EKONOMI

Utusan Malaysia 20 mac 2001

Francais runcit dijangka meningkat 100 peratus

SUBANG 19 Mac - Penguasaan pasaran francais di dalam bidang runcit tempatan diramalkan meningkat 100 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Awalan Abdul Aziz.

Menurut beliau, pasaran sebanyak lima peratus yang sedia ada sekarang akan ditingkatkan kepada 10 peratus dalam tempoh berkenaan melalui pelbagai pelan yang telah dirancang oleh pihaknya.

``Kami jangka peratusannya akan meningkat terutamanya melalui strategi penukaran rangkaian-rangkaian peruncitan kepada cawangan-cawangan francais.

``Untuk ini, kami telah pun mengadakan kerjasama dengan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (PRRM) yang mempunyai 50 ahli di seluruh negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas seminar francais bagi institusi sokongan dan media yang dianjurkan oleh MFA di sini, hari ini.

Dengan penguasaan pasaran sebanyak itu, Malaysia disifatkan masih jauh ketinggalan di dalam bidang francais berbanding penguasaan sebanyak 40 peratus industri yang sama di Amerika Syarikat.

Sistem francais di Malaysia pula meliputi sebanyak 233 sistem berbanding 750 sistem di Australia, 300 di New Zealand dan 250 di Singapura.

Menurutnya, melalui strategi penukaran itu, ahli-ahli rangkaian runcit berpeluang mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan-cawangan baru di seluruh negara melalui francais.

``Para peruncit berpeluang menguasai pasaran yang lebih besar melalui pembukaan cawangan baru menggunakan modal para francaisi,'' katanya.

Sehingga kini, MFA dan PRRM telah pun menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi mengenal pasti mana-mana rangkaian runcit yang boleh ditukarkan kepada perniagaan francais.

Awalan berkata, MFA menjangkakan majoriti atau lebih 50 peratus daripada ahli persatuan PRRM akan meneroka perniagaan francais dalam tempoh yang sama.

Buat masa ini juga, katanya, sudah ada beberapa daripada ahli persatuan rangkaian runcit terbabit yang telah pun menceburi bidang francais seperti England Optical, Bonia dan Sinma Jewellery.

Antara beberapa nama gah di dalam persatuan tersebut yang berpotensi untuk menyertai strategi penukaran itu termasuk Poh Kong Jewellery, Seng Hup, Voir, Giant, Leonard-Drake dan Osim.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, industri francais tempatan akan secara perlahan-lahan berubah dari sektor berasaskan makanan yang menjadi tumpuan sekarang kepada bidang perkhidmatan dan maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi