Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 06 April 2001

PM cadang syarikat perfileman bergabung

KUALA LUMPUR 5 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan syarikat-syarikat perfileman di negara ini bergabung bagi mengukuhkan modal supaya dapat berdaya saing dan mengeluarkan filem lebih bermutu.

Menurutnya, syarikat filem yang terlalu banyak, hanya menyebabkan mereka kekurangan modal sedangkan industri ini memerlukan modal yang besar.

``Apabila terdapat terlalu banyak studio, modal masing-masing tidak mencukupi untuk membuat filem.

``Dengan itu filem yang kita keluarkan itu tidak begitu baik berbanding filem luar negara. Saya berpendapat, kita patut kurangkan bilangan syarikat perfileman yang ada di negara ini...tetapi ia mudah dikata, tak mudah dilaksanakan,'' katanya pada sesi soal jawab semasa lawatannya ke Kementerian Penerangan di Angkasapuri di sini.

Menurut Dr. Mahathir, Amerika Syarikat yang mempunyai 260 juta penduduk dengan pendapatan pekapita AS$26,000 cuma mempunyai jumlah studio yang sedikit seperti MetroGoldwynMeyer (MGM) dan Universal Studio.

Sebaliknya Malaysia dengan 22 juta penduduk dengan pendapatan pekapita sebanyak AS$4,000 mempunyai 90 syarikat perfileman, katanya.

``Jika di AS, sesebuah filem diterbitkan dengan kos sekurang-kurangnya RM100 juta, bagaimanakah syarikat tempatan hendak membuat sebuah filem yang menarik dengan bermodalkan sebanyak RM300,000,'' kata Perdana Menteri.

Dr. Mahathir juga menyentuh mengenai pasaran filem tempatan yang agak terhad.

Katanya, filem tempatan hanya tertumpu kepada tayangan di negara ini serta pelanggannya yang agak terhad kerana Malaysia cuma mempunyai lima buah stesen televisyen.

``Masing-masing ada masalah kewangan dan filem-filem ini tidak boleh dijual kepada kesemua stesen kecuali satu. Bilangan yang nak keluarkan filem adalah ramai,'' katanya.

Justeru, katanya, bilangan syarikat perfileman harus dikurangkan.

Menurut Dr. Mahathir, langkah menghalang kemasukan semua filem asing seperti filem Hollywood atau Bollywood agar penonton cuma menyaksikan filem tempatan tidak dapat dilakukan kerana mungkin menyebabkan ramai tidak berpuas hati.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak boleh menyelesaikan masalah ini kecuali orang-orang dalam industri perfileman itu yang dapat berbuat demikian.

Pada sesi soal jawab itu, Dr. Mahathir ditanya mengenai cara untuk menarik minat orang ramai melawat Angkasapuri kerana perhatian yang semakin berkurangan sejak terdapat saingan dengan keindahan Putrajaya.

Kata beliau: ``Banyak yang boleh dilakukan di Angkasapuri umpamanya dengan mengambil contoh usaha yang dilakukan oleh Universal Studio untuk menarik minat orang ramai.

``Universal Studio di California mengadakan pertunjukan mengenai teknik-teknik perfileman seperti penggunaan ikan jerung mekanikal bagi filem Jaws dan gorila King Kong.

Menerusi pertunjukan seumpama itu, kata beliau, tentu ramai pelawat sanggup membayar wang untuk menyaksikannya di Angkasapuri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi