mencapai kematangan politik dan tidak terjerumus ke dalam fahaman sempit dan berpandangan ekstrem. Bagi membina masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni, kita perlu bertolak ansur dan menerima pelbagai tradisi masyarakat yang wujud dalam masyarakat majmuk.

48. Untuk menjadi sebuah negara yang berjaya, kita mesti bersedia untuk bekerja kuat dan bijak, berdisiplin dan mempunyai etika kerja yang baik. Nilai dan etika bangsa dan negara yang murni hendaklah menjadi pegangan kita kerana nilai-nilai dan etika ini yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi