Make your own free website on Tripod.com

EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga - Ucapan PM (Bahagian Enam)

PEMBANGUNAN EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN

75. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan adalah sangat penting bagi mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa. Kita perlu memperkukuhkan keupayaan kita untuk mereka cipta dan membangunkan teknologi tempatan serta memaju dan memasarkan produk baru. Dengan penambahan input pengetahuan, kita akan berupaya beralih daripada strategi yang didorong oleh input kepada strategi pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti.

76. Ekonomi berasaskan pengetahuan tidak bermakna kita mengetepikan aktiviti pengeluaran yang sedia ada dan hanya menumpukan kepada aktiviti berteknologi tinggi. Aktiviti produktif dalam pertanian, pembuatan, perkhidmatan sememangnya akan diteruskan, cuma aktiviti-aktiviti ini memerlukan lebih banyak input pengetahuan untuk menghasilkan pulangan yang lebih tinggi. Hasilnya, produktiviti dan nilai ditambah aktiviti yang sedia ada akan dapat dipertingkatkan dan peluang pelaburan baru dalam industri berintensif pengetahuan dapat diwujudkan.

77. Malaysia mula meletakkan asas bagi ekonomi berasaskan pengetahuan pada pertengahan 1990-an dengan penubuhan Agenda IT Nasional (NITA) dan Koridor Raya Multimedia (MSC). Dengan menyediakan persekitaran yang unggul untuk pembangunan I.T. dan multimedia, MSC akan dapat menarik pekerja berpengetahuan, usahawan teknologi dan industri multimedia berteknologi tinggi. Kawasan MSC telah berjaya menarik sebilangan besar perniagaan yang canggih, syarikat-syarikat yang mempunyai teknologi bertaraf dunia dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

78. Dalam RRJP3, Malaysia akan memberi fokus kepada memperkukuhkan elemen-elemen kritikal yang dapat menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Antara yang penting ialah melatih dan mendidik lebih banyak tenaga kerja yang berpengetahuan dengan cepat dan efektif.

79. Untuk menjayakan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, program untuk menarik rakyat Malaysia yang berkepakaran dan berbakat dari luar negeri dan warga asing yang mempunyai kemahiran yang diperlukan akan dipergiatkan untuk memenuhi permintaan segera dan jangka pendek. Pendaftaran saintis dan jurutera dalam bidang R&D di kalangan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara akan diperluaskan untuk meliputi kepakaran baru dan usahawan teknologi dalam bidang berasaskan pengetahuan yang lain.

80. Bagi menyediakan persekitaran yang sesuai, Kerajaan akan mengekalkan persekitaran ekonomi makro yang stabil, menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan mengadakan rangka kerja kawal selia yang sesuai. Usaha-usaha membangunkan S&T dan R&D akan lebih ditumpukan kepada bidang-bidang yang strategik dalam membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Kita akan cuba berusaha membangunkan lebih banyak usahawan teknologi tempatan yang akhirnya dapat memasarkan keluaran mereka di pasaran dunia. Sehubungan itu, pembiayaan bagi usaha niaga baru akan diperkukuhkan. Untuk membangunkan pasaran modal teroka dan kepakaran tempatan, kemasukan dana modal teroka asing akan digalakkan dan pengurusan dana modal teroka Kerajaan akan dikendalikan oleh perbadanan modal teroka yang berwibawa termasuk orang asing.

81. Kejayaan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan memerlukan penyertaan pelbagai pihak dan tidak hanya bergantung kepada usaha Kerajaan. Dalam hal ini, peranan sektor swasta adalah penting dalam bertindak sebagai penggerak utama pertumbuhan. Pengusaha perlu melihat peluang-peluang dengan lebih luas memandangkan pasaran kini berbentuk maya dan tanpa sempadan. Malah perniagaan kecil dan industri kampung juga perlu meningkatkan kualiti dan nilai keluaran mereka dengan menggunakan teknik pengeluaran dan alatan yang lebih baik, mempertingkatkan reka bentuk dan mutu pembungkusan dan menggunakan e-dagang dan e-niaga sebagai alat untuk mendapatkan komponen dan meluaskan pasaran mereka.

82. Kerajaan sedar pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan boleh meningkatkan jurang digital di antara kumpulan berpendapatan tinggi dan rendah dan di antara penduduk bandar dan luar bandar. Oleh itu, langkah akan diambil untuk mengurangkan jurang pengetahuan dan jurang digital dalam negara. Antara strategi yang akan diguna termasuklah meningkatkan kesedaran dan penyertaan golongan berpendapatan rendah dan terpisah dari kawasan pertumbuhan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan serta menyediakan pendidikan dan latihan dalam ICT di kalangan mereka. Infrastruktur telekomunikasi akan diperkembangkan ke seluruh negara bagi memastikan kawasan luar bandar dan kumpulan yang belum menikmati faedah pembangunan akan mendapat kemudahan yang lebih baik dalam penggunaan ICT. Masyarakat setempat akan disediakan kemudahan ICT untuk mendapat maklumat mengenai perkhidmatan Kerajaan, tele-pekerjaan dan pembelajaran jarak jauh. Di samping itu, infrastruktur dan perkhidmatan ICT yang lebih baik serta peluang mendapat pembelajaran sepanjang hayat akan disediakan untuk penduduk luar bandar.

PELABURAN SUMBER MANUSIA

83. Dalam memasuki abad ke-21, pembangunan sumber manusia adalah amat penting untuk menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati kekayaan negara. Teras pembangunan sumber manusia adalah untuk menyediakan tenaga kerja yang berupaya menghadapi cabaran-cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan dan dilengkapi secukupnya dengan kemahiran dan kepakaran teknologi serta mempunyai kecerdasan berfikir yang tinggi. Oleh itu, kita akan melabur sejumlah besar sumber-sumber kita dalam pendidikan dan latihan.

84. Sistem pendidikan dan latihan akan diorientasikan semula supaya pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang diperolehi oleh rakyat Malaysia akan dapat menyokong dengan berkesan pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan.

85. Memandangkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi didorong oleh industri berasaskan pengetahuan, aktiviti ekonomi baru akan dijana dalam semua sektor, terutama sektor pembuatan dan perkhidmatan. Corak permintaan untuk tenaga manusia akan berubah ke arah teknologi tinggi dan industri berasaskan sains, bioteknologi, ICT, farmaseutikal dan aktiviti R&D yang semuanya memerlukan pekerja berpendidikan tinggi dalam disiplin yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Kecanggihan dalam proses pengeluaran akan memerlukan seramai 137,200 jurutera dan 331,700 pembantu jurutera yang terlatih dalam bidang elektrikal dan elektronik, kimia, bioteknologi, mekanikal, ICT dan teknologi-teknologi lain. Dalam sektor pertanian, pengenalan kaedah penanaman berteknologi tinggi dan bertertiban industri, tanaman campuran dan berskala besar serta peningkatan dalam penggunaan jentera memerlukan lebih ramai tenaga buruh yang terlatih dalam pelbagai bidang serta tenaga kerja yang mahir dalam perniagaan tani, pengurusan ladang bersepadu secara moden dan bioteknologi.

86. Kerajaan akan menggalakkan lagi pembelajaran sepanjang hayat dan menyediakan kemudahan-kemudahan supaya orang ramai dapat terus menguasai ilmu pengetahuan semasa dan meningkatkan asas kemahiran walaupun selepas tamat pendidikan dan latihan yang formal. Untuk tujuan ini, kolej komuniti akan ditubuhkan. Tenaga kerja kita akan dilatih semula dan dipertingkatkan kemahiran mereka secara berterusan bagi memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan.

PENUTUP

87. Negara kita sesungguhnya telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang dalam dekad yang lepas. Kita telah menyaksi bagaimana rakyat Malaysia telah menggunakan daya kreatif dan cita-cita mereka untuk meningkatkan lagi pencapaian negara dan menceburi ke dalam bidang-bidang yang dahulunya dikuasai oleh negara maju.

88. Kejayaan Dasar Wawasan Negara memerlukan komitmen sepenuhnya daripada kita semua dan setiap orang hendaklah bersedia untuk bekerja kuat bagi mencapai matlamat dasar tersebut. Kita hendaklah bersedia mencipta semula diri kita, mengubah cara pemikiran kita, berinovatif, pintar dan berdisiplin serta mempunyai, dengan izin "sense of urgency", dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat.

89. Kerajaan akan sentiasa peka dan melaksanakan dasar dan insentif yang sesuai yang mesra perniagaan dan berorientasikan pasaran. Kita akan memastikan yang jentera Kerajaan di semua peringkat akan berjalan dengan cekap tanpa menyeleweng daripada matlamat asal.

90. Sebagai rakyat Malaysia kita bukan sahaja perlu menjadi lebih cekap serta dilengkapi dengan kemahiran baru yang lebih baik, tetapi juga perlu menentukan amalan dan nilai asing tidak menghakis jati diri dan warisan kebangsaan kita. Kita perlu mempunyai nilai dan etika kerja yang kukuh, yang dapat membina masyarakat yang penyayang dan berdaya saing. Segala pengaruh negatif dari luar mesti ditentang supaya identiti bangsa kita akan kekal dengan budaya asli ketimuran kita.

91. Insya-Allah, kita akan terus makmur dan berjaya mencapai matlamat yang telah kita tetapkan pada dekad pertama abad ke-21 ini dan dengan demikian kita akan semakin hampir kepada pencapaian matlamat Wawasan 2020.

92. Saya mohon mencadang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi