EKONOMI

Utusan Malaysia 20 mac 2001

Situasi global akan tentukan arah ekonomi

KUALA LUMPUR 19 Mac - Bagaimana situasi global dalam tempoh beberapa bulan akan datang akan menjadi penting dalam menentukan sama ada pelabur-pelabur akan lebih yakin ke arah tahun 2002 atau ia akan menjadi satu lagi tahun yang suram, demikian menurut i Capital, keluaran mingguan sama Capital Dynamics Sdn. Bhd.

Dalam keluaran terbaru ini, ia menyatakan masih ramai orang yang masih merasakan penurunan pasaran ekuiti baru-baru ini hanya satu kegugupan pasaran dan pemulihan itu akan berlaku dengan segera dalam separuh kedua tahun ini.

i Capital berkata penekanan sebenar bagi pasaran ekuiti setakat ini terhad kepada sektor teknologi sama ada daripada segi harga atau amaran keuntungan.

Bagaimanapun, oleh kerana masalah dalam sektor utama ini berterusan, ia menyatakan bahagian lain dalam ekonomi mungkin turut terjejas.

i Capital menyatakan kebimbangan terhadap situasi sistem perbankan Jepun bukan sahaja terhad ke atas ekonomi Jepun kerana ia juga membangkitkan kebimbangan terhadap bank-bank AS dan kemungkinan pengulangan semula kerapuhan kecairan pada 1998.

Menurut i Capital, ketika saham perbankan AS berada dalam keadaan baik walaupun dalam keadaan kemelesetan ketika ini, kejatuhan seterusnya dalam sektor ini tidak dapat dielak.

Bagi jangka masa terdekat ini, i Capital mengunjurkan jajaran 650 hingga 700 mata. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi