EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga - Ucapan PM (Bahagian Empat)

PROSPEK EKONOMI UNTUK 2001-2010

PROSPEK EKONOMI DUNIA

49. Izinkan saya menyentuh secara ringkas prospek ekonomi global.

50. Dalam tinjauan jangka panjang, ekonomi dunia dijangka positif dengan pertumbuhan KDNK sebenar diramalkan meningkat bagi semua rantau utama. Dalam tempoh 2001-2010, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar 2.3 peratus manakala negara membangun juga dijangka berkembang pada kadar purata 3.7 peratus. Namun begitu, kewujudan ketidakseimbangan ekonomi dan kewangan yang ketara di antara negara kaya dan miskin menimbulkan risiko berterusan kepada ekonomi Malaysia. Kekurangan inisiatif yang membina secara berterusan untuk mengukuhkan struktur kewangan antarabangsa, terutamanya dari segi pengurangan aliran modal jangka pendek yang bersifat spekulatif, terus menjadi punca ketidakstabilan.

PERTUMBUHAN EKONOMI MAMPAN

51. Berdasarkan keadaan ini, keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang pesat bagi tempoh RRJP3 bergantung kepada keupayaan kita mengukuhkan daya tahan dan daya saing ekonomi. Oleh itu, pengurusan ekonomi makro akan ditumpukan kepada usaha memperkukuhkan asas ekonomi bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan dengan inflasi yang rendah dan harga yang stabil serta mengekalkan sumber ekonomi dan kedudukan imbangan luar yang sihat. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dijangka menyediakan landasan untuk memperbaiki produktiviti Malaysia.

PRODUKTIVITI DAN KECEKAPAN

52. Dalam tempoh RRJP3 ekonomi negara disasarkan berkembang pada kadar purata 7.5 peratus setahun. Sumber utama pertumbuhan adalah daripada peningkatan produktiviti yang dihasilkan oleh kemajuan dalam teknologi dan proses pengeluaran serta peningkatan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pelaburan baru dari dalam dan luar negara juga akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

53. Untuk membina asas yang kukuh bagi pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri, usaha akan dilaksanakan untuk memantapkan keupayaan tempatan dalam pembangunan inovasi dan teknologi serta modal manusia. Langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan, mempergiatkan latihan kemahiran dan menarik warga asing dan rakyat Malaysia dari luar negara yang berkepakaran tinggi sebagai sebahagian daripada strategi "brain gain", dengan izin.

PERMINTAAN AGREGAT

54. Penggunaan swasta (private consumption) dijangka meningkat pada kadar 7.4 peratus setahun dalam nilai sebenar disebabkan pendapatan boleh guna (disposable income) yang lebih tinggi dan kesan kekayaan yang positif. Dengan pelaksanaan dasar untuk mengukuhkan pelaburan, pelaburan swasta dijangka mencatatkan pertumbuhan purata yang kukuh pada kadar 12.7 peratus. Pelaburan langsung asing akan terus digalakkan terutamanya dalam industri yang berintensif modal dan berteknologi tinggi. Pelaburan dalam negeri akan digalakkan lagi untuk mempercepatkan pembangunan industri tempatan serta penubuhan syarikat multinasional Malaysia bagi memperluaskan asas dan kandungan industri. Ini termasuklah meningkatkan industri berasaskan sumber dan makanan yang berpotensi untuk mengganti import dan menambah eksport.

55. Sehubungan dengan ini, perniagaan dan institusi tempatan akan digalakkan bekerjasama dengan perniagaan asing untuk membentuk kerjasama strategik dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), reka bentuk produk, pembuatan, pengedaran dan pemasaran. Mereka hendaklah mengeluarkan barangan modal dan barang perantaraan dalam bidang di mana Malaysia mempunyai kelebihan bersaing bukan sahaja untuk melengkap dan menggantikan barangan import tetapi juga eksport. Syarikat-syarikat perniagaan Malaysia hendaklah mengukuhkan rangkaian mereka dengan syarikat multinasional asing untuk mengambil peluang daripada kontrak yang ditawarkan di peringkat dunia dan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global.

56. Pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan digalak untuk meningkat rantaian antara dan dalam industri serta mengukuhkan asas industri. Bagi meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana kepada pertumbuhan ekonomi, usaha akan diambil untuk memperbaiki pengurusan kewangan dan kemahiran pemasaran serta mengukuhkan pertalian mereka dengan industri berskala besar. Zon perindustrian khas yang mempunyai perkhidmatan sokongan akan diwujudkan untuk PKS bagi membolehkannya mencapai ekonomi bidangan. Usaha juga akan diambil untuk membantu kelompok industri berkongsi sumber seperti maklumat, pengalaman dan inovasi serta mengeluarkan perkhidmatan dan barangan siap secara bersepadu. Perusahaan tempatan yang berdaya maju akan diberi insentif dan sokongan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka bersaing dengan jayanya.

57. Eksport, terutamanya barangan buatan akan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain barangan elektrikal dan elektronik, eksport keluaran pembuatan berasaskan pertanian dan berasaskan sumber dijangka meningkat selaras dengan perkembangan pemprosesan barangan pertanian tempatan serta pembangunan Malaysia sebagai sebuah "hub" makanan halal antarabangsa. Barangan modal dan barangan perantaraan akan terus merupakan sebahagian besar import utama negara. Bagaimanapun, dengan peningkatan keupayaan mengeluarkan sebahagian daripada barangan-barangan ini termasuk penglibatan PKS yang lebih besar, import dijangka berkembang pada kadar yang lebih rendah. Menjelang 2010, KNK per kapita dijangka mencecah RM23,610 pada nilai semasa dalam persekitaran harga yang stabil dan inflasi yang rendah.

PERTUMBUHAN SEKTOR

58. Dalam tempoh RRJP3, sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian akan menjadi daya penggerak kepada pertumbuhan ekonomi. Sektor-sektor tersebut dijangka lebih kukuh berikutan perkembangan ekonomi berasaskan pengetahuan yang akan mempercepatkan penerapan teknologi dan amalan pengurusan moden bagi meningkatkan nilai ditambah dan produktiviti.

59. Sektor pembuatan akan berkembang pada kadar purata 8.3 peratus setahun dengan sumbangannya kepada KDNK meningkat kepada 36.0 peratus menjelang tahun 2010. Antara langkah yang akan diambil termasuklah menyediakan persekitaran dasar yang menyokong perniagaan, menggalakkan pakatan strategik dalam industri yang mempunyai nilai ditambah yang berteknologi tinggi, memperkukuhkan asas teknologi serta memperluaskan asas eksport dan mempelbagaikan pasaran eksport. Sebahagian besar aktiviti dalam sektor ini akan terus tertumpu kepada industri elektrikal dan elektronik yang dijangka menjadi semakin canggih dan pelbagai. Industri berasaskan sumber seperti petrokimia, farmaseutikal, oleokimia, keluaran yang berasaskan kayu serta keluaran makanan dan pertanian akan diberi galakan sejajar dengan industri lain seperti automotif, aeroangkasa dan keluaran logam yang dibentuk (metal fabrication). Pembangunan PKS akan diberi penekanan bagi meningkatkan sumbangannya kepada aktiviti utama perindustrian dan eksport.

60. Dalam tempoh RRJP3, sektor perkhidmatan akan dimajukan sebagai pemangkin pertumbuhan dan sumber berpotensi untuk eksport bagi memperkukuhkan kedudukan imbangan pembayaran. Sektor perkhidmatan yang lebih efisien akan dimajukan bagi menggalakkan perindustrian yang lebih cekap dan berdaya saing. Tumpuan industri pelancongan bukan sahaja untuk menambah bilangan kedatangan pelancong tetapi juga menggalakkan mereka untuk tinggal lebih lama, berbelanja lebih dan melancong semula ke Malaysia. Khidmat pelabuhan akan diperluaskan untuk menjadikan Malaysia negara maritim. Di masa yang sama usaha akan dibuat untuk memajukan KLIA sebagai "hub" penerbangan Asia Tenggara.

61. Langkah akan diambil untuk menggiatkan semula sektor pertanian bagi meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan serta pewujudan kekayaan. Penekanan akan diberi kepada pengeluaran makanan melalui penglibatan sektor swasta secara lebih besar dalam perladangan moden dan berskala besar terutamanya dalam kawasan pengeluaran makanan kekal. Sumber baru pertumbuhan juga akan dibangunkan terutama dalam keluaran barangan berasaskan herba yang bernilai tinggi, ikan hiasan dan bunga-bungaan, industri bioteknologi serta pelancongan "agro" dan pelancongan "eco". Bagi getah, usaha akan dijalankan untuk meningkatkan daya maju melalui peningkatan hasil, galakan penanaman klon getah balak, penggunaan teknologi baru serta mengintegrasikan tanaman getah dengan aktiviti ekonomi lain. Usaha-usaha bagi menggalakkan pelaburan di luar negara untuk tanaman makanan dan ladang akan diteruskan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri dan makanan di samping mengambil peluang daripada kos pengeluaran yang lebih murah dan kewujudan sumber di luar negara.

62. Dalam tempoh RRJP3, kadar inflasi akan dikekalkan pada tahap yang rendah. Usaha juga akan dijalankan bagi memastikan kenaikan upah yang selaras dengan peningkatan produktiviti. Langkah untuk menggalakkan teknik automasi dan penjimatan buruh serta menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dan pesara dalam pasaran buruh akan mengurangkan tekanan permintaan. Di masa yang sama kerja bercucuk tanam juga akan disusun supaya lebih teratur seperti dalam industri kilang.

63. Dengan pemulihan ekonomi, sektor awam dijangka kembali berperanan sebagai penggerak kepada sektor swasta yang akan menjadi jentera pertumbuhan. Kadar pertumbuhan perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan akan menjadi lebih rendah hasil daripada pengurusan fiskal yang berhemat dan penggunaan sumber secara cekap. Keutamaan juga akan diberi kepada pembangunan sumber manusia. Sejajar dengan usaha mewujudkan sektor awam yang bertaraf dunia, Kerajaan akan terus mengambil pekerja yang cekap dan berkelayakan tinggi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi