EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

PM bentang RRJP3 di Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR 2 April - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan membentangkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) di Parlimen esok.

Pelan 10 tahun (2001-2010) itu antara lain dijangka memantapkan ekonomi dalam tempoh itu selain meningkatkan lagi penguasaan bumiputera dalam pembahagian kekayaan (kek ekonomi) negara.

RRJP3 itu merupakan kesinambungan kepada dua rancangan pembangunan negara sebelum ini iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) untuk menzahirkan matlamat Wawasan 2020.

Utusan difahamkan terdapat dasar-dasar baru yang akan diperkenalkan dalam pelan berkenaan selain dasar-dasar sedia ada sebelumnya yang diteruskan untuk pelaksanaannya.

Berdasarkan hakikat itu, pelan ini dijangka meneruskan dasar meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dan juga penyertaan mereka dalam kegiatan utama ekonomi selain penekanan yang sama diberikan kepada kaum lain.

Langkah ini penting kerana kaum bumiputera merupakan antara mereka yang paling teruk terjejas semasa krisis ekonomi pada tahun 1987/1988 sehingga pegangan ekuiti yang sebelum ini belum mencapai matlamat 30 peratus, menjunam kembali.

Selain penekanan ini, dalam pelan berkenaan juga dipercayai akan turut merangka dasar memantapkan tahap kesihatan ekonomi, taraf hidup rakyat termasuk pelajaran dengan kesemua menjurus kepada K-ekonomi.

Pembentangan RRPJ3 dilihat sebagai penting menjelang pembentangan pelan lima tahun Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) menjelang akhir bulan ini.

RRJP3 adalah pelan ketiga yang telah dilancarkan oleh kerajaan tahun ini selepas Pelan Induk Pasaran Modal pada 22 Februari dan Pelan Induk Sektor Kewangan pada 1 Mac lalu.

Kerajaan juga dijangka melancarkan pelan induk Ekonomi Pengetahuan (K-ekonomi) menjelang akhir tahun.

Pelan itu dipercayai akan memperlihatkan usaha kerajaan memastikan keupayaan negara untuk menghadapi liberalisasi dan kesejagatan selain mengurangkan pembabitannya dalam usaha untuk menjana ekonomi negara ke tangan sektor swasta seperti mana sebelumnya.

Oleh: MOWARDI MAHMUD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi