Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Berita Harian 12 April 2001

Perodua tiada masalah biayai pembesaran


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yakin tidak akan berdepan dengan sebarang masalah untuk membiayai pembesaran masa depan kerana disokong longgokan rizab tunai sebanyak RM680 juta, modal berbayar RM140 juta serta aset bernilai RM800 juta.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Abdul Rahman Omar, berkata dengan tahap keberhutangan sifar syarikat, pinjaman bank untuk membiayai sebarang projek pembesaran pada masa depan, jika perlu bukanlah lagi suatu isu.

Perodua, sejak tahun lalu hingga awal tahun ini berdepan dengan masalah keupayaan pengeluaran apabila beroperasi pada keupayaan maksimum 120,000 unit setahun. Keadaan itu sekali gus menyebabkan Perodua tidak dapat memenuhi permintaan tinggi terhadap kenderaan keluarannya.

Dengan itu, Perodua membelanjakan RM400 juta yang mana separuh daripadanya dibelanjakan untuk peningkatan keupayaan pengeluaran enjin bagi meningkatkan keupayaan kepada 150,000 unit setahun.

“Dana dalaman yang diperolehi daripada keuntungan terkumpul digunakan sepenuhnya membiayai perbelanjaan pembesaran operasi syarikat. Dengan pembesaran yang sudah dibuat, keupayaan bukan lagi masalah kepada syarikat sekarang,” katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Harian di Rawang, Selangor, semalam.

Keupayaan pengeluaran sekarang akan berada di antara 80 peratus dan 85 peratus dengan 10,700 unit pada April meningkat kepada 11,000 unit pada Mei.

Dengan itu, Abdul Rahman berkata, Perodua mensasarkan menjual 123,000 unit tahun ini, satu peningkatan mendadak daripada 96,985 unit tahun lalu.

Pertumbuhan lebih 20 peratus itu, jauh lebih tinggi daripada unjuran pertumbuhan pasaran yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 9 peratus tahun ini yang dikaitkan dengan jangkaan jualan terjejas berikutan penyederhaan ekonomi dunia.

Untuk suku pertama tahun ini, Perodua mencatatkan 23,283 jualan berdaftar, 23,588 jualan invois daripada sasaran jualan sebenar 26,340 unit. Jumlah jualan itu lebih rendah sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Penurunan ini bukan kerana pasaran sudah menurun tetapi disebabkan gangguan daripada kerja peningkatan keupayaan kilang dan jumlah hari kerja yang rendah berikutan banyak cuti perayaan.

“Jualan tetap stabil, kerana kami mempunyai jumlah tempahan tertunggak yang masih tinggi. Jika jumlah tempahan menurun, ini membimbangkan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Perodua yakin mencapai sasaran yang sudah dibuat berdasarkan peningkatan keupayaan pengeluaran serta minat belian yang tinggi terhadap model baru, kod X690 yang akan dilancarkan sebelum Oktober depan.

Dibina di atas landasan yang sama dengan Kenari, model 1,000cc yang masih mengekalkan nama “K” itu dijangka mendapat sambutan amat menggalakkan berikutan kuasa dan harganya kompetitif antara RM36,000 dan RM39,000.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi