EKONOMI

Utusan Malaysia 04 April 2001

Punca 30% ekuiti bumiputera gagal

KUALA LUMPUR 3 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam sektor korporat menjelang 2010 tidak akan tercapai sampai bila-bila jika saham yang diberi dijual balik kepada bukan bumiputera.

Menurut Perdana Menteri, apa yang perlu ialah kerjasama daripada bumiputera di samping bukan bumiputera mesti bersedia berkongsi ekuiti.

``Kalau bumiputera diberi saham, mereka terus jual balik kepada bukan bumiputera sampai bilapun kita tak boleh capai.'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen selepas membentangkan usul Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapan pembentangan usul itu, Dr. Mahathir telah menggariskan matlamat pemilikan ekuiti oleh bumiputera dalam sektor korporat sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010.

Katanya, bahagian pemilikan bumiputera dalam sektor korporat pada awalnya meningkat daripada 19.1 peratus pada 1990 kepada 20.6 peratus pada 1995.

Namun, jelas Perdana Menteri, akibat krisis ekonomi, bahagian bumiputera berkurangan kepada 19.1 peratus.

Ditanya kemungkinan kerajaan akan mengkaji semula syarat pemberian saham kepada individu, Dr. Mahathir berkata, ia pernah dikaji sehinggalah tertubuhnya Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Melalui PNB, jelas beliau, kebanyakan ekuiti diberikan kepada agensi itu yang kesannya telah mengurangkan penjualan balik saham.

``Tetapi kita juga bagi kepada individu kalau dia kakitangan syarikat itu atau perniagaannya ada kaitan dengan syarikat berkenaan,'' jelasnya.

Bagaimanapun apa yang berlaku kali ini, kata Dr. Mahathir, penjualan balik saham bukan disebabkan individu atau syarikat bumiputera mahu menjualnya tetapi terpaksa berikutan kegawatan ekonomi.

``Itu bukan salah bumiputera tapi salah ekonomi,'' jelasnya.

Ditanya bahawa amalan menjual balik saham sudah sebati di kalangan bumiputera, beliau berkata: ``Sekarang ini kita nak ambil kira kalau dah jual balik, kita kira dah bagi.''

Mengenai sasaran pertumbuhan 7.5 peratus di bawah RRJP3, Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh mencapai sasaran itu jika ekonomi dunia pulih.

Katanya, sebagai sebuah negara perdagangan, ekonomi Malaysia tidak boleh berkembang jika pasaran dunia tidak memberangsangkan.

Bagaimanapun, beliau yakin Malaysia boleh mengulangi kadar pertumbuhan ekonomi yang baik seperti sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai RRJP3, Dr. Mahathir berkata, kerajaan telah menggariskan rancangan-rancangan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan menjelaskan kepada rakyat apa yang akan dilakukan sepanjang tempoh 10 tahun ini.

``Kerajaan telah membuktikan bahawa rancangan yang dirumus 10 tahun lalu ke arah mencapai status sebuah negara maju telah berjaya,'' kata beliau.

Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi, jelasnya, Malaysia sudah pasti mencapai kadar pertumbuhan yang jauh lebih tinggi daripada yang disasarkan.

Ditanya mengenai laporan media asing yang memetik agensi penarafan antarabangsa bahawa ekonomi negara ini lebih rendah berbanding Indonesia, Dr. Mahathir berkata, ia adalah hak mereka.

Katanya, banyak agensi penarafan yang membuat ramalan seperti itu yang sebenarnya begitu bodoh kerana kesemua ramalan mereka sebelum ini telah terbukti salah.

Mereka yang membaca ramalan-ramalan agensi itu pula, kata beliau, hanya menipu diri sendiri.

Tambah Dr. Mahathir, banyak majalah serta agensi penarafan sering mendakwa begitu arif terhadap apa yang akan berlaku terhadap ekonomi dunia tetapi mengenai Malaysia, mereka sering silap.

``Mereka sejak awal lagi telah berulang kali mengatakan bahawa Malaysia tidak akan mencatatkan pertumbuhan, sentiasa tidak stabil, orang Melayu akan menipu orang Cina, merompak orang Cina dan jika berlaku masalah yang kecil sekalipun, kita tidak mampu pulih.

``Tetapi setiap kali itu juga Malaysia telah membuktikan bahawa ramalan mereka adalah salah,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi