Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Berita Harian 10 April 2001

Penswastaan bahagian lesen dapat tingkat mutu kerja: Ling


PETALING JAYA, Ahad – Penswastaan Bahagian Perlesenan dan Pendaftaran Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta produktiviti urusan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, berkata peningkatan kecekapan perkhidmatan dan produktiviti boleh dilaksanakan dengan memperkenalkan pelbagai insentif menarik.

Bagaimanapun, langkah itu tidak dapat dilaksanakan selagi bahagian berkenaan berada di bawah perkhidmatan awam.

“Dengan menswastakan bahagian berkenaan, kita boleh memperkenalkan pelbagai insentif yang akan menggalakkan kakitangan bekerja lebih gigih untuk meningkatkan produktiviti.

“Dengan itu, kita dapat memberi gaji lebih tinggi yang tidak dapat dilakukan sekarang,” katanya selepas merasmikan majlis Suka Ria Kiwanis dan Sunway Lagoon Resort di Bandar Sunway di sini, hari ini.

Kira-kira 500 kanak-kanak dan ibu bapa dari 15 rumah kebajikan sekitar Lembah Klang menghadiri majlis itu yang dianjurkan Kelab Kiwanis Malaysia dan Sunway Lagoon Resort.

Rabu lalu, Setiausaha Parlimen Kementerian Pengangkutan, Donald Lim Siang Chai, membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2000 dibentangkan di Dewan Rakyat bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebanyak 17 seksyen dalam akta berkenaan dicadangkan untuk dipinda bagi membolehkan proses penswastaan Bahagian Pendaftaran dan Pelesenan Kenderaan Motor JPJ dilaksanakan sepenuhnya.

Cadangan itu meliputi perkhidmatan pendaftaran dan pelesenan kenderaan, pengeluaran dan pembaharuan cukai jalan, pengurusan dokumen kenderaan di Pusat Pengurusan Rekod JPJ, pendaftaran nombor plat peribadi dan penyediaan sistem maklumat JPJ.

Kepada soalan sama ada penswastaan itu akan menyebabkan orang ramai terpaksa mebayar lebih tinggi bagi perkhidmatan yang dikenakan, Dr Ling berkata, kerajaan menyerahkan kepada syarikat yang terpilih melaksanakan program penswastaan bahagian itu menentukannya.

Bagaimanapun beliau yakin syarikat terpilih tidak akan menaikkan caj sewenang-wenangnya kerana kenaikan yang terlalu tinggi sudah tentu menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan.

“Saya tidak tahu maklumat terperinci mengenainya kerana perkara itu masih lagi pada peringkat rundingan antara JPJ dengan syarikat swasta,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi