Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Berita Harian 10 April 2001

Pengagihan wang ihsan disusun semula: Siti Zaharah


DUNGUN, Jumaat – Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan (PPP), sedang menyusun semula pengagihan peruntukan wang ihsan bagi memastikan hanya mereka yang layak, menerima bantuan di bawah program bantuan kebajikan.

Menterinya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, berkata jawatankuasa penimbang terdiri daripada pegawai Kerajaan Pusat dan PPP akan memastikan tidak berlaku penyelewengan dalam proses pembahagian wang ihsan kepada penduduk di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, penduduk boleh mengemukakan laporan penyelewengan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, atau terus kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, pihak tertentu, termasuk pemimpin parti pembangkang menyatakan kononnya pembahagian wang ihsan tidak dilakukan secara adil di negeri ini.

Dr Siti Zaharah berkata, pihak terbabit perlu mengemukakan bukti dakwaan itu kerana pembahagian dilakukan berdasarkan kepada proses dan prosedur yang ditetapkan kementerian.

“Kementerian kini kini dalam proses meneliti senarai penerima bantuan melalui PPP berikutan ada senarai penerima yang tidak sepatutnya berubah kini mengalami perubahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Dungun, di sini hari ini.

Pada majlis itu, lebih 300 ibu tunggal dan anak yatim di kawasan Parlimen Dungun, menerima bantuan bernilai antara RM50 dan RM100.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, parti itu perlu mengubah asas perjalanan parti dalam usaha memenangi hati rakyat.

Katanya, Umno perlu memberi ruang kepada rakyat untuk berkerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, program yang dilaksanakan di peringkat negeri perlu diselaraskan di semua bahagian dalam usaha menyatu padukan masyarakat dan membolehkan Umno dikenali sebagai parti untuk kepentingan rakyat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi