Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 06 April 2001

Kadar pengangguran dijangka menurun menjelang 2010

KUALA LUMPUR 5 April - Kadar pengangguran dijangka menurun kepada 2.5 peratus pada tahun 2010 berbanding 3.1 peratus tahun lalu dengan jangkaan pertumbuhan purata tenaga buruh sebanyak 3.1 peratus dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3).

Dengan kadar tersebut, negara akan terus kekal sebagai guna tenaga penuh menjelang tahun tersebut, kata RRJP3 dalam laporannya di sini pada 3 April lalu.

Dalam 10 tahun akan datang, permintaan buruh dijangka bertambah dengan kadar purata 3.1 peratus setahun.

Ini akan menghasilkan peningkatan guna tenaga kepada 12.6 juta menjelang 2010 berbanding 9.3 juta pada tahun lalu.

Sektor perkhidmatan akan terus menjadi sumbangan terbesar kepada jumlah guna tenaga dengan peningkatan kepada 59.4 peratus daripada jumlah guna tenaga yang diwujudkan oleh kerajaan.

Sebahagian besar pekerjaan diwujudkan dalam sektor ini termasuk pendidikan swasta, kesihatan, aktiviti perniagaan, riadah, sukan dan teknologi maklumat (IT).

Sektor perdagangan borong, runcit, hotel dan restoran juga menjadi penjana penting kepada guna tenaga berikutan berkembangnya industri pelancongan.

Pertumbuhan pesat juga dilihat dalam sektor pembuatan dengan pencapaian purata 4.1 peratus setahun. Guna tenaga dalam sektor tersebut akan meningkat kepada 3.8 juta pada tahun 2010 berbanding 2.6 juta pada tahun 2000 dengan menyumbangkan kepada 38.2 peratus peluang pekerjaan.

Permintaan guna tenaga akan lebih tertumpu kepada pekerja yang berkemahiran tinggi memandangkan sektor itu semakin menuju ke arah keluaran bernilai tinggi dan penggunaan modal secara intensif.

Bagaimanapun, jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian dijangka menurun sebanyak 5.4 peratus kepada 9.8 peratus dalam tempoh sepuluh tahun akan datang berbanding tahun lalu.

Penggunaan kaedah penanaman berteknologi tinggi dan perladangan berskala besar serta meningkatnya penggunaan jentera merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan permintaan buruh terutama untuk penanaman makanan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi