EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga - Ucapan PM (Bahagian Lima)

MEMBINA SEBUAH MASYARAKAT BERSATU PADU DAN SAKSAMA

64. Kerajaan akan terus melaksanakan agenda pengagihan bagi memastikan penyertaan seimbang di kalangan dan di antara kumpulan etnik serta sektor dan wilayah. Dasar Wawasan Negara mengekalkan strategi serampang dua mata yang telah dilaksanakan di bawah Dasar Ekonomi Baru, iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang pesat.

PEMBASMIAN KEMISKINAN DAN PENGAGIHAN PENDAPATAN

65. Kita telah mencapai kemajuan yang pesat dalam membasmi kemiskinan. Menjelang tahun 2005, Kerajaan merancang untuk mengurangkan lagi kadar kemiskinan kepada 0.5 peratus. Bagi mencapai matlamat ini, program pembasmian kemiskinan akan lebih bersifat khusus untuk menangani kelompok kemiskinan di pelbagai wilayah terutama di kawasan pedalaman serta di kalangan kumpulan yang belum menikmati faedah pembangunan seperti masyarakat minoriti bumiputera yang lain di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. Bagi meningkatkan keberkesanan, program pembasmian kemiskinan sedia ada akan digabung dan digiatkan semula di bawah 'Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat'.

66. Pendekatan utama bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk ialah pendidikan. Selain daripada pendidikan, penyediaan perkhidmatan kesihatan dan kemudahan sosial yang lain juga akan membantu mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup. Penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih serta pengangkutan dan komunikasi akan diperluaskan lagi ke kawasan pendalaman dan terpencil terutama di Sabah dan Sarawak.

67. Program pembangunan luar bandar akan ditumpukan kepada usaha bagi membolehkan golongan miskin mempelbagaikan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan mereka. Pendapatan luar bandar akan dipertingkatkan melalui pelaksanaan perladangan bersepadu, tanaman campuran secara moden dan komersial serta pengeluaran barangan kraftangan secara lebih sistematik. Aktiviti yang menjana pendapatan terutama di kalangan penanam padi, pekebun kecil getah, nelayan dan pekerja ladang akan dipergiatkan memandangkan kadar kemiskinan di kalangan mereka adalah tinggi. Pertanian akan dipelbagaikan supaya negara tidak terlalu bergantung kepada tanaman "monocrop" tertentu.

68. Kerajaan bertanggungjawab untuk membina sebuah masyarakat penyayang. Sehubungan ini, kebajikan dan kualiti hidup warga tua dan orang kurang upaya akan diambil kira dalam mencapai matlamat pembangunan negara.

PENYUSUNAN SEMULA EKUITI

69. Berhubung dengan penyusunan semula masyarakat, usaha-usaha akan dilaksanakan bagi meningkatkan ekuiti bumiputera dalam perniagaan. Pada masa ini, bumiputera hanya memiliki 19.1 peratus daripada ekuiti korporat. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan bahagian pemilikan mereka kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2010. Dalam penentuan pemilikan ekuiti oleh bukan bumiputera, bahagian bagi keturunan India akan diberi perhatian.

70. Memandangkan syarikat bumiputera telah menembusi sektor pembinaan, pengangkutan dan pertanian, mereka perlulah mempelbagaikan kegiatan dalam aktiviti lain yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi terutama sektor pembuatan, perkhidmatan dan runcit. Persekitaran yang boleh membantu mereka akan diwujudkan, termasuk penyediaan insentif dan pembiayaan bagi membantu bumiputera memperolehi teknologi yang sesuai serta kepakaran pengurusan. Di samping itu, program penswastaan akan terus dilaksanakan bagi mewujudkan lebih banyak peluang untuk usahawan bumiputera di peringkat korporat.

PEMBANGUNAN MPPB

71. Program untuk membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan lebih ramai usahawan bumiputera yang berdikari, yang berdaya tahan dan yang bertaraf dunia yang mampu bersaing secara berkesan dalam perniagaan tempatan dan antarabangsa. Usahawan bumiputera perlu menerap nilai dan etika perniagaan yang baik supaya mereka lebih berjaya dan mampu berdikari. Bagi memajukan lebih ramai usahawan bumiputera, program pembangunan vendor dan francais sedia ada akan diperkukuh serta diperluaskan.

72. Kerajaan juga akan meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor kecil perdagangan runcit melalui Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan atau PROSPER. Projek ini bersifat khusus, dan akan menyediakan perkhidmatan bantuan dan sokongan seperti penyediaan premis dan modal, pengenalpastian peluang perniagaan serta latihan dalam pengurusan perakaunan dan tunai. Adalah diharap PROSPER akan berjaya mengimbangkan kehadiran bumiputera dalam pusat-pusat pertumbuhan yang baru.

PENYUSUNAN SEMULA GUNA TENAGA

73. Di bawah Dasar Wawasan Negara, Kerajaan akan merangka mekanisme yang sesuai untuk meningkatkan kadar penyertaan bumiputera dalam sektor moden dan memastikan corak guna tenaga mencerminkan komposisi etnik. Kapasiti institusi pendidikan tinggi awam akan dipertingkatkan bagi menambah peluang khususnya pendidikan kepada bumiputera untuk mengimbangi institusi pengajian tinggi swasta. Institusi pendidikan tinggi awam dan swasta dikehendaki menambah bilangan pengambilan pelajar bumiputera serta memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan pasaran.

KE ARAH PEMBANGUNAN WILAYAH SEIMBANG

74. Semua negeri telah mencatatkan kemajuan dalam kualiti hidup hasil daripada peningkatan pendapatan per kapita serta peluang menikmati infrastruktur, perkhidmatan sosial dan kemudahan asas yang lebih baik. Dalam tempoh RRJP3, teras dasar pembangunan wilayah adalah untuk mempercepatkan pembangunan negeri kurang maju dan mengurangkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara wilayah. Antara langkah yang akan diambil termasuklah menggalakkan pemusatan aktiviti ekonomi mengikut negeri berdasarkan kekuatan perbandingan mereka, meneruskan program penyebaran industri dan memajukan lagi infrastruktur serta peluang menikmati kemudahan asas yang berkualiti di negeri kurang maju.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi