EKONOMI

Utusan Malaysia 03 April 2001

AFTA: Jangan guna `pintu belakang'

KUALA LUMPUR 2 April - Kerajaan diminta supaya berpendirian tegas untuk tidak menerima percubaan mana-mana negara yang menggunakan laluan ketiga atau pintu belakang untuk menembusi pasaran Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengilang-pengilang Bumiputera Malaysia (PPBM) dalam memorandum bersamanya kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata tindakan seumpama itu boleh menjejaskan persediaan negara dalam menghadapi liberalisasi dan globalisasi.

Katanya, tindakan Singapura menandatangani perjanjian perdagangan bebas secara berasingan dengan Australia dan New Zealand serta mengadakan rundingan secara agresif dengan beberapa negara lain termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Kesatuan Eropah baru-baru ini merupakan tindakan yang tidak menghormati semangat dan kerjasama yang telah dipersetujui dan dimeterai dalam AFTA.

Dalam hal ini, katanya, Singapura dilihat sebagai hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil kira kedudukan rakan-rakan lain dalam ASEAN apabila membenarkan negaranya digunakan sebagai pintu belakang untuk menembusi pasaran AFTA.

ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Tindakan ini amat membimbangkan kerana Malaysia, terutama industri kecil dan sederhananya, akan berhadapan dengan saingan daripada produk negara di luar ASEAN yang masuk melalui Singapura, katanya dalam memorandum itu pada Program Majlis Dialog Tahunan MITI 2001 di kementerian itu, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu sudah tentu akan menjejaskan persiapan dan perancangan syarikat-syarikat tempatan dalam menghadapi AFTA dan menuntut mereka untuk menukar strategi perniagaan.

DPMM dan PPBM juga mahu MITI mengadakan siri taklimat dan penerangan untuk memberi kefahaman mengenai perkembangan terkini yang berlaku di peringkat AFTA dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) supaya syarikat-syarikat tempatan dalam industri-industri yang berkaitan dapat membuat persiapan awal menghadapi cabaran proses liberalisasi dan globalisasi.

Kefahaman ini penting untuk membolehkan syarikat-syarikat tempatan menyusun strategi yang bersesuaian dengan perniagaan mereka dalam usaha mengekalkan daya saing dan daya maju mereka.

Mengenai Pelan Pembangunan IKS 2001-2005, DPMM dan PPBM berkata pelan itu juga perlu mengambil kira kedudukan dan prestasi usahawan IKS bumiputera supaya mereka boleh bersama-sama dibangunkan menerusi program-program yang dirancang.

Pelan Pembangunan IKS yang melibatkan pembangunan usahawan kecil dan sederhana Bumiputera perlu dirangka secara lebih khusus dan terperinci sesuai dengan kedudukan dan keperluan mereka.

Katanya, kajian separuh penggal bagi menilai prestasi dan keberkesanan pelan pembangunan itu terhadap IKS disaran diadakan juga supaya langkah pembetulan dapat dilakukan seawal mungkin.

DPMM dan PPBM juga mencadangkan agar lebih banyak syarikat-syarikat induk diwujudkan untuk berperanan sebagai gerbang utama bagi pemasaran barangan tempatan.

Syarikat-syarikat tempatan, terutamanya IKS tidak mampu secara individu untuk menyertai dagangan elektronik (e-commerce) bagi mempromosi produk mereka disebabkan kos permulaan yang tinggi dan ketiadaan sumber manusia teknikal yang berpengetahuan.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat berkenaan berpeluang mengiklankan perniagaan dan barangan mereka menerusi laman web syarikat-syarikat induk pada kadar kos yang berpatutan.

Katanya, lebih banyak syarikat-syarikat yang berkemampuan perlu dilantik menjadi syarikat induk untuk membantu memasarkan barangan dan produk keluaran IKS tempatan menerusi Internet.

Oleh: DALIZA ARIFFIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi