EKONOMI

Utusan Malaysia 04 April 2001

Bentuk bangsa progresif -- Matlamat RRJP3 berkongsi untung nasib sepenuhnya secara saksama

KUALA LUMPUR 3 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini membentangkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) dengan matlamat membentuk bangsa Malaysia yang progresif, makmur dan hidup harmoni serta berkongsi untung nasib sepenuhnya secara saksama.

Sambil menyatakan negara terhutang budi kepada pemimpin ulung Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kerana mencipta kerjasama istimewa antara kaum, Perdana Menteri berjanji, tumpuan akan diberi kepada pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat dalam usaha pembangunan ekonomi.

Beliau juga mahu memastikan sasaran ekuiti bumiputera dalam sektor korporat sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh 10 tahun RRJP3 (2001-2010).

Program dan strategi di bawah RRJP3 yang akan memacu Malaysia ke arah pencapaian Wawasan 2020, akan berasaskan kepada Dasar Wawasan Negara (DWN).

Dalam mengejar pencapaian itu, kata Dr. Mahathir kerajaan akan memastikan jenteranya yang cekap sementara rakyat pula dituntut menjadi lebih cekap, meningkatkan diri dengan kemahiran baru dan menolak amalan serta nilai asing daripada menghakis jati diri bangsa.

``Insya-Allah, kita akan terus makmur dan berjaya mencapai matlamat yang telah kita tetapkan pada dekad pertama abad ke-21 ini dan dengan itu kita akan semakin hampir kepada pencapaian matlamat Wawasan 2020,'' katanya ketika membentangkan RRJP3 di Dewan Rakyat pagi ini.

Dr. Mahathir bagaimanapun mengingatkan kejayaan DWN memerlukan komitmen sepenuhnya daripada seluruh rakyat dan mereka perlu bersedia untuk bekerja kuat.

``Kita hendaklah bersedia mencipta semula diri kita, mengubah cara pemikiran kita, berinovatif, pintar dan berdisiplin serta mempunyai sense of urgency dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat,'' katanya.

Perdana Menteri menambah: ``Kini kita berpindah pula kepada fasa kedua Wawasan 2020.'' Ekonomi negara di bawah RRJP3 disasarkan berkembang pada kadar purata 7.5 peratus setahun dalam tempoh RRJP3, walaupun ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar 2.3 peratus bagi tempoh tersebut.

Kadar inflasi pula akan dikekang pada tahap yang rendah dalam tempoh RRJP3 manakala usaha akan dijalankan untuk memastikan kenaikan upah selaras dengan peningkatan produktiviti.

Mengenai pemilikan bumiputera dalam sektor korporat, Dr. Mahathir menegaskan program penswastaan merupakan jentera penting bagi meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor korporat.

Justeru, syarikat yang melaksanakan projek penswastaan disyaratkan untuk memberi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada ekuiti kepada bumiputera serta memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerja kontrak bagi projek besar kepada kontraktor bumiputera.

Perdana Menteri menghuraikan bahagian pemilikan golongan itu pada awalnya meningkat kepada 20.6 peratus pada tahun 1995 tetapi ekoran krisis ekonomi, ia berkurangan kepada 19.1 peratus.

Bahagian pemilikan bukan bumiputera juga terjejas.

``Bagaimanapun, daripada segi jumlah, pemilikan ekuiti bumiputera dan bukan bumiputera telah meningkat,'' katanya.

Dalam penentuan pemilikan ekuiti oleh bukan bumiputera pula, bahagian bagi keturunan India akan diberi perhatian.

Dalam menggariskan program membasmi kemiskinan, Dr. Mahathir berkata program sedia ada akan digabung dan digiatkan semula di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat, sekalipun Malaysia telah mencapai kemajuan pesat dalam pembasmian kemiskinan.

Di bawah skim itu, kerajaan merancang kadar kemiskinan dapat dikurangkan kepada 0.5 peratus dalam tempoh lima tahun, katanya sambil memberitahu kadar kemiskinan rakyat Malaysia telah berjaya dikurangkan kepada 7.5 peratus pada tahun 1999.

Sejumlah 351,100 isi rumah telah dikeluarkan daripada paras kemiskinan dengan kadar kemiskinan di bandar dan luar bandar berkurangan hampir separuh daripada tahap kemiskinan yang dicatatkan pada tahun 1990.

Sungguhpun begitu, jelas Dr. Mahathir, kadar kemiskinan di kalangan bumiputera kekal tertinggi berbanding kumpulan etnik lain.

Jadi, kata beliau, program pembasmian kemiskinan akan lebih bersifat khusus bagi menangani kelompok kemiskinan di pelbagai wilayah terutama di pedalaman serta di kalangan kumpulan yang belum menikmati faedah pembangunan.

``Pendekatan utama bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk ialah pendidikan,'' jelas Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kerajaan akan menggalakkan lagi pembelajaran sepanjang hayat dan menyediakan kemudahan supaya orang ramai dapat terus menguasai ilmu pengetahuan.

Selain itu, penyediaan perkhidmatan kesihatan dan kemudahan sosial lain akan membantu mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup, katanya.

Sementara itu, peluang ekonomi yang lebih banyak di pusat-pusat bandar terus menarik lebih ramai rakyat tinggal di bandar berbanding dengan kawasan luar bandar.

Kira-kira tiga perlima daripada rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar pada tahun 2000 berbanding dengan hanya separuh pada tahun 1990.

Kata Dr. Mahathir, peningkatan penduduk bandar itu bagaimanapun telah membawa fenomena baru, iaitu perluasan kawasan setinggan dan kemiskinan secara relatif di bandar di kalangan bumiputera dan kaum India.

Di samping mengambil kira strategi utama dasar yang lepas seperti Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional, dimensi baru DWN merangkumi tujuh perkara antaranya :

ûpi9016 Membangunkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan;

* Menjana pertumbuhan berdasarkan sumber dan kekuatan tempatan melalui pengukuhan pelaburan dalam negeri dan pembangunan keupayaan tempatan di samping terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) di bidang strategik;

* Menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik dengan mempelbagai serta meningkatkan penerapan pengetahuan;

* Mencapai penyertaan bumiputera secara berkesan dalam sektor utama ekonomi; dan

* Merubah pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan masyarakat yang berasaskan pengetahuan.

Dr. Mahathir juga menjelaskan DWN akan memperkukuhkan daya saing dan daya tahan negara serta mewujudkan masyarakat yang saksama bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara.

Antara tujuh teras utama DWN ialah:

* Membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan dan menyemarakkan semangat patriotik;

* Mewujudkan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan;

* Mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan mengukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat;

* Mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi; dan

* Membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Perdana Menteri seterusnya menjelaskan dasar pembangunan negara akan ditumpukan ke arah membina negara yang berdaya tahan dan mampu bersaing di pasaran dunia, dengan mengambil kira cabaran globalisasi.

``Sempadan negara tidak lagi boleh diharapkan untuk melindungi pasaran tempatan bagi produk yang berkualiti rendah dan berharga tinggi.

``Untuk menghasilkan khidmat dan barangan berdaya saing di seluruh dunia, kita rakyat Malaysia perlu lebih berdisiplin dan lebih bijak dalam segala urusan kerja kita.

``Krisis kewangan yang baru berlalu menunjukkan pentingnya kepintaran berfikir dan daya tahan dipertingkatkan,'' tambah beliau.

Eksport pula terutama barangan buatan, katanya, akan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Eksport keluaran pembuatan berasaskan pertanian dan sumber juga dijangka meningkat selaras dengan perkembangan pemprosesan hasil pertanian tempatan serta pembangunan Malaysia sebagai hub (pusat) makanan halal antarabangsa.

Perdana Menteri menjelaskan langkah akan diambil untuk menggiatkan semula sektor pertanian bagi meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan serta pewujudan kekayaan, dengan penekanan kepada pengeluaran makanan melalui penglibatan sektor swasta secara lebih besar.

Pada peringkat awal ucapannya, Perdana Menteri mengingatkan rakyat bahawa kesejahteraan Malaysia adalah tanggungjawab mereka dan kerajaan yang dipilih.

``Kita telah menunjukkan bahawa apabila kepentingan Malaysia tercabar, kita sanggup menentang arus atau apa yang dikatakan sebagai norma antarabangsa,'' katanya.

Oleh: OTHMAN MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi