Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Berita Harian 12 April 2001

PKS tempatan kurang sedar manfaat Internet


ANTARA punca perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan masih ketinggalan dari segi penggunaan Internet dalam perniagaan adalah kerana kurang kesedaran mengenai sumbangan teknologi itu dalam membangunkan perniagaan manakala sesetengahnya mengambil sikap tunggu dan lihat.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Looi Teong Chye mendedahkan ada sesetengah pengusaha PKS negara ini yang mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ itu kerana ingin menyaksikan pengalaman rakan mereka terlebih dulu.

“Selepas itu baru mereka ingin mencuba,” kata Looi.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program penggalakan penggunaan Internet di kalangan PKS tempatan anjuran gerbang Internet PKS tempatan, Krismerchant.com yang dibangunkan Teras Teknologi Sdn Bhd, HSBC Bank (Malaysia) Bhd (HSBC Bank) dan Persatuan PKS di Petaling Jaya, semalam.

Pada majlis itu HSBC Bank diwakili Ketua Perkhidmatan e-Perniagaan Bank itu, Chu Hong Keong. HSBC Bank adalah penyedia sistem bayaran e-dagang bagi gerbang Internet Krismerchant.com.

Teras Teknologi pula diwakili pengarahnya, Lim Chew Yin.

Looi berkata, pengusaha terbabit mengambil pendirian sedemikian kerana mempunyai pengalaman buruk sebelum ini iaitu apabila terpaksa membelanjakan wang yang besar untuk membeli perkakasan komputer yang tidak mereka perlukan semata-mata mengejar ledakan teknologi.

PKS tempatan juga terpaksa membelanjakan wang yang banyak dalam meningkatkan keupayaan perisian komputer mereka bagi menghadapi ancaman Y2K menjelang tahun 2000.

“Ada sesetengah perkakasan itu menjadi gajah putih dan ini membuatkan mereka sudah serik,” katanya.

Looi berkata, pengusaha IKS tempatan kurang yakin terhadap kepentingan penggunaan Internet dalam memasarkan perkhidmatan mereka dan masih mempercayai kaedah lama dalam pemasaran.

Katanya, mereka lebih sanggup menghabiskan masa berjam-jam di padang golf atau kelab karaoke dengan harapan dapat berjumpa dengan rakan niaga tetapi malas menghidupkan komputer untuk melayari Internet.

“Mereka perlu sedar bahawa rakan niaga atau bakal pembeli boleh ditemui di Internet,” katanya.

Looi berkata, secara bandingan, hanya 30 peratus daripada PKS tempatan bergantung kepada Internet untuk perniagaan mereka berbanding 80 peratus daripada rakan mereka di Eropah dan Amerika Syarikat.

Di peringkat serantau katanya, Malaysia agak ketinggalan berbanding PKS di Taiwan dan Singapura dan maju sedikit daripada rakan mereka Thailand dan Indonesia dari segi pergantungan kepada Internet untuk perniagaan.

Beliau berkata, PKS tempatan sudah sepatutnya bersedia dari sekarang kerana globalisasi pasaran akan berlaku tidak lama lagi.

“Ini penting PKS membentuk 91 peratus daripada keseluruhan premis perusahaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Krismerchant.com adalah contoh gerbang Internet PKS yang boleh menemukan rakan perniagaan di kalangan golongan itu.

Krismerchant.com yang dilancarkan November lalu setakat ini mempunyai 200 syarikat yang sedang mencuba sistemnya.

Pengarahnya, Lim Chew Yin berkata, syarikat itu meletakkan sasaran lima peratus daripada 100,000 pengusaha kecil tempatan menjadi pelanggannya tahun depan.

Syarikat itu mengenakan yuran RM6,000 setahun kepada pelanggan yang ingin mendapatkan pelbagai perkhidmatan e-dagang yang disediakan di dalam gerbang berkenaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi