Make your own free website on Tripod.com
Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 07 April 2001

Tekstil: Bersiap hadapi cabaran

KUALA LUMPUR 6 April - Industri tekstil perlu menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang yang wujud berikutan pelonggaran perdagangan tekstil apabila kuota dihapuskan seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai Tekstil dan Pakaian.

Datuk Seri Rafidah Aziz Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perjanjian itu menjangkakan pemansuhan kuota tersebut menjelang 1 Januari 2005.

Beliau menegaskan bahawa pelonggaran tersebut akan mencetuskan persaingan bagi pekilang-pekilang tekstil dan pakaian Malaysia.

Rafidah berkata demikian pada pembukaan dialog tahunan MITI dengan persatuan-persatuan tekstil dan kasut, jentera, bahan-bahan dan industri bahan maju di sini hari ini.

Katanya, perkembangan dan pertumbuhan industri tekstil dan pakaian tempatan selanjutnya akan bergantung kepada keupayaannya untuk bersaing dengan pengeluar yang menikmati kos lebih rendah.

``Ia boleh dilakukan dengan mengeluarkan produk nilai ditambah lebih tinggi, mengurangkan kos melalui penggunaan proses dan teknologi pengeluaran yang lebih cekap, serta dengan mempertingkatkan strategi pemasaran,'' katanya.

Rafidah juga berkata bahawa industri ini perlu memperkukuh dan menyusun semula operasinya.

``Pekilang-pekilang dalam sektor kecil yang dikuasai oleh pengeluar-pengeluar tempatan mestilah mengambil langkah-langkah untuk mempermodenkan operasi mereka,'' tegasnya.

Kata Rafidah, kerjasama serantau dalam industri ini boleh dipertingkatkan lagi melalui Persekutuan Industri Tekstil ASEAN, contohnya dalam bidang pertukaran maklumat, khususnya mengenai pembangunan sumber manusia.

``Di samping itu, ASEAN secara keseluruhannya boleh menggunakan forum ini untuk menyuarakan isu-isu, contohnya mengenai langkah-langkah bukan tarif yang mereka hadapi apabila mereka mengeksport ke pasaran berkuota,'' katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang e-pengilangan, Rafidah berkata wujud satu jurang yang ketara dari segi tahap kecanggihan aplikasi teknologi maklumat (IT) serta keupayaan IT antara syarikat-syarikat multinasional (MNC)/syarikat-syarikat besar tempatan dan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Katanya, untuk memiliki kelebihan daya saingan bagi menghadapi persekitaran perdagangan global, PKS mestilah mula menggunakan proses-proses e-dagang dan teknologi rantaian bekalan untuk mewujudkan kecekapan, meningkatkan perkhidmatan pelanggan, mengurangkan kos dan menambah nilai.

Rafidah menekankan bahawa penggunaan IT serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan membolehkan industri ini mengurangkan kos, serta mendahului dari segi masa dalam penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk, pengeluaran, pemasaran, penyerahan dan perkhidmatan selepas jualan.

Beliau berkata, 37 peratus perusahaan pembuatan telah melaporkan bahawa mereka menggunakan IT bagi kegiatan pengilangan mereka, manakala 54 peratus memperuntukkan belanjawan IT. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi