Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 07 April 2001

RM1b dana pekebun kecil -- Kerajaan luluskan bantuan tanaman semula menjamin industri getah

PUTRAJAYA 6 April - Kerajaan telah meluluskan satu dana berjumlah RM1 bilion bagi membantu pekebun kecil getah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Keputusan untuk mewujudkan dana tanaman getah itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Bagi Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Getah di sini hari ini.

Abdullah berkata, dana itu akan dikeluarkan kepada pekebun kecil yang terlibat untuk tanaman semula getah seperti yang dirancangkan oleh agensi terbabit.

"Jawatankuasa kabinet ini juga mengakui bahawa industri getah akan terus menjadi industri penting dan ia perlu memberi perhatian kepada nasib pekebun kecil getah kerana pendapatan mereka kecil dan memerlukan bantuan untuk tanaman semula," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Abdullah berkata, peranan dan tugas jawatankuasa itu akan diperluaskan kepada pekebun kecil yang melibatkan tanaman komoditi industri seperti kelapa sawit, lada hitam, koko dan nanas.

Katanya, jawatankuasa itu kelak akan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Bagi Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Komoditi Industri.

Jawatankuasa kabinet dianggotai Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian, Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dan Kementerian Kewangan.

Selain tanaman getah, dana itu juga akan digunakan untuk membantu pekebun kecil terbabit mengusahakan tanaman lain yang boleh memberikan pendapatan tambahan.

Abdullah berkata, ia juga akan digunakan untuk membantu pekebun kecil yang tidak lagi mahu menanam getah kerana saiz kebun yang kecil dan perlu ditanam dengan tanaman lain serta mengadakan kegiatan lain seperti ternakan dan kegiatan yang memberi keuntungan lebih baik.

"Kita harap nasib pekebun kecil akan dapat dibela dan apa yang kerajaan buat (mewujudkan dana) adalah untuk membela pekebun kecil kerana mereka menghadapi kesusahan akibat harga getah jatuh," katanya.

Pada 8 Mac lepas, kerajaan mengumumkan peruntukan RM500 juta disalurkan menerusi beberapa insentif sebagai langkah segera bagi menangani masalah kejatuhan harga minyak sawit dan membela nasib pekebun kecil getah.

"Kerajaan juga berharap pekebun kecil getah akan dapat menanam semula getah dengan klon getah daripada jenis terbaik dan menggunakan kaedah torehan moden," kata Abdullah.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya kegiatan penyelidikan bagi menghasilkan produk baru berasaskan getah dipertingkatkan dan satu anugerah diwujudkan bagi menghargai penyelidikan yang berjaya menghasilkan produk berkenaan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rahmah Kassim berkata, pada masa ini dianggarkan terdapat 300,000 keluarga pekebun kecil getah dengan keluasan tanaman seluas 800,000 hektar untuk ditanam semula.

Katanya, 85 peratus daripada keluasan tanaman yang perlu ditanam semula itu membabitkan pekebun kecil.

Rahmah berkata, dengan pewujudan dana itu, pelbagai insentif dan bantuan termasuk pinjaman akan diberikan kepada pekebun kecil melaksanakan konsep integrasi tanaman getah dengan tanaman lain serta aktiviti penternakan bagi menambah sumber pendapatan.

Pekebun kecil juga digalak mengusahakan tanaman getah secara estet dengan memberikan kebenaran kepada agensi mengusahakannya manakala bagi pekebun kecil yang mahu keluar daripada industri getah, ia akan diberikan insentif untuk melakukan kegiatan lain, katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi