Make your own free website on Tripod.com

EKONOMI

Berita Harian 10 April 2001

PM sahkan kemungkinan pisah operasi MAS


DATUK Seri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan sedang menimbangkan untuk memisahkan operasi antarabangsa dan domestik Penerbangan Malaysia (MAS) dalam usaha meningkatkan keupayaan operasi syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan dilihat sebagai salah satu cara yang mungkin diambil kerajaan bagi membaik pulih operasi MAS.

Disember lalu, kerajaan mengambilalih semula 29.09 peratus kepentingan MAS daripada Naluri Bhd, milik Tan Sri Tajudin Ramli pada pertimbangan tunai sebanyak RM1.792 bilion atau RM8 sesaham.

“Kita sedang melihat pelbagai kemungkinan... ia adalah salah satu daripada kemungkinan itu,” katanya selepas majlis pelancaran Persidangan Tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) ke-50 di Kuala Lumpur, semalam.

MAS yang mengalami kerugian besar sejak tempoh kegawatan lalu terpaksa menyusun semula operasinya.

Kerugian yang dialami syarikat itu turut dikaitkan dengan nilai tambang domestik yang rendah, selain terpaksa menanggung kenaikan bahan api.

Bagi tahun berakhir 31 Mac 2000, MAS mencatat kerugian sebanyak RM236.889 juta berbanding RM669.735 juta.

Mengenai perkongsian strategik yang sesuai bagi MAS, Dr Mahathir berkata, usaha mencari rakan kongsi itu akan diteruskan, bagaimanapun ia masih belum diputuskan lagi.

“Kami akan berusaha mendapatkan rakan kongsi yang strategik bagi MAS. Ia mungkin mengambil masa beberapa bulan,” katanya sambil menambah kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Ditanya mengenai langkah beberapa syarikat penerbangan yang menghentikan perkhidmatan penerbangan mereka ke Malaysia, beliau berkata:

“Ada tiga lapangan terbang utama yang sedang bersaing sekarang ini iaitu Bangkok, Singapura dan Kuala Lumpur.

“Sudah tentu kita mengharapkan supaya lebih banyak syarikat penerbangan memilih Kuala Lumpur sebagai laluan mereka,” katanya sambil menambah walaupun demikian jumlah pengunjung bagaimanapun tidak terjejas.

Empat syarikat penerbangan antarabangsa yang mengambil langkah menghentikan operasi mereka ke KLIA ialah Qantas dari Australia, Lufthansa (Jerman), British Airways dan All Nippon Airways.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pelbagai usaha bagi mempromosikan KLIA.

Justeru, kerajaan merancang mengadakan pertemuan dengan pengusaha penerbangan bagi rantau Asean berhubung isu berkenaan dan langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan perkhidmatan yang disediakan.

Mengulas kedudukan sentimen pasaran saham yang semakin lembap walaupun kerajaan sudah melaksanakan langkah strategik termasuk menyediakan pelbagai insentif bagi merangsang pasaran, Dr Mahathir berkata:

“Apa yang perlu kita buat mungkin turut menyediakan insentif kepada Bursa Saham New York, kerana setiap kali bursa saham itu jatuh, bursa serantau lain akan turut terjejas.”

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi