Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Berita Harian 10 April 2001

Pembabitan IMF tidak untungkan negara Asia


GENTING HIGHLANDS, Khamis – Negara-negara Asia tidak akan mendapat faedah jika Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengawal selia program pertukaran mata wang yang dicadangkan bagi ekonomi serantau, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata jika majoriti negara Asia berkeras mahu membabitkan dana yang berpangkalan di Washington itu, maka ia sudah tiada pilihan.

“Tetapi yang kita kata, ini adalah tidak baik bagi mata wang Asia kalau ia dikawal selia IMF, sedangkan kita tahu IMF tidak pun mendatangkan kebaikan (kepada kita) dengan cara dan pendekatannya.

“Ini pendirian kita. Jika orang lain (negara Asia lain) mahu atau tidak mahu menerimanya, itu perkara lain. Bagaimanapun, jika majoriti mahukan pembabitan IMF, maka kita tiada pilihan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Perdana Pendidikan Nasional 2001 di Institut Aminudin Baki, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar yang memetik pegawai Jepun sebagai berkata bahawa ada sesetengah negara yang mahukan program pertukaran mata wang Asia dicadangkan dikawal selia oleh IMF.

Gagasan pertukaran mata wang itu dicetuskan bagi menyediakan jaring keselamatan dalam menghadapi krisis kewangan akan datang, setelah ekonomi serantau terjejas teruk akibat kemelesetan 1997/98.

Rancangan pertukaran mata wang berjumlah AS$2.5 bilion (RM9.5 bilion) yang dirintis oleh Jepun itu, yang juga dikenali sebagai Inisiatif Chiangmai kerana mengambil sempena nama bandar raya Thailand di mana ilham itu tercetus, bertujuan merangkaikan rizab antarabangsa kesemua 10 negara anggota Asean melalui pakatan dua hala dengan kuasa serantau - China, Jepun dan Korea Selatan.

Mengikut persetujuan pertukaran mata wang itu, semua 13 negara akan membantu antara satu sama lain dalam menyediakan pembiayaan sementara bagi negara anggota yang menghadapi masalah imbangan pembayaran, dan memberikan tindak balas segera terhadap kejatuhan satu-satu mata wang.

Menteri Kewangan Asean pada mesyuarat kelimanya di sini 7 April lalu bersetuju bahawa pakatan dua hala iaitu sebahagian daripada program pertukaran mata wang adalah pelengkap kepada kemudahan IMF.

Mengenai Tabung Kewangan Asia (AMF) yang dicadangkan, Dr Mahathir berkata bahawa Malaysia bersetuju dengan penubuhan AMF tetapi berpendapat ia tidak perlu dirujuk kepada IMF.

“Kita bersetuju dengan AMF tetapi apa perlunya merujuk kepada IMF. Bagaimanapun, jika semua orang berpendapat penting dirujuk kepada IMF, oleh kerana kita ini satu suara tidak dapatlah kita hendak mengatasi, tetapi itulah pendirian kita.

“Kita tidak akan menyerah dengan begitu mudah,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi